Oleh pada 13 Sep 2022 kategori

Semakin hari, kegiataan jualan jeruk mangga di persimpangan jalan raya semakin galak berlaku. 

Anak-anak muda akan ke hulu hilir menunggu kereta beratur sambil menjinjing bungkusan plastik berisi jeruk mangga yang siap dipekkan, kelihatan di lokasi yang dirasakan strategik. Tidak salah untuk cuba meniaga namun ada kalanya usaha sebegitu sebenarnya boleh membawa lebih banyak risiko kepada masyarakat umum.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda terfikir - adakah perniagaan sebegitu dibenarkan dalam aspek undang-undang? Lebih penting, adakah kita yang membeli boleh melakukannya?

Ancaman terbuka atas jalan raya 

mangga asam boi traffic light

Secara peribadi, penulis belum pernah berhadapan situasi kurang enak disebabkan oleh kewujudan peniaga jeruk ini. Ada lah sekali dua kereta di hadapan tak bergerak kerana pemandunya nak beli jeruk, walaupun lampu isyarat dah bertukar hijau.

Namun pengalaman setiap orang tak sama.

Sudah dilaporkan ada pemandu yang hampir dilanggar kereta lain yang tergesa-gesa mengubah lorong, disebabkan mengejar penjual di lorong sebelah mereka. Ada juga pemandu yang terpaksa menunggu lama kerana pemandu di depan mereka perlu seminit dua untuk berfikir berapa balang jeruk mangga perlu di beli.

Baru-baru ini seorang penunggang motorsikal telah merempuh sebuah kenderaan yang cuba mengelak kereta di depannya, yang masih leka nak mendapatkan jeruk mangga. 

Perkara asas yang perlu kita semua fahami : tidak dibenarkan sebarang bentuk urusan perniagaan yang dijalankan di persimpangan jalan atau selekoh diselia di bawah Kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959.

Peraturan ini bukan saja meliputi penjual atau penjaja, bahkan turut sama meliputi pembeli.

Dalam mana-mana sabitan yang didapati ingkar atau melanggar peraturan yang telah ditetapkan, pihak didakwa baik penjual atau pembeli boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga tempoh maksima 6 bulan.

Anda bayangkan, hanya kerana kepingin nak jeruk mangga, anda boleh dikenakan denda sedemikian rupa? 

Sentimen masyarakat yang terlalu simpati

penjual jeruk mangga transaksi niaga

Walaupun sudah jelas apa saja bentuk transaksi yang dijalankan di atas jalan raya adalah satu kesalahan, malangnya ramai di antara kita ahli masyarakat gemar melihat isu ini daripada aspek emosi dan sentimen. 

Kegiatan perniagaan sebegini malangnya kerap disokong segelintir golongan atas sentimen 'mereka yang meniaga sekadar mencari rezeki yang halal' atau lebih teruk 'lebih baik meniaga di jalanan daripada mereka mencuri.' 

Daripada logiknya, hujah-hujah sebegitu kedengaran ada kebenarannya. Ini kerana setiap ahli masyarakat perlu diberi ruang bagi mencari rezeki yang baik.

Bagaimanapun dalam situasi sebegini, pendapat berlandaskan emosi atau logik akal semata-mata tidak boleh digunapakai; kerana kemudaratan yang boleh berlaku akibat aktiviti perniagaan sebegini lebih besar berbanding kebaikan yang dibawa.

Topik yang paling jarang dibincangkan adalah risiko besar kepada peniaga itu sendiri, meredah panas dan hujan ke sana sini mengejar pelanggan kerana mereka 'bekerja' betul-betul di kawasan sesak yang tinggi kemungkinan untuk berlaku insiden buruk ke atas dirinya.

Itu daripada perspektif keselamatan penjualnya. Bagaimana pula dengan keselamatan pembelinya?

Selamatkah beli jeruk mangga bagi pembelinya? 

penjual jeruk mangga jalanan undang risiko

Dalam satu insiden di Pulau Pinang, sebuah kereta Proton Waja bertindak berhenti mengejut di lorong kanan sehingga mengakibatkan kemalangan di belakang kereta tersebut yang berhenti sengaja mengejut.

Apa yang sangat menyakitkan hati - selesai pembelian, Proton Waja itu memecut laju meninggalkan kereta-kereta yang berlanggar sesama mereka.

Adakah beban tanggungjawab kejadian sebegitu jatuh hanya kepada pemandu kereta Proton itu?

Tidak. Pengusaha dan penjual jeruk mangga itu juga sepatutnya sama-sama layak dipersalahkan kerana sudah termaktub dalam undang-undang kita apa yang mereka lakukan itu salah.

Kegiatan perniagaan yang dijalankan bukan di tempatnya, boleh mengakibatkan orang-orang tidak bersalah berhadapan masalah kerugian akibat kecuaian pembeli atau mungkin juga peniaga yang gagal memahami situasi.

Satu lagi faktor penting yang kurang diperkatakan berkenaan perniagaan sebegini adalah faktor penyediaannya. Jika anda teliti mana-mana kawasan yang wujud penjual jeruk mangga pasti ada sebuah kereta yang mungkin tauke mereka, menunggu dengan balang besar jeruk diletak dalam bonet kereta.

Jeruk-jeruk itu akan dipekkan ke dalam balang kecil di tepi jalan, menggunakan peralatan yang minima serta sukar untuk dikenalpasti tahap kebersihannya. Sekiranya ada berlaku keracunan makanan, siapa yang harus dipertanggungjawabkan?

Kehadiran individu-individu bertopeng menjinjing balang-balang jeruk mangga ini juga boleh dilihat sebagai satu ancaman kepada pemandu lain.

Penjenayah dengan mudah boleh menyamar sebagai penjual jeruk, menunggu di persimpangan bagi menantikan mangsa yang leka, boleh disamun atau diragut ketika kenderaan tidak berjalan.

Kepada penjual-penjual yang memang berusaha mencari rezeki, janganlah terasa pula kalau ramai yang menaikkan tingkap dan mengunci pintu tatkala anda lalu ditepi kenderaan kami.  

Nak meniaga, meniagalah tetapi ikutlah ketetapan

jeruk asam boi traffic light

Kami menulis artikel ini bukanlah untuk menutup pintu rezeki anda, namun ada sebabnya kenapa penjaja atas jalan sebegini adalah sesuatu yang dipersalahkan.

Nak cari rezeki yang halal, lakukanlah perniagaan anda dengan kaedah yang tidak membahayakan diri anda dan orang lain. Buanglah sentimen emosi dalam berbicara tentang isu ini. Hendak meniaga, ikutlah caranya.

Hendak membeli jeruk mangga? Belilah ditempat yang dikhaskan untuk menjualnya.

Janganlah dibeli di tepi jalan takut-takut aksi anda membeli dirakamkan oleh mereka yang marah anda telah melambatkan pergerakan mereka. Silap-silap kena 2 ribu atau 6 bulan penjara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)