Kita sudah biasa mendengar tentang sejenis fenomena perubatan yang dinamakan kesan placebo, yang mampu memberikan manfaat seandainya diurus dengan baik oleh pakar perubatan.

Secara amnya, kesan placebo dicipta kepada seseorang yang mempunyai penyakit, dibantu dengan terapi palsu, seperti ubat-ubatan yang tidak mendatangkan sebarang faedah untuk membantu mempositifkan tahap minda mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam dunia perubatan tidak ramai sedar juga wujud satu fenomena berlawanan kesan placebo, dinamakan kesan nocebo. Berbeza dengan placebo yang memberikan faedah, nocebo pula membawa risiko.

Apa itu kesan nocebo?

infografik nocebo

Kesan nocebo ialah fenomena seseorang mengalami kesan sampingan negatif yang tidak benar akibat sesuatu rawatan.

Kesan nocebo boleh muncul apabila seseorang itu beranggapan dia akan mengalami kesan negatif daripada ubat atau rawatan, walaupun ubat atau rawatan tersebut sebenarnya langsung tidak membahayakan dirinya.

Dipengaruhi eberapa faktor, kesan nocebo berlaku dengan bermacam cara.

Seseorang pesakit didapati boleh mengalami kesan ini ketika kesemua peringkat rawatan. Seperti ketika bersedia menghadapi rawatan atau selepas berbicara berkenaan kesan sampingan dan hasil rawatan.

Antara faktor yang mendorong kesan ini muncul pula adalah tahap kepercayaan pesakit kepada penjelasan doktor, pengalaman lampau yang baik atau buruk semasa dirawat dan sekiranya mereka cakna atau tahu berkenaan kos rawatan atau ubat yang perlu/bakal mereka tanggung.

Sehingga kini kesan nocebo belum dapat difahami sepenuhnya penyelidik.

Usaha giat sedang dijalankan untuk kita lebih memahami bagaimana pemikiran positif atau negatif akibat placebo dan nocebo, memberi impak kepada perubahan tahap kesihatan seseorang.

Kes dunia nyata kesan nocebo

faktor nocebo pada pesakit

Dalam dunia perubatan, terdapat beberapa senario yang telah didapati mampu menyebabkan kesan nocebo berlaku.

Sebagai contoh seorang yang mengalami serangan migrain yang sering dirawat dengan ubat yang akan menyebabkan dia mudah mengantuk, akan rasa mengantuk walaupun ubat yang dia ambil berbeza dan tidak sepatutnya menyebabkan dia rasa sebegitu.

Seseorang yang menghadapi kanser dan perlu menjalani rawatan kemoterapi, boleh mengalami masalah simptom mual dan keguguran rambut hanya kerana tahu rawatan kemoterapi mampu menyebabkan keadaan sebegitu terjadi kepada mereka.

Dalam pembedahan seseorang yang sudah dibius boleh percaya dirinya masih terasa sakit selepas diuji, walaupun sudah dibius pada kadar sepatutnya. Apa yang membimbangkan, jika ini berlaku biasanya pakar bius akan meningkatkan dos bius yang digunakan kepada pesakit.

Perubahan yang berlaku dikatakan berpunca daripada minda mereka yang percaya sesuatu akan berlaku, mengakibatkan apa yang dikhuatiri benar-benar berlaku akhirnya.

Penggunaan Kesan Nocebo dalam Perubatan

fenomena nocebo risiko kesihatan

Seperti placebo, kesan nocebo juga boleh diaplikasikan dalam perubatan sebagai cara untuk menguji rawatan atau ubat baru bagi mengenalpasti kesan sampingan yang mungkin terjadi kepada pesakit.

Penyelidik akan memberikan ubatan kepada peserta yang direka akan menyebabkan kesan sampingan tertentu, dalam menguji sejauh mana tahap nocebo peserta kajian dalam berhadapan kesan sampingan yang dikatakan akan terjadi.

Eksperimen sebegini sangat membantu penyelidik menentukan kadar dos atau bilangan ubat atau rawatan yang benar-benar selamat dan berkesan, bila diaplikasikan kepada manusia.

Selain itu pegawai atau pakar kesihatan boleh menggunakan nocebo sebagai terapi psikologi membantu pesakit mengurus jangkaan atau ramalan berkenaan kesan sampingan yang boleh timbul, kesan daripada penggunaan ubat atau rawatan.

Dengan membincangkan kesan sampingan yang boleh berlaku secara terbuka lebih awal, penyelia kesihatan dapat membantu pesakit mengetahui dan meramal apa yang dijangka bakal berlaku.

Pengetahuan dan ilmu ini yang akan diterangkan secara terperinci diharap dapat mengurangkan kebimbangan pesakit, khususnya pesakit bakal menjalani kaedah rawatan baru yang belum meluas dipraktikkan.

Begitulah penerangan ringkas berkenaan kesan nocebo - fenomena unik di mana pemikiran pesakit memberi impak kepada tahap kesihatan seseorang sehingga mewujudkan kesan sampingan negatif walaupun rawatan itu tidak sepatutnya mengakibatkan kesan sedemikian berlaku.

Dalam erti kata lain - nak risau tentang sesuatu, biarlah berpada-pada. Jangan pula kerana terlalu percaya sesuatu akan terjadi, habis semakin teruk keadaan kita.

Dalam zaman internet ni di mana pengetahuan tentang perubatan ada dihujung jari kita, pasti ramai yang mudah percaya kita ni sebenarnya berpenyakit sedangkan kita sihat-sihat belaka.

Mewujudkan gejala yang benar-benar berlaku hanya kerana kebimbangan kita.

Rujukan

Nocebo Phenomenon




Hakcipta iluminasi.com (2017)