Oleh pada 22 May 2021 kategori

Dalam persembahan 'live' sesuatu orkestra, kita dapat lihat konduktor berdiri di hadapan dan menggerak-gerakkan kedua-dua belah tangannya. Ada kalanya tangan diangkat tinggi, ada kalanya rendah dan ada ketikanya satu tinggi dan satu rendah.

Gerakan tangan konduktor ini membingungkan bagi seseorang yang tidak tahu membaca nota muzik tetapi sebenarnya ia menyampaikan arahan kepada orkestra.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tanpa disedari, kita juga bersikap seperti seorang konduktor okestra dalam kehidupan seharian. Semasa bercakap, kita menggerakkan tangan mengikut nada percakapan seolah-olah meniru emosi dan melakonkan cerita yang disampaikan.

Sebenarnya, isyarat tangan sangat penting bagi cara kita bercakap. Jika anda secara aktif menghalang diri daripada melakukannya, anda akan mendapati bahawa cara percakapan anda akan berbeza.

Anda akan lebih peka dengan perkataan yang dituturkan dan memerlukan lebih banyak usaha untuk menyampaikan perkataan yang tepat. Anda mungkin akan tergagap-gagap dan lebih berfikir untuk mencari idea.

Jadi, mengapa kita menggerakkan tangan sekiranya kita mempunyai kata-kata yang sesuai dituturkan seperti yang diingini? Apa sebenarnya hubungan gerakan tangan dengan cara pertuturan kita?

Komunikasi tanpa lisan atau paralinguistik

Kata dan ayat bukanlah satu-satunya perkara yang membentuk bahasa. Seluruh makna di sebalik pertuturan kita akan muncul apabila kita menggunakan seluruh badan atau lebih dikenali dengan 'bahasa badan'.

datuk seri noor hisham

Credit : thestar.com.my

Jika kita tidak sukakan seseorang, kita akan duduk dengan jari kaki tidak mengarah kepada mereka. Jika kita berbohong, anak mata akan membesar. Jika keliru, kening akan condong dan kita akan menggaru-garu kepala.

Sebenarnya, semua contoh ini adalah bahasa tanpa lisan atau non-verbal language.

Isyarat juga seperti kata-kata, terdiri daripada perbendaharaan kata yang kaya. Namun, isyarat tidak seperti perkataan yang terdapat dalam kamus. Sebilangan besar mempunyai makna dalam konteks pertuturan.

Sebagai contoh, anda menunjukkan ke arah abang atau kakak anda ketika mengadu kepada ibu bapa anda mengenai mereka. Isyarat tangan anda menguatkan lagi perkataan atau perasaan marah terhadap mereka.

Gerak isyarat memperkayakan bahasa lisan kita dan sebab itulah para penyelidik menyebutnya sebagai paralinguistik iaitu semua perkara di luar bahasa yang dituturkan.

Namun, isyarat adalah berbeza dengan bahasa isyarat. Bahasa isyarat yang digunakan oleh orang kelainan upaya (OKU) pekak atau bisu adalah bahasa yang lengkap manakala isyarat pula adalah tambahan bagi bahasa pertuturan utama.

Jenis isyarat tangan

jenis gerak isyarat tangan

Isyarat tangan terdapat dalam pelbagai jenis. Menurut pengkelasan seorang penyelidik, David McNeill, terdapat empat jenis isyarat tangan.

1. Iconic Gestures (Gerak Isyarat Ikonik) 

Gerak isyarat ikonik adalah gambar visual dari apa yang kita bicarakan. Contohnya, anda berbicara tentang berjalan kaki sambil menunjukkan jari telunjuk dan tengah seolah-olah jari anda sedang berjalan.

Gerak isyarat ikonik tidak mempunyai makna sendiri. Isyarat satu jari yang berputar mungkin bermaksud puting beliung atau kereta terbabas yang sedang berpusing. Makna isyarat ini bergantung kepada konteks ayat.

2. Metaphoric Gestures (Gerak Isyarat Kiasan)

Gerak isyarat kiasan adalah metafora visual. Gerakan ini biasanya muncul ketika kita perlu membincangkan idea abstrak seperti falsafah atau matematik.

Sebagai contoh, apabila ditanya tentang soalan matematik seperti "berapa jam yang diperlukan pekerja untuk menyiapkan pembinaan ini?", kita akan membuat gerakan seperti tangan menyapu atau ketukan kecil dari satu arah ke arah berikutnya ketika mengira.

3. Deictic Gestures (Gerak Isyarat Deiksis)

Gerak isyarat deiksis adalah isyarat menunjuk. Ia digunakan untuk menunjukkan sesuatu arah, tempat atau seseorang. Contohnya saya, ini dan itu.

4. Beat Gestures (Gerak Isyarat Rentak)

Akhir sekali ialah gerak isyarat rentak di mana anda mengetuk mengikut rentak ucapan anda. Setiap kali anda menekankan satu perkataan, tangan anda mungkin bergerak ke bawah atau mengetuk telapak untuk meningkatkan kesan apa yang anda katakan.

Gerak tangan membantu kita berfikir

Selain membantu kita berkomunikasi dengan orang lain, gerak tangan juga dapat membantu kita berfikir dan menjadikan bahasa lisan kita lebih baik.

gerak isyarat tangan

Jika anda ingin menerangkan bagaimana dua objek itu berbeza atau bagaimana sesuatu perkara itu berubah menjadi yang lain, gerak isyarat dapat membantu anda memikirkan kata-kata yang sesuai.

Perkara ini turut dikaji oleh pakar. Pada tahun 2009, sekumpulan penyelidik mendapati bahawa gerak isyarat tangan ditafsirkan oleh bahagian otak yang sama menafsirkan bahasa lisan dan bahasa isyarat. Ini menunjukkan bahawa gerak tangan penting untuk bahasa dan pemahaman manusia.

Bahkan, gerak isyarat juga membantu kita mempelajari bahasa baru. Penyelidik bernama Manuela Macedonia mendapati bahawa mempelajari cara gerak isyarat dalam bahasa baru membantu pelajar mengingati perbendaharaan kata dan lebih aktif bercakap dalam bahasa itu.

Apa yang menariknya, kita juga kadang-kala menggunakan gerak isyarat ketika bercakap dengan diri sendiri. Walaupun tiada pendengar, tangan kita menemani kata-kata dan pemikiran kita.

Bagi mereka yang mempunyai masalah gagap, gerak isyarat tangan membantu dan memudahkan percakapan menjadi lancar.




Hakcipta iluminasi.com (2017)