Dalam sistem demokrasi berasaskan pilihanraya, semua individu yang layak boleh menubuhkan parti seterusnya cuba bertanding dalam pilihanraya.

Bagaimanapun, disebabkan oleh kebebasan ini - dibeberapa negara, akan berlaku lambakan parti politik yang masuk bertanding merebut kerusi, sehinggakan sukar untuk sesebuah kerajaan berjaya dibentuk disebabkan oleh keperluan memuas hatikan semua pihak yang terlibat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam situasi ini yang seringkali dinamakan sebagai 'hung parliament' atau parlimen tergantung, akan berlaku kelambatan ketara dalam usaha menemui kata sepakat bagi membolehkan kerajaan dibentuk. Kita belum pernah berhadapan keadaan itu, tetapi bagi beberapa negara lain lain pula ceritanya.

5. Belanda (208 hari)

kabinet van agt i

Di antara kelima-lima peristiwa dalam artikel ini, konflik politik di Belanda berlaku paling awal selepas pilihanraya umum yang diadakan pada bulan Mei 1977.

Daripada 150 kerusi yang dipertandingkan, parti Buruh (PvdA) mendapat 53 kerusi dan pencabar terdekatnya parti Demokratik Kristian (CDA) mendapat 49 kerusi.

Selepas beberapa bulan cuba mencapai persetujuan melalui perbincangan antara parti PvdA dan CDA menemui jalan buntu, CDA mengambil langkah menjalinkan kerjasama dengan parti ketiga terbesar VVD yang menguasai 28 kerusi.

Ekoran penggabungan dua parti itu dalam satu payung, dua buah parti lain melompat menyertai gabungan itu - membolehkan mereka menjadi gabungan terbesar. Dries van Agt daripada parti CDA naik menjadi Perdana Menteri pada tarikh 19 Disember 1977 selepas 208 hari kerajaan Belanda gagal dibentuk.

4. Sepanyol (235 hari)

pablo iglesias spain prime minister

Negara Sepanyol menjadi antara negara paling bermasalah dalam menubuhkan kerajaan selepas pilihanraya. Insiden yang berlaku pada tahun 2019 di mana berlakunya kegagalan untuk menubuhkan kerajaan dalam tempoh 235 hari bagaimanapun bukanlah yang paling teruk. Kita lihat yang lebih panjang selepas ini ya!

Dalam pilihanraya umum Sepanyol bulan April tahun 2019, keputusan pilihanraya menyaksikan tiada parti yang berjaya mendapat 176 kerusi daripada 350 yang ada, bagi membentuk majoriti mudah. Disebabkan tiada kesepakatan, kerajaan Sepanyol gagal dibentuk sehinggakan sebuah lagi pilihanraya terpaksa diadakan pada bulan November 2019.

Sama seperti pilihanraya lebih awal, tiada majoriti didapati. Hasil perbincangan serta sikap mengalah parti pro kemerdekaan Catalan, akhirnya Pedro Sanchez diangkat menjadi Perdana Menteri, selepas membentuk kerjasama dengan parti Podeimos yang memenangi 35 kerusi. Beliau memenangi undian Kongres pada 7 Januari 2020, membolehkan dia naik sebagai Perdana Menteri Sepanyol yang baru selepas tertangguh 235 hari.

3. Iraq (289 hari)

iraq kabinet al maliki

Semasa konflik politik berlaku di Iraq pada tahun 2010, tempoh 289 hari yang dicatatkan merupakan rekod dunia sesebuah negara tiada kerajaan selepas pilihanraya diadakan. Bagaimanapun, rekod itu nyata tidak dapat bertahan lama.

Dalam pilihanraya tahun 2010 yang diadakan pada bulan Mac, 325 kerusi dipertandingkan dengan tiga parti terbesar berjaya memenangi 91, 89 dan 70 kerusi - jauh daripada angka majoriti 163 yang diperlukan.

Pelbagai syarat dan permintaan yang dikenakan parti serta setiap parti mempunyai calon sendiri untuk menjawat jawatan Perdana Menteri, melambatkan usaha pembentukan kerajaan.

Hanya selepas penyusunan semula serta penggabungan dua parti terbesar yang membantu mewujudkan gabungan 159 kerusi, barulah Nouri al-Maliki naik menjadi Perdana Menteri mewujudkan kerajaan campuran antara puak Sunni, Syiah dan Kurdish.

2. Sepanyol (314 hari)

sepanyol mariano rajoy angkat sumpah

Sekiranya anda ingin melihat keajaiban yang boleh berlaku kepada sebuah negara yang tiada kerajaan - lihat apa berlaku kepada Sepanyol selepas pilihanraya umum negara itu bagi tahun 2015-2016. Keputusan pilihanraya yang diadakan pada 21 Disember 2015 mengakibatkan tiada parti mendapat majoriti  daripada 350 kerusi.

Bagi membolehkan kekusutan dirungkaikan, Raja Sepanyol membenarkan pilihanraya semula diadakan pada 26 Jun 2016, namun keputusan hampir serupa diperolehi!

Hanya selepas krisis dalaman parti Sosialis yang mendapat jumlah kedua kerusi terbesar dalam pilihanraya berjaya menendang keluar beberapa pihak, barulah parti Sosialis bersetuju untuk bekerjasama dengan People's Party, pemegang kerusi terbesar bagi mewujudkan kerajaan minoriti.

Kerajaan di bawah Mariano Rajoy berjaya dibentuk pada 29 Oktober 2016, selamat mengangkat sumpah pada 31 Oktober dua hari selepas itu. Ini menandakan rakyat Sepanyol terpaksa menunggu selama 314 hari untuk menerima kerajaan baru.

Apa yang lucu, semasa ketiadaan kerajaan - kadar pengangguran di negara itu dikatakan menurun.

1. Belgium (541 hari)

elio di rupo belgium perdana menteri

Rekod setakat ini dipegang negara Belgium selepas selesai pilihanraya pada 13 Jun 2010. Keputusan pilihanraya yang terlalu rawak memberikan kerusi kepada 11 parti dengan setiap parti tidak ada yang memenangi lebih 20% daripada kerusi dipertandingkan.

Isunya bermula daripada isu pembahagian kawasan mengundi antara kumpulan Flanders yang mengamalkan tradisi Belanda dan seteru mereka, Francophones yang mahu mengekalkan tradisi Perancis di wilayah yang dinamakan Brussels-Capital Region and Halle-Vilvoorde sejak tahun 2007.

Konflik budaya ini memberi tekanan pada kerajaan Belgium seterusnya mengakibatkan kabinet dibubarkan dan pilihanraya diadakan. Sentimen etnik dan budaya itu dibawa ke pusat mengundi, mengakibatkan pola pengundian yang terlalu rawak didorong perasaan ingin memastikan budaya sendiri tidak ditelan lawan.

Pelbagai usaha perbincangan dijalankan oleh Raja Belgian, Raja Albert II bagi mencapai jalan keluar antara pihak-pihak terlibat tetapi semuanya mengambil sikap keras kepala. Persetujuan yang dicapai dengan bantuan wakil parti Sosialis Belgium, Elio Di Rupo sebagai orang tengah.

Hasilnya, Di Rupo naik menjadi Perdana Menteri Belgium pada 6 Disember 2011 membentuk kerajaan hanya selepas 541 hari.




Hakcipta iluminasi.com (2017)