Pada tahun 1928, kerajaan Turki telah mengambil keputusan besar dengan mengubah sistem tulisan di negara mereka. Pada ketika itu, sistem tulisan Turki dipengaruhi oleh sistem tulisan Arab yang didakwa sukar difahami oleh kebanyakan rakyatnya.

Disebabkan ini, ramai orang luar yang berhijrah ke Turki masih sukar membaca papan tanda di jalan walaupun sudah fasih berbicara menggunakan bahasa Turki. Malah, kanak-kanak juga dikatakan sukar mempelajari bahasa Turki berbanding bahasa lain yang menggunakan abjad-abjad Latin.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kesukaran mempelajari bahasa Turki terutamanya bagi golongan muda menyebabkan kerajaan terpaksa membuat sesuatu bagi memastikan bahasa ini tidak terus dipinggirkan. Disebabkan inilah, kerajaan Turki pimpinan Mustafa Kamal Ataturk telah mengambil keputusan untuk menggunakan sesetengah abjad Latin ke dalam bahasa Turki.

Keputusan ini dikatakan akan memudahkan bahasa ini lebih mudah dipelajari dan tersebar terutamanya kepada orang Eropah, secara tidak langsung membantu pembangunan negara ke arah negara yang lebih progresif.

Abjad-abjad dalam bahasa Turki

sistem ejaan turki 918

Sistem tulisan Arab purba dikatakan mempunyai terlalu banyak huruf atau abjad dan hal ini dikatakan menyebabkan kesukaran kepada mesin pencetak pada waktu itu. Sementara itu, dalam sistem tulisan dan bahasa Turki, hanya 29 abjad sahaja yang digunakan.

A B C Ç D E F G Ğ H I İ J K L M N O Ö P R S Ş T U Ü V Y Z

Secara umumnya abjad-abjad di atas yang digunakan dalam sistem tulisan bahasa Turki kelihatan sama dengan abjad-abjad yang kita biasa gunakan kerana ianya turut diambil daripada sistem Latin. Namun, terdapat beberapa abjad istimewa yang mempunyai tanda titik atau garisan pada bahagian atas atau bawah yang diperkenalkan untuk disesuaikan dengan beberapa sebutan dalam bahasa Turki.

Sementara itu, 3 abjad yang dipercayai tidak digunakan dibuang terus daripada sistem baru yang diperkenalkan ini. 3 abjad atau huruf tersebut adalah Q, W dan X. Ketiga-tiga huruf ini dibuang kerana dipercayai boleh digantikan dengan huruf K, V dan KS.

Sebagai contoh, ejaan "taxi" boleh dieja sebagai "taksi", dimana huruf X boleh diganti dengan KS. Contoh lain adalah ejaan bagi "Nowruz" menjadi "Nevruz". Bagi yang tidak tahu, Nowruz merupakan sambutan Tahun Baru bagi orang Parsi.

Perlaksanaan sistem ejaan baharu

arca mustafa kamal atartuk 133

Binaan arca yang memaparkan Mustafa Kamal Atartuk sedang memperkenalkan sistem ejaan baru 

Pengenalan sistem tulisan baru ini juga bermakna kesemua papan tanda di tempat awam di seluruh negara terpaksa juga diubah menggunakan sistem ejaan baru ini. Nama jalan, kedai, stesyen bas, nama syarikat, nama stesyen kereta api dan sebagainya terpaksa ditukar mengikut sistem baru ini.

Selain itu, syarikat penerbitan akhbar dan jurnal juga dipaksa menggunakan sistem percetakan yang baru. Malah, dokumen-dokumen penting yang lama dan buku-buku teks di sekolah juga terpaksa diperbetulkan dan dicetak semula mengikut sistem ejaan yang baru ini.

