iluminasi kontrak sosial4

Pada tahun 2005, Datuk Seri Lim Keng Yaik menganjurkan kepada parti-parti politik agar meninggalkan amalan kontrak sosial yang diamalkan selama ini di Malaysia. Hujahnya kerana ini membuatkan rakyat Cina dan India kecil hati dengan kelebihan yang diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera.

Selepas mendapat kecaman, Datuk Seri Lim Keng Yaik membuat permohonan maaf dan menjelaskan hasrat beliau sebenarnya telah disalahertikan. Kemudian, susulan daripada insiden itu kerajaan Malaysia mengumumkan agar semua perdebatan mengenai isu kontrak sosial dihentikan.

Namun, melihat iklim politik kita ketika ini, pasti isu kontrak sosial ini akan timbul semula jadi sejauh mana kita memahami apa yang dimaksudkan 'kontrak sosial' ini?

iluminasi kontrak sosial2

Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di antara pemimpin Melayu, Cina dan India menerusi parti UMNO, MCA dan MIC yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat dan bukan hanya perlu dihormati oleh barisan tertinggi pemimpin negara. Dengan menggunakan pilihanraya sebagai kayu ukur kekuatan kontrak sosial, rakyat secara majoriti bersetuju untuk menerima akan wujud kontrak di antara masyarakat pelbagai bangsa melalui kemenangan parti Perikatan pada pilihan raya.

Dakwaan sesetengah pihak yang kontrak sosial tidak wujud dalam perlembagaan adalah benar tetapi harus diingatkan, tanpa wujudnya kontrak sosial pada ketika itu, pasti tidak akan wujud kesefahaman yang menjurus kepada kemerdekaan negara kita. Kontrak sosial sepatutnya dilihat bukan dari sudut undang-undang tetapi melalui faktor-faktor sentimen sejarah yang memungkinkan pembentukan empat perkara berikut - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara kita.

iluminasi kontrak sosial

Kontrak sosial yang diwujudkan adalah titik tengah kepada persetujuan kesemua wakil-wakil pemimpin mengikut bangsa dan seharusnya dilihat sebagai satu perjanjian tidak rasmi yang wujud di negara kita.

Dengan adanya semua persetujuan dalam kontrak sosial, Malaysia mampu lahir sebagai sebuah negara berbilang bangsa, yang mengamalkan sistem kenegaraan Melayu.

Ungkapan inilah yang paling sukar diterima sesetengah pihak kerana konsep penubuhan Malaysia itu tidak lari jauh dengan hubungan akar umbi orang Melayu. Selain itu, perlembagaan yang dibentuk juga mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan kedudukan sistem pemerintahan di-Raja.

iluminasi kontrak sosial3

Pada tahun 2008, Sultan Azlan Shah mencadangkan agar subjek khas berkenaan kontrak sosial diperkenalkan bagi membantu generasi muda memahami nilai-nilai yang terkandung dalam perjanjian berkenaan. Pada 2014, Institut Terjemahan Buku Negara meneribitkan buku berjudul 'Kontrak Sosial Perlembagaan Persekutuan 1957 : Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia' untuk memperincikan lagi makna sebenar dan pengaruh kontrak sosial.

Kontroversi-kontroversi mula timbul apabila pihak yang memperjuangkan kontrak sosial mencadangkan subjek sejarah digantikan dengan subjek kontrak sosial namun cadangan Persatuan Melayu Pulau Pinang itu mendapat tentangan ahli akademik dan guru-guru sekolah.

Jika selepas ini masih ada pihak yang cuba menidakkan kewujudan kontrak sosial yang menjadi asas persefahaman kepada pembentukan Malaysia, mereka perlu sedar, tanpa wujudnya kontrak sosial ini, apa yang kita nikmati sekarang tidak akan dapat dicapai.


tags : , , , , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)