Cap jari sehingga kini kekal menjadi kaedah paling mudah dalam mengesah atau mensahihkan identiti seseorang, sama ada melalui kaedah tradisional cop jari ataupun menggunakan sensor imbasan elektronik. 

Walaupun demikian di keseluruhan tubuh badan kita, wujud juga beberapa ciri-ciri bahagian tubuh yang mirip dengan cap jari; dipercayai unik hanya wujud pada kita dan tidak ada duanya. Tahukah anda bahagian mana yang kami maksudkan?Berikut adalah lima bahagian tubuh yang unik, setakat ini tidak ada penduanya serta kekal tunggal hanya dimiliki oleh anda dan anda sahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Iris

iris bahagian berwarna pada mata

Sistem identifikasi biometrik menggunakan mata biasanya menggunakan dua teknologi yang berbeza. Yang pertama adalah imbasan iris, kedua pula adalah imbasan retina. Kedua-duanya tidak mengimbas organ tubuh yang serupa.

Sistem imbasan iris pada bahagian mata memerlukan pengimbas berasaskan cahaya infra-merah ditembak kepada bahagian iris mata, bagi menangkap atau mengimbas bahagian tersebut dalam bentuk kontras tinggi. Iris adalah bahagian mata yang berwarna dan melindungi keseluruhan anak mata.

Kamera infra merah akan menangkap gambar iris individu yang diimbas dianalisa di 240 ciri biometrik, lalu disimpan ke dalam memori. Setiap kali imbasan diperlukan, kamera akan membandingkan imbasan yang berlaku dengan imej asal iris yang telah ditangkap; mengambil masa kira-kira 1 ke 2 saat untuk mengesahkannya.

Berbeza dengan sistem cap jari, sistem pengesahan berasaskan iris dikatakan mempunyai kadar ketepatan 90-99.5%, bergantung kepada sistem yang digunakan. Oleh kerana menggunakan mata, sistem ini dikatakan lebih selamat berbanding cap jari yang lebih mudah diubah atau dipalsukan.

2. Retina

bahagian retina mata biometrik

Sistem imbasan retina dan iris tidak mengimbas bahagian tubuh yang sama ya, walaupun kedua-duanya menggunakan imbasan di mata. Jika pengimbas iris menyemak bahagian mata yang berwarna, sistem pengimbas retina pula membandingkan rupabentuk urat-urat pembuluh darah dalam mata kita.

Oleh kerana itulah sistem pengimbas retina dikatakan menjadi antara sistem imbasan yang sangat-sangat-sangat kecil jurang ralatnya, hanya mempunyai kadar kesilapan 0.0001% jika dibandingkan dengan pengimbas iris.

Idea menggunakan retina sebagai sistem identitikasi diri telah diperkenalkan sejak tahun 1935 namun hanya lebih 3 dekad kemudian, barulah teknologi yang semakin moden berjaya membangunkan sistem yang mampu memudahkan proses ini berlaku - sehinggalah berjaya dipasarkan secara komersial pada tahun 1981.

Pengimbas retina akan membaca bentuk saluran darah yang ada dalam mata seseorang menggunakan pancaran laser yang selamat, dalam masa 2 saat. Walaupun begitu, bagi seseorang individu yang mengalami masalah seperti glaukoma, diabetis dan penyakit degenratif retina - mereka mungkin akan berdepan kesukaran untuk membolehkan imbasan yang tepat dilakukan. 

3. Telinga

telinga sebagai alat biometrik

Sehingga ke hari ini, banyak pihak masih memperkatakan tentang keberkesanan untuk kita menggunakan bentuk telinga sebagai salah satu format identifikasi diri, disebabkan oleh keunikannya yang ada. Setiap telinga pada semua individu dipercayai bersifat unik serta tidak ada persamaan dengan individu lain.

Walaupun demikian, agak luculah juga jika kita ke kaunter bank atau agensi kerajaan dan kita diminta meletakkan cop telinga kanan dan kiri ke dalam borang. Penuh dakwatlah telinga kita.

