Seorang lelaki bernama Douglas Ng'ang'a yang bekerja sebagai seorang pemandu mengusahakan sebuah perpustakaan mini dari rumahnya di Lembah Mathare di Nairobi.

Dia hanya bermula dengan 200 buah buku miliknya sendiri. Apabila kisahnya menjadi buah mulut komuniti, jiran-jiran mula mendermakan buku kepada Douglas. Kini, perpustakaan itu menempatkan lebih kurang 3,000 buah buku. Douglas amat berterima kasih atas keprihatinan dan sikap dermawan jiran-jirannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sikap pemurah dan baik hati masyarakat di Kenya itu sebenarnya bukanlah suatu perkara luar biasa.

World Giving Index 2017

Setiap tahun, Yayasan Bantuan Amal (Charities Aid Foundation, CAF) mengumpulkan data dan mengeluarkan laporan Indeks Pemberian Dunia. Pada tahun 2017, jangan terkejut kerana Kenya berada di tangga ketiga di belakang Myanmar dan Indonesia.

Kedudukan laporan ini dibuat berdasarkan tiga titik data daripada Pungutan Suara Dunia Gallup iaitu peratus responden yang menyumbang, kerja sukarelawan dan bantuan kepada orang asing pada bulan sebelumnya. Ia juga tidak mewakili masalah sosial ataupun isu toleransi antara kaum dan etnik. Myanmar mendahului carta untuk tahun keempat berturut-turut meskipun dilanda krisis besar yang melibatkan setengah juta pelarian Rohingya.

negara paling pemurah di dunia dermawan sumbangan kebajikan sukarelawan

Laporan terbaru ini mendapati pemberian di seluruh dunia menurun secara umumnya dengan penurunan paling ketara bagi negara membangun. Amerika Syarikat misalnya, turun dari tangga ke-2 ke tempat ke-5 dalam masa 5 tahun. Namun, negara itu masih menjadi penyumbang terbanyak berdasarkan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) iaitu sebanyak 2.1%.

Kenya pula naik dari tempat ke-40 sehingga menduduki tangga ke-3 dalam masa 5 tahun. Trend ini menunjukkan negara-negara lain di benua Afrika juga masih mempunyai harapan.

Menurut Adam Pickering, pengarah program antarabangsa CAF, kajian mereka mendapati apabila seseorang mula mempunyai wang dan dikelilingi keperluan mendesak orang lain, mereka akan lebih bermurah hati untuk memberi.

Dengan kebangkitan ekonomi di Afrika, sebanyak 8 buah negara di sana yang mengalami peningkatan dalam sumbangan kepada orang lain. Selain Kenya, Ghana, Zambia, Sierra Leone, Liberia, Zimbabwe dan Afrika Selatan juga tersenarai dalam 13 buah negara yang paling memberangsangkan.

Konsep "harambee"

Sikap berkongsi itu sememangnya menjadi satu budaya di kalangan warga Kenya. Malah, dalam jata negara itu sendiri terdapat satu perkataan "harambee" dalam Swahili yang memberi makna "semua ditarik bersama-sama".

Di Afrika, semangat harambee itu disemai dalam setiap warga masyarakat sejak dari kecil lagi. Secara tradisinya, tekanan hidup seseorang individu akan turut menjadi masalah dan kebimbangan seluruh ahli komuniti. 

konsep harambee komuniti prihatin

Selain itu, media sosial juga telah memainkan peranan dalam menyebarkan sikap dermawan dalam masyarakat di sana. Pengumpulan dana dan sumber untuk membantu orang yang tidak dikenali dibuat secara dalam talian menggunakan platform seperti Facebook dan WhatsApp.

Menurut Pickering lagi, CAF amat yakin yang laporan indeks ini amat berguna untuk dijadikan trend. Namun, penyebab trend ini juga melibatkan banyak spekulasi. Banyak laporan berita di seluruh dunia yang memperdebatkan kenapa statistik menurun atau meningkat. Selain itu, banyak pihak yang mempersoalkan tahap kedermawanan masyarakat setempat dan memberi pelbagai cadangan untuk menjadi lebih bermurah hati.

Anda pasti tertanya-tanya - bagaimana pula dengan rakyat Malaysia, bukan?

malaysia world giving index 2016 murah hati dermawan pemberian bantu orang

Bagi tahun 2017, Malaysia tidak tersenarai dalam indeks namun bagi tahun 2016, Malaysia berada di tangga ke-22. Bagi purata kedudukan antara tahun 2012-2016 pula, negara kita berada di tangga ke-17. Agak boleh dibanggakan, kan? Orang Malaysia sememangnya rata-rata amat pemurah dan baik hati.

Mungkin kita boleh bersama-sama mula mengamalkan konsep harambee dan menjadi masyarakat yang lebih mengambil berat untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang lebih memerlukan. Masih belum terlewat untuk kita menjadi warga prihatin. Apa yang paling penting, wang ringgit bukanlah kayu pengukur sama ada anda layak menjadi seorang "pemberi" atau tidak.

rakyat malaysia amat pemurah derma baju dan seluar dalam terpakai

Ingat, nak buat benda baik, buatlah betul-betul. Sebelum menderma (terutama sekali barangan terpakai), cuba letakkan diri anda di tempat bakal penerima terlebih dahulu. Adakah anda suka menerima sumbangan sedemikian?

Lepas bersedekah atau menghulur bantuan pula, agama mengajar kita agar tidak mengungkit, tidak mengharapkan balasan dan sudah semestinya tidak boleh berbangga diri. Jika tidak, amalan itu akhirnya akan menjadi sia-sia sahaja.

Renung-renungkan dan selamat beramal!

Rujukan:

1. World Giving Index

2. Gallup World Poll

3. NPR




Hakcipta iluminasi.com (2017)