iluminasi basuh tangan sabun teknik


Pernah tak anda peduli bagaimana anda membasuh tangan selepas melakukan sesuatu aktiviti seperti makan, bersukan, berkebun atau yang selalu kita akan lakukan, membuang air besar?

Teknik membasuh yang betul amat mudah untuk kita pelajari daripada papan tanda yang banyak diletakkan di medan selera atau restoran. Dengan mengamalkan 7 langkah mencuci tangan yang betul dapat menjadikan tangan kita bersih, tapi pernah tak kita terfikir berapa bersih?

Jom kita belajar sikit tentang fakta dari segi sains berkenaan membasuh tangan. Ramai yang mengetahui bahawa mencuci tangan dengan sabun mampu membantu membersihkan tangan dengan lebih efektif tetapi sebenarnya, perbezaan mencuci tangan dengan menggunakan sabun atau tidak menggunakan sabun tidaklah sebesar yang kita jangkakan.


iluminasi basuh tangan sabun teknik3


Menurut satu kajian yang dijalankan di kawasan pedalaman Bangladesh di mana sabun agak sukar untuk dijumpai, penyelidik mengkaji adakah tahap kebersihan menjadi faktor kepada penyakit cirit birit. Didapati dalam rumah yang penduduknya tidak membasuh tangan langsung sebelum memasak, 12.5% kanak-kanak dalam rumah tersebut menghadapi penyakit cirit-birit.

Jika penduduknya membasuh tangan dengan air sahaja, peratusannya turun mendadak kepada 8.3% untuk yang membasuh sebelah tangan sahaja dan 6.9% yang membasuh kedua belah tangan dengan sabun. Apabila sabun digunakan, peratusan menurun kepada 3.7% jika sebelah tangan sahaja dibasuh dengan sabun.

Itu menunjukkan sabun memberi kesan, tetapi tidaklah sebesar membasuh kedua-dua tangan dengan menggunakan air. Walaupun begitu, peranan sabun yang membantu menurunkan kadar peratusan penyakit cirit birit ke 3.7% amat berguna di negara-negara yang kekurangan fasiliti baik.


iluminasi basuh tangan sabun teknik2


Walaupun begitu harus diingatkan juga, faktor kebersihan sabun sendiri harus diambil kira. Penyelidik yang mengkaji bakteria pada permukaan sabun mendapati jika sabun tidak disimpan dengan sempurna, seperti meletakkan sabun dalam kawasan air mampu bertakung membuatkan sabun mampu mengutip sisa bakteria sehingga 26 kali ganda jumlahnya. Jadi, gunakan sabun yang disimpan dengan sempurna dan sebaiknya, disimpan dalam botol tekan (soap dispenser) yang tidak dibuka kerana kajian mendapati, botol tekan yang mampu diisi semula mengandungi jumlah bakteria terkumpul yang banyak berbanding botol yang tidak diisi semula.

Jadi, bagaimana pula hendak memilih sabun? Adakah wujud sebarang perbezaan di antara sabun biasa dan sabun antibakteria yang dijual? Ada. Kita ketahui dulu perbezaannya.

Dalam satu kajian yang dijalankan The Dial Corporation, Bahagian Microbiology, Amerika Syarikat mendapati yang terdapat perbezaan pada tahap kebersihan apabila sabun biasa dan sabun antibakteria digunakan jika sabun dibasuh dengan cara basuhan 15 saat. Tangan yang dibasuh dengan sabun antibakteria mempunyai jumlah bakteria yang lebih rendah jika dibandingkan dengan sabun biasa, tetapi apabila cara basuhan dipanjangkan kepada 30 saat basuhan, tidak ada perbezaan ketara pada jumlah bakteria yang melekat pada tangan.

Apa maksudnya?

Sebelum menerangkan maksudnya, kita perlu tahu dulu apa perbezaannya menggunakan sabun biasa dan sabun antibakteria. Sabun biasa gunanya adalah supaya bakteria tidak melekat pada permukaan tangan lalu jatuh ketika air melalui permukaan kulit. Sabun antibakteria pula bukan sekadar membuatkan bakteria tidak melekat, tetapi pada masa yang sama membunuh bakteria yang ada.

Ini menunjukkan, jika anda membasuh tangan anda dengan sabun biasa pada kadar yang lebih lama, anda akan mempunyai tahap kebersihan yang sama dengan basuhan tangan 12 saat dengan sabun antibakteria.


iluminasi basuh tangan sabun teknik4


Kesimpulannya, penggunaan sabun mempercepatkan kadar bakteria jatuh dari tangan. Tetapi pada masa tertentu jika anda kekurangan sabun, apa yang perlu anda lakukan adalah membasuh tangan anda pada kadar yang lebih lama. Teknik membasuh dengan menggosok dan merapatkan kedua-dua tangan sambil dilalukan terbukti sama efektif berbanding anda membasuh menggunakan sabun, kerana gosokan anda akan membuatkan bakteria tidak lagi mampu melekat pada permukaan tangan.


Ini menunjukkan, jika anda membasuh tangan anda dengan sabun biasa pada kadar yang lebih lama, anda akan mempunyai tahap kebersihan yang sama dengan basuhan tangan 15 saat dengan sabun antibakteria.

Cuma pastikan anda membasuh kedua-dua tangan tanpa sabun selama 30 saat untuk mendapatkan tahap kebersihan yang mencukupi. Kita tak mahu orang lain cirit birit kerana kita malas nak basuh tangan.

Rujukan

Jurnal Microbiology The Dial Corporation


tags : , , , , , , ,









/ / /
Hakcipta iluminasi.com (2017)