Oleh pada 15 Jan 2020 kategori

Penulis membaca sebuah artikel ringkas berkenaan temuramah pihak media dengan seorang tokoh gerakan Melayu, Tan Sri Mohd Yussof Latiff pada bulan Disember 2019. Beliau yang bergiat aktif dalam politik negeri melalui Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) menceritakan tentang beberapa insiden yang berlaku berkenaan negeri itu.

Salah satu insiden yang sangat menarik perhatian penulis - berkenaan usaha bagi memerdekakan Pulau Pinang daripada Persekutuan Tanah Melayu, seterusnya membolehkan sebuah negara baru ditubuhkan, dikatakan berlaku sekitar tahun 1950-an. Betulkah pernah berlaku insiden sedemikian rupa di negara kita? Benar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mari kita belajar berkenaan sejarah penting ini tetapi sangat jarang diceritakan - kerana impak buruknya kepada masyarakat kita hasil insiden itu berlangsung, masih lagi mampu dirasai sehingga ke hari ini.

Gerakan pembebasan negeri-negeri Tanah Melayu

kisah pulau pinang minta merdeka

Berikutan kedatangan penjajah yang banyak memberikan kesan kepada negara, harus diakui kewujudan banyak pihak menyimpan rasa tidak puas hati dengan tawaran yang diberikan dalam usaha penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Walaupun berjaya dibentuk pada 1 Februari 1948, dalam tempoh berbelas tahun selepas penubuhannya - wujud usaha beberapa pihak untuk keluar daripada gabungan tersebut.

Johor dilaporkan cuba berunding bagi mencapai status kekal negara berdaulat dalam tempoh 1955 hingga 1956, Kelantan pada tahun 1955 dan negeri yang paling lama berusaha mengisytiharkan mereka bebas adalah Pulau Pinang. Gerakan kemerdekaan Pulau Pinang agak pesat dijalankan berbanding dengan tuntutan pihak lain, berlaku dalam tempoh yang panjang dari tahun 1948 sehinggalah 1957.

Semuanya berpunca daripada status Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri-negeri selat yang menjadi anak emas British.

Kejayaan menganjurkan rapat umum pada 13 Disember 1958 berjaya mempersiapkan usul tuntutan bagi mendapatkan status negara bebas daripada British, dengan harapan agar kuasa pemerintahan Pulau Pinang diberikan kepada mereka - berdasarkan kepada undang-undang negeri selat yang telah mereka amalkan.

Gerakan ini bukan kecil-kecilan, malahan disokong oleh persatuan-persatuan utama mewakili masyarakat Cina, India, Eurasia serta persatuan-persatuan pekerja dan pihak media pro kemerdekaan Pulau Pinang, seperti akhbar The Straits Echo yang menjadi lidah rasmi negeri tersebut ketika itu.

Gerakan itu menamakan diri mereka 'Gerakan Kemerdekaan Pulau Pinang' mempunyai dua matlamat utama - yang pertama untuk keluar daripada Persekutuan Tanah Melayu dan yang kedua, memperkenalkan semula sistem pentadbiran negeri selat di situ.

Sayang sangat status warga British

penang pulau pinang tuntut merdeka

Majoriti mereka yang menyokong gerakan ini datang dari dua kumpulan utama - peniaga dan generasi baru yang lahir di Pulau Pinang semasa pemerintahan British, melibatkan kumpulan pendatang Cina dan India..

Berikutan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang dilihat bakal mengubah sistem sosial masyarakat mereka sepenuhnya, kewujudan rasa bimbang di kalangan ahli gerakan ini dikatakan berpunca daripada satu sebab utama - takut hilang hak kerakyatan dan keistimewaan mereka sebagai warga British.

Berbeza dengan orang Melayu, orang Cina dan India majoritinya ketika itu masih bernaung sebagai rakyat British.

Dalam satu artikel terbitan The Straits Echo, penulis artikel tersebut menyifatkan tuntutan mereka perlu diterima British kerana British perlu mempertahankan status mereka sebagai warga British - menyifatkan pemberian kewarganegaraan Tanah Melayu merupakan satu pertukaran yang merugikan mereka.

