Kebanyakan ibu bapa yang masih baru lagi mendirikan rumah tangga mempunyai banyak masalah dalam menjaga dan melayan anak-anak kecil kerana kekurangan pengalaman dalam hal ini. Antara masalah utama bagi anak-anak kecil ini ialah mereka suka untuk berjaga sehingga lewat malam menyebabkan ibu bapa tidak dapat tidur yang cukup untuk bekerja pada keesokan harinya.
BESARKAN TEKS A- A+
Tips ini telah dikongsikan oleh Nuraisyah Abu Husin dan pihak iluminasi telah diberi kebenaran untuk mengulang siar penulisan beliau bagi memudahkan semua ibu bapa dalam mengharungi cabaran sebagai ibu bapa pada hari ini.
Melakukan Aktiviti Bertenaga Dengan Anak-Anak
Memang benar anda harus meluangkan masa dengan anak-anak tapi perlu pada masa yang sesuai. Ini memerlukan sedikit masa anda untuk melakukan aktiviti-aktiviti bersama anak anda jadi perkara-perkara harus diketepikan seketika untuk meluangkan masa bersama mereka.Masa yang diluangkan haruslah digunakan dengan sebaik mungkin iaitu dengan melakukan aktiviti-aktiviti bertenaga.
Contohnya anda boleh membawa anak-anak bermain di taman permainan, membawa mereka naik basikal, menari atau apa-apa sahaja yang memerlukan tenaga yang tinggi kerana ini akan memenatkan anak-anak. Apabila anak-anak penat, ini akan memudahkan mereka untuk tidur awal. Ini hanya sesuai untuk anak yang sudah tahu berjalan
Selain itu, anda harus mengorbankan waktu malam anda seperti untuk tidak keluar rumah pada waktu malam kerana anak-anak harus dilayan dan ditidurkan pada waktu ini. Jika hendak keluar makan bersama rakan-rakan atau ibu bapa, pastikan keluar seawal yang paling seperti selepas maghrib agar anda tidak pulang lewat untuk tidurkan anak-anak anda.
Mandikan Bayi Sejam Sebelum Tidur
Untuk anak-anak yang tidak boleh berjalan seperti bayi yang hanya baru beberapa bulan, sebaiknya mereka harus dimandikan sejam sebelum tidur. Kata Nuraisyah, bayi ini harus dimandikan dengan air suam dan jangan lupa untuk menyapukan minyak "telon" untuk menjaga perut bayi daripada kembong.
Selepas mandi, bermainlah dengan bayi ini dan amat disarankan untuk membuatnya ketawa sebanyak mungkin kerana bayi ini akan berasa penat setelah banyak ketawa. Jangan biarkan bayi itu bermain seorang diri kerana anda harus melayannya untuk memastikan bayi itu sendiri berasa penat agar dia tidak berjaga sehingga lewat malam.
Beri Makanan Kepada Anak-Anak Seawal Mungkin
Seperti orang dewasa, apabila perut kenyang, pasti anak-anak ini akan berasa mengantuk dan secara automatik mereka akan tidur. Walau bagaimanapun, makanan harus diberi seawal waktu yang boleh dan paling disarankan diberikan kepada mereka pada pukul 7. Ini untuk anak-anak umurnya sekitar 1 tahun lebih
Terdapat juga beberapa masalah dalam hal ini kerana anak-anak kadang-kadang tidak mahu makan menyebabkan mereka tidak boleh tidur ataupun mereka tidur awal dan berjaga tengah malam kerana berasa lapar disebabkan perut kosong. Kata Nuraisyah juga, untuk anak-anak sebegini sebaiknya diberikan pisang kepada mereka kerana pisang dapat bertahan daripada malam sehingga pagi.
Tutup Lampu Dan Pasangkan Surah Ruqyah
Untuk memastikan anak-anak mudah tidur, pastikan lampu ditutup. Selagi lampu terbuka selagi itulah menyebabkan mereka susah untuk tidur. Untuk ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak, tidurkan anak yang paling kecil dahulu. Sementara ibu menidurkan anak yang paling kecil, bapa sebaiknya bermain dengan anak yang lain agar anak ini akan berasa penat dengan sendirinya.
Kata Nuraishah, Surah Ruqyah ini dapat melindungi anak-anak daripada gangguan tengah malam. Ada juga yang mengatakan anak-anak ini terbangun pada tengah malam disebabkan makhluk halus tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui. Walau apa pun, sebaiknya surah ini dipasang sehingga pagi di radio mini.
Semoga bermanfaat buat ibu bapa yang mahu mencuba. Harus diingatkan tips ini memerlukan sedikit masa dalam linkungan sebulan kerana untuk biasakan anak anda dengan tabiat-tabiat ini. Selepas mereka sudah biasa, mereka akan berasa mengantuk lebih kurang pada 8.30 malam. Banyak juga faedah ini kerana anda mempunyai masa yang banyak selepas anak tidur.
sumber: FB Nuraisyah Abu Husin