Oleh pada 05 Dec 2019 kategori

Sejak pertengahan tahun 1980-an, Nike adalah salah satu jenama pakaian sukan paling terkenal di dunia. Syarikat Nike Inc. kini mempunyai kira-kira 50,000 orang pekerja di seluruh dunia dan jutaan pelanggan yang membeli produk mereka setiap hari.

Selama bertahun-tahun lamanya, jenama Nike menjadi sangat popular kerana ramai selebriti sukan atau hiburan yang mengiklankan jenama itu. Pada tahun 1985, Michael J. Fox telah mempopularkan kasut tinggi Nike apabila memakainya dalam filem legenda "Back to the Future".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kasut yang dipakainya itu menjadi ikon kebudayaan. Kasut asal yang digunakannya dalam filem itu telah dilelong pada tahun 2016 dengan harga RM 426,340, menjadikannya antara kasut termahal dunia.

Selain itu, pakaian sukan Nike juga menjadi popular apabila dipakai oleh atlet-atlet terkemuka seperti legenda bola keranjang iaitu Michael Jordan. Rekaan khas untuk atlet itu yang diberi nama "Air Jordan" merupakan antara kasut sukan paling popular sepanjang zaman.

Populariti barangan sukan jenama Nike semakin memuncak pada tahun 1988 apabila mereka memperkenalkan slogan "Just Do It". Slogan itu dipaparkan di semua cawangan Nike di seluruh dunia dan iklannya di televisyen.

nike back to the future ii

Slogan itu adalah sebahagian daripada kempen pengiklanan yang sangat berjaya. Ia menyasarkan pelanggan di seluruh dunia tanpa mengira usia, jantina atau tahap keupayaan fizikal. 

Selain itu, ia juga menggalakkan pengguna untuk menjalani kehidupan yang sihat, cergas dan seronok. Slogan itu nampak lebih meyakinkan apabila ia disebut oleh ramai atlet terkemuka dunia dalam pengiklanan jenama itu.

Di seluruh dunia, orang muda mula memakai pakaian sukan Nike lebih daripada hanya untuk aktiviti sukan. Ini membuatkan populariti Nike semakin menyerlah dalam dunia fesyen kasual. Jenama itu sangat popular sehingga tahun 1990-an digelar sebagai "Dekad Nike". Namun, dari manakah asalnya slogan "Just Do It" yang sangat sinonim dengan jenama Nike itu?

Slogan "Just Do It" itu sebenarnya mula diperkenalkan oleh Dan Wieden iaitu pengasas bersama agensi pengiklanan terkenal Wieden+Kennedy yang diberi tanggungjawab terhadap kempen pengiklanan jenama sukan Nike.

agensi pengiklanan wiedan kennedy

Cerita asal bagaimana Dan Wieden mendapat slogan ini agak menarik. Dia memperolehi idea untuk slogan itu ketika satu perbincangan di agensi pengiklanannya. Slogan "Just Do It" itu sebenarnya diilhamkan oleh seorang pembunuh terkenal di Amerika Syarikat iaitu Gary Gilmore.

Pada Julai 1976, Gilmore telah merompak sebuah stesen minyak di Orem, Utah dan membunuh juruwang stesen itu dengan kejam. Pada keesokan harinya pula, Gilmore merompak sebuah motel di Provo, Utah dan membunuh pengurus tempat itu.

Penjenayah itu berjaya ditangkap tidak lama selepas itu kerana kecuaiannya sendiri. Gilmore secara tidak sengaja tertembak tangannya sendiri ketika melakukan rompakan di motel.

Dia kemudian pergi ke rumah salah seorang sepupunya bernama Brenda untuk mendapatkan bantuan rawatan kecederaan yang dialaminya. Sepupunya itu enggan bersubahat dan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, menyebabkan Gilmore diberkas.

gary gilmore

Gilmore telah menerima dua kali penangguhan hukuman hasil daripada usaha ibunya dan Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika. Penangguhan ini membuatkan Gilmore marah dan menyebabkannya melakukan cubaan bunuh diri. Ini kerana dia mahu hukuman dilaksanakan secepat mungkin dan mahu mati dengan segera.

Pada bulan Oktober tahun yang sama, Gary Gilmore telah dijatuhkan hukuman bunuh atas jenayah kejam dan ngeri yang dilakukannya. Dia telah memilih hukuman untuk ditembak oleh pasukan penembak.

Hukuman itu akhirnya dilaksanakan pada 17 Januari 1977. Ketika dia berada di hadapan lima orang penembak yang sudah bersedia untuk melaksanakan hukuman, Gilmore mengucapkan kalimat terakhirnya iaitu "Let's do it".

just do it

Kisah Gilmore yang dimuatkan dalam kebanyakan akhbar ketika itu menarik perhatian Dan Wieden terutamanya ucapan terakhir pembunuh itu. Dia telah mengubah sedikit ucapan terakhir itu menjadi slogan terkenal Nike sehingga hari ini.

Wieden mengakui perkara itu ketika ditemubual Doug Pray iaitu penerbit dokumentari berjudul "Art & Copy" yang diterbitkan pada tahun 2009. Menurut bekas Ketua Pemasaran Nike, Liz Dolan, syarikat pakaian sukan itu cuba untuk tidak berkongsikan kepada umum tentang asal-usul slogan terkenal mereka itu.

Sejak itu, slogan "Just Do It" dari Nike menjadi sinonim dengan jenama itu lebih daripada 30 tahun dan diterjemahkan dalam banyak bahasa. Nike juga pernah menerima Access Award pada tahun 1995 daripada Yayasan Orang Buta Amerika apabila mengeluarkan poster "Just Do It" dalam bentuk braille.

Rujukan:

1. Sejarah hitam slogan "Just Do It" dari Nike

2. Kata-kata akhir pembunuh menjadi inspirasi slogan Nike

3. Asal-usul slogan Just Do It jenama Nike




Hakcipta iluminasi.com (2017)