Beberapa tokoh kaum Cina yang tinggal di Pulau Pinang menyatakan rasa benci secara terbuka terhadap kehilangan kewarganegaraan British mereka untuk digantikan dengan status penduduk tetap Tanah Melayu - kerana dikatakan mencalarkan maruah mereka.

Apa yang lebih ditakuti gerakan itu, adalah kebangkitan kesedaran politik orang Melayu - kerana tidak dapat mempercayai nasib mereka apabila pentadbiran Tanah Melayu diberikan kepada pemimpin-pemimpin Melayu.

Masalah identiti menjadi isu utama menggerakkan mereka, kerana mereka merasakan seandainya British meletakkan Pulau Pinang sebaris dengan negeri-negeri Melayu yang lain, identiti Cina British yang telah berjaya mereka bentuk sejak hadir ke situ akan diubah menjadi 'model identiti masyarakat Melayu.'

Atas sebab-sebab itulah, Gerakan Kemerdekaan Pulau Pinang berusaha keras mahu memastikan cita-cita mereka bebas daripada pengaruh Persekutuan Tanah Melayu, perlu berjaya. Slogan 'Hidup Melayu' dan 'Tanah Melayu' yang dilaung-laungkan orang Melayu ketika itu - menyebabkan gerakan ini nampak tiada jalan lain bagi mengekalkan masa depan mereka.

Mahu keluar daripada politik orang Melayu

penang tuntutan keluar tanah melayu

Situasi itu diburukkan lagi dengan apa yang berlaku di Singapura. Walaupun kedua-duanya berkongsi status yang sama di bawah British, Singapura merupakan intan payung British sebenar. Yang lebih penting, di Singapura - berikutan kuasa politik orang Melayu yang jauh lebih lemah, tidak ada tekanan ke atas Britain bagi mewujudkan dasar yang mengutamakan orang Melayu seperti yang berlaku di negeri-negeri lain.

Komuniti Singapura dilihat mempunyai kuasa ke atas hala tuju masyarakat mereka, khasnya dalam melibatkan hak ehwal tempatan berbanding Pulau Pinang yang perlu tunduk kepada tekanan dari pentadbiran kerajaan di Kuala Lumpur.

Berikutan tekanan-tekanan yang dirasakan bakal jatuh ke bahu mereka, mesej untuk melakukan tuntutan keluar Persekutuan secara rasmi mula digerakkan - namun hanya selepas satu insiden melibatkan Pengerusi Dewan Perniagaan Eropah Pulau Pinang, D.A. Mackay - yang menghantar surat bertarikh 18 November 1948 mengandungi sokongan tidak rasmi agar Pulau Pinang tidak menyertai Persekutuan Tanah Melayu; barulah komuniti peniaga dan pemimpin Cina mula berani menyuarakan pandangan mereka.

Pandangan itu yang sepatutnya menjadi maklumat sulit bocor di kalangan pemimpin perniagaan Cina sehingga diterbitkan di muka depan akhbar The Straits Echo. Dalam tempoh 2 minggu selepas isi kandungan surat itu disebarkan, komuniti peniaga dan penduduk Cina di Pulau Pinang bertindak menganjurkan rapat umum pertama mereka pada 12 Disember 1948, yang menjadi titik tolak gerakan ini secara rasmi.

Kerjasama komuniti Cina di negeri-negeri selat

straits settlements

Selain daripada mewujudkan sebuah pentadbiran sendiri, pemimpin Cina di Pulau Pinang juga berhasrat mahu terus mengukuhkan kerjasama sedia ada antara semua negeri selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura - bagi membolehkan mereka keluar daripada dominasi politik orang Melayu.

Beberapa insiden melibatkan gerakan komunis mencipta persepsi buruk di kalangan orang Melayu terhadap orang Cina, memperkuatkan lagi hujah mengapa perlunya mereka keluar - sehinggakan idea agar kewujudan sebuah negara yang dibentuk daripada dua pulau iaitu Singapura dan Pulau Pinang turut sama kedengaran.