Bagi memperkasakan lagi perlaksanaan sistem ejaan baru ini, maka kesemua rakyat Turki berusia antara 16 dan 40 tahun diwajibkan mempelejari sistem baru ini sementara para pelajar di sekolah juga turut diperkenalkan dengan sistem ejaan baru ini.

Peminggiran sistem bahasa Arab

masjid biru istanbul

Penukaran sistem ejaan sesuatu bahasa di sebuah negara yang mempunyai 14 juta penduduk bukanlah satu tugasan yang mudah. Sesetengah pihak menganggap kejayaan kerajaan menerapkan sistem ejaan baru ini dalam masa beberapa minggu sahaja sebagai satu pencapaian terbesar Turki dari segi pendidikan.

Walau bagaimanapun, tidak semua menyambut baik usaha ini. Malah, pengenalan sistem ejaan baru yang berpaksikan kepada sistem ejaan Latin ini didakwa merupakan salah satu usaha halus Mustafa Kamal Atartuk untuk menjadikan Turki sebagai sebuah negara sekular.

Apabila Mustafa Kama Ataturk mengeluarkan ketiga-tiga huruf Q, W dan X daripada sistem ejaan baru yang diperkenalkan, dia turut sama mengharamkan penggunaannya secara terbuka. Malah, sesiapa yang didapati menggunakna ketiga-tiga huruf ini di tempat awam (nama kedai, nama syarikat, nama jalan dll) akan dikenakan denda.

Walau bagaimanapun, terdapat juga pengecualian yang diberikan terhadap ketiga-tiga huruf ini.  Ketiga-tiga huruf ini hanya boleh digunakan pada beberapa perkataan tertentu yang dipinjam daripada bahasa Inggeris dan bahasa lain.

Sebagai contoh, salah satu saluran penyiaran televisyen terbesar Turki dibenarkan menggunakan "Show TV" kerana ianya diambil daripada bahasa Inggeris. Selain itu, terdapat juga papan tanda iklan mesin pencetak daripada syarikat Xerox yang dibenarkan kerana ianya adalah syarikat daripada luar.

Tentangan daripada orang Kurdis

orang kurdis turki

Orang daripada bangsa Kurdis meliputi kira-kira 20 peratus daripada populasi rakyat Turki dan mereka adalah antara golongan yang terkesan dengan pengharaman ketiga-tiga huruf ini. Mereka sangat menentang keras pengharaman ketiga-tiga huruf ini memandangkan mereka mempunyai bahasa tersendiri yang menggunapakai ketiga-tiga huruf ini.

Bahasa Turki diisytiharkan sebagai bahasa rasmi di Turki dan penentangan golongan Kurdis terhadap pengharaman penggunaan huruf Q, W dan X menyebabkan bahasa Kurdis pernah diharamkan suatu ketika dahulu. Malah, ada sesetengah daripada mereka terpaksa menukar nama sekiranya nama mereka mengandungi abjad-abjad yang diharamkan ini.

Sebagai golongan minorit di Turki, golongan Kurdis sememangnya mempunyai sejarah panjang didiskriminasi oleh kerajaan pimpinan Mustafa Kamal Atartuk.

Kebenaran menggunakan semula huruf Q, W dan X

pengharaman abjad 271

Segalanya berakhir pada Oktober 2013 apabila kerajaan Turki telah menarik balik pengharaman terhadap abjad Q, W dan X. Malah, kerajaan juga dilihat lebih terbuka dengan penggunaan bahasa Kurdis di kawasan awam.

Sebagai contoh, siaran televisyen berbahasa Kurdis dibenarkan beroperasi 24 jam sehari berbanding hanya 45 minit sehari. Selain itu, subjek pembelajaran bahasa Kurdis juga dibenarkan di sekolah awam berbanding sebelum itu yang hanya dibenarkan diajar di sekolah-sekolah swassta sahaja.

Kredit:

  1. Slate
  2. American Journal of Sociology
  3. Wikipedia
  4. Public Radio International



Hakcipta iluminasi.com (2017)