Harus diakui telinga tidak praktikal sebagai identifikasi diri rutin harian, namun disebabkan oleh keunikan telinga - banyak pihak percaya sistem berasaskan ini mampu menjadi salah satu kaedah yang dapat membantu polis atau pihak berkuasa dalam penyiasatan.

Ini kerana kajian telah membuktikan bentuk asas telinga kita kekal sejak kita dari dalam rahim ibu sehinggalah kita meninggal dunia. Setakat ini sistem yang telah dibangunkan mempunyai kadar ketepatan setinggi 99.6% dalam menentukan identiti diri seseorang. 

Berdoalah agar kita tidak perlu menurunkan cap telinga dalam semua urusan kita, di masa akan datang apabila cap jari sudah tidak lagi relevan.

4. Bau badan

bau badan potensi imbas biometrik

Tahukah anda setiap masa anda bergerak ke sana ke mari, tubuh anda sebenarnya meninggalkan apa yang dinamakan sebagai 'kabus haba' atau thermal plume di mana saja anda berada? 

Lebih unik, 'kabus' ini mempunyai bau yang unik dan hanya mampu mewakili tubuh anda sahaja. Kabus itu pula dibentuk hasil daripada gabungan bahan kimia digelarkan volatile organic compound (VOC) dalam peluh anda, yang 'merekacipta' bau badan anda.

Kajian-kajian yang dijalankan terhadap tikus dan juga manusia menemui petunjuk bahawa reaksi VOC terhadap udara tidak berubah, walaupun seseorang itu menukar dietnya secara mengejut termasuklah mengambil bawang putih yang banyak, dipercayai mampu menukar bau peluh sehingga menjadi lebih tengit.

Setakat ini, kajian bagi membangunkan sistem pengimbas VOC individu belum mempunyai ketepatan yang benar-benar sahih, diramal hanya berada di antara 44 ke 86%; belum benar-benar sesuai untuk digunakan sebagai identifikasi diri.

Walaupun demikian kelemahan sistem itu tidak menyangkal bahawa bau badan kita unik jika dibandingkan di antara satu sama lain dan setiap bau badan mempunyai bau aromanya yang tersendiri; mampu menjadi pengganti kepada cap jari jika teknologi sudah mampu mentafsirnya dengan tepat.

5. Cap lidah

cap lidah sebagai ganti cap jari

Pernah tak anda duduk di depan cermin dan menjelirkan lidah anda? LIhat pada permukaan lidah anda. Sedar tak permukaan lidah anda adalah unik hanya kepada anda dan sebenarnya mampu menggantikan cap jari?

Bahagian permukaan lidah terbesar yang dikenali sebagai 'permukaan dorsal', terletak di bahagian belakang penghujung lidah anda kini sudah mula digunakan dalam sistem pengenalan diri khasnya melibatkan bidang forensik. 

Ketepatan sistem imbasan permukaan lidah ini diambil kira menggunakan bermacam jenis faktor lidah; melibatkan tekstur, bentuk rekahan pada lidah, kerataan permukaan, bentuk lidah serta geometri lidah itu sendiri.

Bagi sesetengah sistem imbasan yang lebih kompleks, pengimbas turut sama mampu menganalisis dan membandingkan tahap kedalaman setiap bentuk yang ada pada permukaan lidah, dalam meninggikan lagi kadar ketepatan bacaan.

Dianggap masih dalam peringkat awal kajian, penggunaan lidah sebagai pengganti cap jari diramal mempunyai potensi yang besar disebabkan oleh keunikan yang dimiliki lidah setiap individu.

Namun kekangan kos yang masih tinggi serta teknologi imbasan yang masih terkebelakang berbanding pengimbas organ tubuh lain, menyukarkan perkembangannya.

Lagipun, pada pandangan penulis - lagi senang nak cap telinga berbanding cap lidah atas kertas. Tak nak penulis kena tekapkan lidah pada kertas yang tak diketahui tahap kebersihannya ataupun pengimbas digital yang dah digunakan berpuluh orang sebelum penulis.




Hakcipta iluminasi.com (2017)