Malangnya - cadangan dan hujah yang diberikan oleh gerakan pemisah ini, kurang dipersetujui oleh British. Ini kerana kewujudan komuniti orang Melayu Pulau Pinang dilihat sengaja diabaikan dalam semua cadangan mereka. Berikutan rasa bimbang berlakunya masalah perkauman yang lebih meruncing ketika itu, British menegaskan bahawa sebarang usaha pemisahan perlulah turut sama mengambil kira aspek dan pandangan orang Melayu - kerana bimbang gerakan itu dilihat sebagai gerakan anti Melayu dan berasaskan perkauman.

Buktinya - tidak ada mana-mana satu pun persatuan atau gerakan Melayu di Pulau Pinang menyokong gerakan tersebut, majoritinya ditunjangi komuniti peniaga Cina semata-mata. Walau demikian, laporan juga menyebut bahawa selain daripada orang Melayu, gerakan memisahkan Pulau Pinang ini juga mendapat tentangan tokoh Cina seperti Tan Cheng Lock, komuniti-komuniti bukan Melayu di negeri lain, Kongres India di Pulau Pinang dan juga wakil kerajaan British sendiri - yang merasakan gerakan itu sesuatu yang bakal menimbulkan lebih banyak masalah.

Berakhirnya tuntutan

pulau pinang gerakan kemerdekaan

Walaupun British bertegas dengan pendirian mereka, mereka masih memberi ruang bagi Gerakan Kemerdekaan Pulau Pinang bersuara. Selepas rapat umum yang dianjurkan hanya mampu menarik 216 peserta, tanpa seorang Melayu pun terlibat - perbincangan bersama pegawai British diteruskan melibatkan Henry Gurney, Malcolm MacDonald dan wakil gerakan pemisah.

Sebuah jawatankuasa ditubuhkan oleh British bagi menambah baik perkara yang menjadi isu kepada gerakan tersebut, namun tuntutan asal mereka ditolak mentah-mentah. Selepas beberapa minggu perbincangan berlangsung, jawatankuasa bagi membincangkan tuntutan itu mengumumkan bahawa proses rundingan bagi membenarkan Pulau Pinang keluar daripada Persekutuan Tanah Melayu ditutup, pada 21 Januari 1949.

British mengisytiharkan bahawa cadangan untuk mengeluarkan Pulau Pinang, merupakan satu tuntutan yang tidak langsung boleh diterima. Mesyuarat melibatkan tokoh-tokoh gerakan pemisah bersidang, cuba mencari jalan bagi membolehkan tuntutan mereka diteruskan. Beberapa usaha rayuan dikemukakan daripada bulan Februari sehinggalah Julai tahun tersebut - apabila petisyen gerakan pemisah itu selamat dihantar ke tangan wakil British.

British menggunakan helah melakukan penangguhan, memohon agar petisyen itu ditulis semula bagi memperjelaskan beberapa perkara yang kurang jelas. Tidak ada lagi petisyen diberikan selepas gerakan itu juga mula kurang aktif dan tuntutan kemerdekaan tidak lagi kedengaran.

Gerakan pemimpin UMNO yang sebelum itu lantang memperjuangkan kedudukan orang Melayu mula berubah nadanya, khasnya Dato' Onn Jaafar. Dalam ucapan-ucapannya selepas 'matinya' gerakan ini, beliau mula direkodkan memujuk agar orang Melayu menerima perbezaan di antara mereka dan identiti orang Pulau Pinang yang unik, seterusnya menjanjikan kesamarataan, seperti mana yang dituntut gerakan pemisah sebelum itu.

Perubahan tona pemimpin UMNO dikatakan berjaya meredakan kebangkitan dan kemarahan orang Melayu khasnya Melayu Pulau Pinang, yang ketika itu mahu menggabungkan Pulau Pinang dan Seberang Perai kembali di bawah kuasa pemerintahan Sultan Kedah.

Rujukan

The Penang Secession Movement 1948-1951




Hakcipta iluminasi.com (2017)