Oleh pada 16 Apr 2017 kategori

Tidak dinafikan bahawa media memainkan peranan penting dalam kehidupan moden pada hari ini dan masyarakat sering mencari berita dan maklumat melalui televisyen, telefon, tablet dan komputer. Walaupun terdapat berbilion bilangan laman web dan pelbagai maklumat dilimpahkan dalam Internet, sebenarnya masih banyak maklumat yang perlu dirahsiakan daripada orang awam.

julian assange wikileaks pengasas

Wikileaks adalah satu kumpulan media yang ditubuhkan untuk membongkarkan rahsia sulit dan dokumen terbatas daripada pelbagai kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan dan mendedahkan tingkah laku korup di sebalik tabir. Ramai pihak yang berang dengan pendedahan ini dan semua mata kemudian tertumpu pada seorang lelaki bernama Julian Assange.


Pengasas Wikileaks

Pada Disember 2006, Wikileaks mula diperkenalkan dengan memaparkan dokumen berkaitan pembunuhan pegawai-pegawai kerajaan atas arahan Sheikh Hassan Dahir Aweys, seorang ahli politik Somalia. Siaran dokumen itu dikendalikan oleh Julian Assange, seorang pengatur cara komputer dan wartawan dari Australia.

Pada tahun 2010, Assange sepatutnya dihantar ke Sweden atas satu tuduhan serangan seksual namun menyerah diri kepada pihak polis di London. Setelah dibebaskan dengan ikat jamin, dia telah mendapatkan perlindungan di kedutaan Ecuador di sana pada Ogos 2012 walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.

julian assange cuma boleh berdiri di tingkap saja dan tak boleh keluar dari kedutaan 316

Sekiranya Assange melangkah keluar dari kedutaan itu, dia akan terus dihantar ke Sweden untuk menghadapi tuduhan di sana. Assange sehingga kini telah 'terkurung' di dalam bangunan kedutaan Ecuador di Knightsbridge, London itu selama lebih dari 4 tahun.


Pilihanraya Presiden Ecuador

Ketika musim pilihanraya presiden Ecuador pada bulan Mac 2017, kedudukan Assange tergugat kerana calon parti pembangkang iaitu Guillermo Lasso telah berjanji bahawa status pelariannya akan ditarik balik sekiranya Lasso menang. Namun, nasib menyebelahi Assange kerana calon yang menyokongnya iaitu Lenin Moreno telah menang pilihanraya tersebut dan menjadi presiden.

kemenangan lenin moreno memberikan harapan kepada assange

Assange sering menegaskan bahawa dia sebenarnya bukanlah takut dengan tuduhan merogol yang bakal dihadapi di Sweden. Dia sebenarnya melarikan diri kerana tidak mahu pihak Amerika Syarikat pula menahannya ekoran pendedahan pelbagai rahsia sulit ketenteraan kerajaan itu. Dan atas dasar ini jugalah kerajaan Ecuador memberikan perlindungan kepada Assange.


Tentang Wikileaks

Dokumen pertama pada tahun 2006 itu telah menjadi titik permulaan Wikileaks. Namun, Wikileaks mula dikenali sejak tahun 2010 apabila mendedahkan beberapa siri dokumen ketenteraan Amerika Syarikat berkaitan serangan di Afghanistan dan Iraq. Sejak itu, semakin banyak dokumen yang didedahkan oleh Wikileaks. Kebanyakan maklumat sulit ini datang daripada tukang adu (whistleblower) dalam badan kerajaan atau badan korporat.

Pada asalnya, Wikileaks dibuka kepada semua orang awam untuk menyumbangkan maklumat dan menulis tetapi lama-kelamaan laman ini mula memilih barisan panel yang kini hanya terdiri daripada kumpulan penentang, wartawan, pakar teknologi dan pemimpin parti progresif. Dikhabarkan terdapat lebih daripada seribu orang sukarelawan yang bekerja dengan Wikileaks. Mereka diuruskan oleh 9 orang penasihat yang tidak dapat dipastikan identiti sebenar kerana kesemua suspek menidakkan penglibatan mereka dengan Wikileaks.

assange dikatakan ingin menegakkan kebenaran dan mendedahkan tipu daya pihak kerajaan seluruh dunia

Walaupun matlamat Wikileaks adalah untuk mendedahkan kebenaran dan menggalakkan ketelusan, namun yang ironiknya, pengasas dan setiap orang yang menjadi tulang belakang Wikileaks bekerja di dalam kesamaran. Ini disebabkan pendedahan maklumat sulit kerajaan mungkin boleh menyebabkan mereka ditangkap atau nyawa mereka diragut. Oleh sebab itu, Wikileaks sentiasa menggunakan anonim dan berusaha untuk melindungi identiti setiap pemberi maklumat.


Pendedahan Terbesar Wikileaks

Sebenarnya dah banyak pembongkaran Wikileaks yang menggoncang negara dan dunia. Pendedahan besar pertama adalah berkenaan rahsia ketenteraan Amerika Syarikat yang didedahkan oleh tukang adu bernama Chelsea Manning yang menceritakan tentang dasar luar negeri pihak Amerika sehingga menyebabkan kematian semasa konflik berlangsung. Video mengandungi imej ngeri dan keganasan peperangan yang dikongsi melalui pendedahan itu juga telah menjadi buah mulut semua netizen ketika itu.

wikileaks mendedahkan gambar video yang menunjukkan tentera amerika membunuh rakyat biasa

Kemudian Wikileaks menyambung perjuangan dengan mendedahkan maklumat berkaitan Guantanamo Bay, pembunuhan di luar bidang kehakiman di Kenya, jenayah perbankan dan juga korupsi keagamaan. Pendedahan demi pendedahan dibuat sehingga Assange menjadi sasaran ramai ahli politik dan pemimpin dunia. Walau bagaimanapun, ramai juga orang yang mengangkat Assange sebagai seorang hero kerana menegakkan kebenaran.

Semasa kempen pilihanraya presiden US yang terbaru, Wikileaks juga ada membongkarkan ribuan e-mel Hilary Clinton yang dikatakan mungkin menjadi salah satu punca kekalahannya kepada Donald Trump. Besar kan pengaruh Wikileaks?

assange menjadi sasaran amerika syarikat

Malaysia juga pernah digemparkan dengan pembongkaran akuan berkanun oleh Raja Petra berkenaan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pengakuan pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang ingin menakluk Sabah dan juga skandal PKFZ. Sejauh mana kebenaran dan kesahihan kesemua maklumat ini, tiada siapa yang pasti.

Perdebatan tentang peranan Wikileaks juga akan sentiasa hangat diperkatakan. Ada yang menyokong, ada yang membenci. Sebagai pembaca dan netizen yang bijak, anda buatlah kajian dan nilai sendiri.

assange menghendap dari tingkap


Namun, persoalan yang lebih besar ialah: Sampai bila Julian Assange nak tinggal dalam kedutaan Ecuador tu? Tak bosan ke?


Sumber dan rujukan:

1. The Australian

2. Wikipedia

3. MIT Technology Review


tags : , , , , , , , , ,









/ / /
Hakcipta iluminasi.com (2017)