Oleh pada 28 Jul 2018 kategori

Bintang bola sepak terkenal, Mesut Ozil ketika ini bermain dengan kelab Arsenal di England serta telah menjadi watak penting membantu Jerman memenangi Piala Dunia 2014.

Dia dilahirkan pada tahun 1988 di sebuah bandar bernama Gelsenkirchen, kawasan perindustrian yang terletak di bahagian barat Jerman, cucu kepada seorang imigran Turki serta menjadi sebutan di negara kelahirannya atas kejayaannya yang jarang dapat dicapai warga Jerman lain yang berkongsi status dengannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi media sosial menyatakan hasrat beliau mahu bersara daripada terus menyarung jersi kebangsaan Jerman, Ozil menggunakan satu pepatah yang pasti akan meninggalkan kesan yang panjang pada masyarakat Jerman; "apabila Jerman menang, saya orang Jerman. Bila Jerman kalah, saya pendatang."

Perdebatan hangat masalah integrasi masyarakat Jerman

merkel ozil terima anugerah

Tulisan beliau yang dibaca 23 juta orang pengikut akaun Twitter beliau, mendapat reaksi hangat di media sosial serta media-media rasmi Jerman, membuka perdebatan berkenaan isu perkauman, isu anti Muslim serta keberkesanan dasar yang dijalankan Jerman berkenaan usaha integrasi mereka. Banyak pihak mengatakan dasar Jerman mengamalkan kebenaran memegang dua kewarganegaraan membawa kepada pelbagai isu perpecahan besar dalam masyarakat.

"Saya ada dua jiwa - satu Jerman, satu lagi Turki," tulis Ozil.

Bagi mereka yang mempersoalkan langkah Ozil bertemu dengan Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan - agak sukar untuk menerima seseorang seperti Ozil yang berstatus generasi kedua lahir di Jerman masih lagi menyimpan kesetiaan dengan negara asal datuk dan neneknya.

Namun pandangan Ozil boleh juga dilihat sebagai bukti kegagalan sesetengah negara Eropah seperti Jerman, Perancis, Itali dan lain-lain dalam mengenalpasti identiti bangsa asal setiap individu serta ideologi yang dikatakan terlalu keras dalam menyadurkan asyarakat majmuk di negara mereka.

Negara-negara Eropah ini dilihat terlalu tegas dalam mahukan setiap penduduk memegang satu jenis identiti kebangsaan semata-mata, sehingga terlalu ramai ahli masyarakat mereka mendesak supaya hanya berpegang kepada identiti nasional semata-mata. Dalam kes Ozil, ramai yang percaya dia sepatutnya 'hanya Jerman' tanpa perlu lagi mengaitkan dirinya dengan Turki.

Individu berpengaruh dalam persatuan bola sepak Jerman mendesak Ozil memohon maaf atas tindakannya, kerana disifatkan melampaui batas bagi seorang pemain bola sepak warganegara Jerman sepertinya. Kumpulan gabungan penulis Jerman atau PEN mendesak Ozil menyuarakan pandangan berkenaan pencabulan hak asasi manusia khasnya golongan akademik, jurnalis dan penulis Turki di bawah pentadbiran Erdogan - Ozil menolak permintaan itu.

Ekoran tindakan melawan itu, individu-individu berpengaruh dalam politik dan persatuan bola sepak Jerman dilihat memulakan kempen yang membentuk persepsi negatif masyarakat Jerman terhadap Mesut Ozil.

Identiti nasional mengatasi segalanya?

ozil erdogan hadiah jersi pertemuan

Dalam tulisannya, Ozil menegaskan tidak ada apa-apa yang salah mengambil gambar bersama Erdogan, kerana perkara itu tidak berkait dengan politik atau pun pilihanraya. (Turki bakal mengadakan pilihanraya tidak lama lagi) Semua itu, ujar beliau adalah rasa hormat kepada pegawai tertinggi negara di mana sanak saudaranya masih menetap.

Alasan Ozil dikritik kerana bersikap terlalu naif. Penulis Jerman, Gila Lustiger menghentam hujah itu dengan menyifatkan seseorang bintang sukan terkenal yang bergambar dengan Fidel Castro ketika zaman pemerintahannya, pasti akan dikritik orang ramai. Lustiger memohon agar Ozil berani menyuarakan pandangan dan mengakui yang Erdogan adalah seorang diktator atau pencabul hak kemanusiaan, kerana menghantar homoseksual ke penjara.

Keenganan Ozil berbuat demikian mengundang rasa marah masyarakat Jerman. Pendapat Lustiger disokong Unsal Arik, seorang peninju Jerman berketurunan Turki. Arik menyifatkan Ozil tidak memahami apa yang telah dia lakukan. Arik menyifatkan tindakan Ozil itu samalah seperti Ozil sebenarnya menyatakan sokongan kepada tindakan Erdogan melakukan pemerintahan bercorak kuku besi di Turki.

Ozil sebagai mangsa politik antarabangsa

merkel seehofer pergolakan kerajaan jerman

Hubungan Jerman dan Turki ketika ini sebenarnya berada dalam keadaan tegang. Kehadiran 1 juta pelarian Syria ke Jerman, melalui Turki menjadikan golongan konservatif Jerman semakin lantang bersuara terhadap perubahan yang berlaku di negara mereka. Satu perjanjian pada tahun 2016 terpaksa dilakukan di antara kerajaan kedua-dua negara, di mana Jerman akan membayar kerajaan Turki peruntukan sekiranya Turki menghadkan jumlah pelarian yang merentasi Turki, mencari perlindungan di Jerman.

Kerajaan Jerman sedang bergolak ekoran masalah ini. Pada 1 Julai 2018, Menteri Dalam Negeri Jerman, Horst Seehofer yang juga ketua parti Christian Social Union (CSU), mengugut akan meletakkan jawatan daripada kerajaan dan parti sekiranya polisi yang bakal diperkenalkan Angela Merkel, canselor Jerman berkenaan isu masalah pelarian ini tidak bertepatan dengan kehendak mereka.

Seehofer meletakkan jalan penyelesaian terbaik adalah dengan mewujudkan khemah-khemah pelarian transit di sempadan Jerman-Austria dalam menangani masalah pelarian yang datang.

mesut ozil turkey turkiye germany jerman

Sekiranya ugutan itu menjadi kenyataan, kerjasama yang telah terjalin di antara parti Merkel, Christian Democratic Union (CDU) dan CSU yang berlangsung di Parlimen Jerman sejak zaman perang dunia ke dua bakal berakhir. Ini adalah satu ancaman yang besar pada politik Jerman kerana Angela Merkel dan CDU akan kehilangan kuasa majoriti.

Reaksi media Jerman terhadap persaraan Ozil daripada pasukan kebangsaan Jerman berbeza-beza namun yang menarik perhatian adalah muka depan akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung, memaparkan wajah Seehofer mengucapkan terima kasih pada Ozil atas khidmatnya kepada pasukan Jerman namun disertai dialog sarkastik janji beliau akan turut menyediakan padang bola bagi Ozil berlatih, ketika menetap di khemah-khemah transit pelarian.

Presiden Turki, Reccep Erdogan pula mengambil langkah menyalahkan segelintir masyarakat Jerman kerana masih mengamalkan sikap perkauman, menambah lagi minyak ke dalam kuali yang sudah marak apinya dengan Ozil di dalamnya hangus dibakar, pihak yang mengkritik atau mempertahankan tindakannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)