Oleh pada 20 Jun 2022 kategori

Dalam perkembangan anak-anak, seorang ayah memainkan peranan penting sebagai role-model, contoh tauladan atau idola kepada anak mereka. Anak akan membesar dengan minda yang cemerlang dan sihat sekiranya dipelopori oleh contoh tauladan dari seorang ayah yang mithali. Di dalam Al-Quran juga ada menceritakan peranan dan tanggungjawab bapa dalam keluarga serta panduan membesarkan anak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Mendoakan anak agar kekal di landasan Islam

Di dalam Al-Quran ada menceritakan kisah Nabi Ibrahim yang menjadi ayah di usia senja. Walaupun telah lama menunggu cahaya matanya itu, Nabi Ibrahim tetap menurut perintah Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Al-Quran telah menceritakan sebanyak 2 kali Nabi Ibrahim mendoakan anaknya.  

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
(Surah As-Saffat 37:102)


"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku".
(Surah Ibrahim 14:40)

Betapa mulianya keperibadian Nabi Ibrahim A.S yang begitu prihatin terhadap anaknya bahkan seluruh keturunannya juga. Betapa bertuahnya kita kan? Dalam ayat lain, Nabi Ibrahim turut mendoakan anak cucu dan keturuannya selepas baginda beribadah kepada Allah S.W.T. 

"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani"
(Surah al-Baqarah 2:128) 

2. Menjadi teman berbicara untuk anak-anak 

Nabi Yaakub memiliki 12 anak lelaki. Anaknya yang bongsu bernama Yusuf A.S. Anak bongsu ini amat rapat dengan ayahnya. Hubungan anak dan bapa yang diceritakan sangat indah menunjukkan Nabi Yaakub dan Yusuf sangat akrab dan boleh berkomunikasi seperti sahabat karib. 

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku".
(Surah Yusuf 12:4)

Nabi Yusuf dengan selambanya menceritakan kisah mimpinya kepada ayahnya sendiri dan Nabi Yaakub berperanan sebagai pendengar yang baik. Sudikah anda melayan anak anda bercerita tentang mimpinya? 

Sebagai seorang ayah, Nabi Yaakub amat mengenali perangai anaknya itu. Kemudian beliau memberi nasihat yang baik agar anak kecilnya itu tidak menceritakan mimpinya kepada orang lain. Dikhuatiri saudara-maranya akan terpengaruh dengan bisikan syaitan dan fitnah.

Bapanya berkata:"Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia".
(Surah Yusuf 12:5)

  fattah amin dan anaknya

Gambar Fattah Amin sekadar hiasan

3. Menunjukkan perasaan kasih dan sayang melalui perbuatan/fizikal

Berkaitan kasih sayang, sudah tentu Nabi Muhammad S.A.W adalah contoh tauladan yang baik. Baginda amat terkenal dengan sifat kasih sayang, berbelas ihsan, berbelas kasihan kepada orang terdekat dengannya. Baginda disifatkan oleh Allah sebagai rahmat kepada seluruh alam ini.

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".
(Surah Al-Anbiya 21:107)

Menurut A'isyah R.A, Nabi Muhammad tidak pernah jemu untuk menunjukkan perasaan kasih sayang serta menghormati anak perempuannya Fatimah R.A walaupun di hadapan orang lain. Sifat ini adalah amat terpuji sekali sebagai contoh dan tauladan dalam mendidik anak-anak.

 

“Saya tidak melihat seseorang yang lebih menyerupai Rasulullah dalam cara bercakap daripada Fatimah. Apabila dia datang kepadanya, dia berdiri untuknya, menyambutnya, menciumnya dan menyuruhnya duduk di tempatnya. Apabila Nabi datang kepadanya, dia berdiri untuknya, memegang tangannya, menyambutnya, menciumnya, dan menyuruhnya duduk di tempatnya. Dia datang kepadanya semasa sakit dan dia memberi salam dan menciumnya."
(Al-Adab Al-Mufrad Kitab 42, Hadis 971)

4. Memberi kebijaksanaan dan nilai murni.

Luqman Al-Hakim diberi ilmu dan hikmah oleh Allah. Luqman telah memperturunkan ilmu mengemudi dan nilai-nilai murni kepada anaknya. Yang terutama, Luqman mengajarkan kepada anaknya tentang baik buruk.

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
(Surah Luqman 31:16) 

Selain itu, Luqman juga memanggil anaknya dengan panggilan manja dan mesra. Luqman sentiasa menasihati anaknya agar merendah diri, melakukan kebaikan dan sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan orang ramai. Perbuatan Luqman ini jelas dinyatakan di dalam Al-Quran.

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
(Surah Luqman [31:18]) 

Luqman mahu anaknya berjaya di dalam menempuhi cabaran hidup pada masa sama tidak mengabaikan kebaikan sesama makhluk. Beliau juga tidak lupa mengingatkan anaknya tentang hubungan dengan Allah. Luqman sangat-sangat faham betapa pentingnya hubungan baik seorang ayah dengan anaknya.

Berdasarkan kisah ringkas yang kami ceritakan ini, kami harap semua bapa-bapa atau ayah-ayah tidak hanya sekadar membanting tulang mencari duit untuk keluarga. Sama-samalah kita mendidik keluarga serta anak seperti apa yang Allah S.W.T telah sampaikan kepada kita di dalam Al-Quran. 

Hidup berkeluarga dan membesarkan anak di zaman ini, memang sangat mencabar. Pelbagai dugaan dan ujian datang melanda. Kami doakan semoga Allah meredhai setiap apa yang kita lakukan dan kita semua sentiasa di dalam rahmatNya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)