Oleh pada 03 Oct 2018 kategori

Pasti ramai di antara pembaca yang sudah menonton siri popular "Narcos" yang ditayangkan di Netflix, memaparkan kejatuhan Raja Kokain, Pablo Escobar di tangan agen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) iaitu Javier Pena.

Siri Narcos bermula dengan kisah Pablo Escobar di mana dia telah menyeludup masuk kokain bernilai berbilion ringgit ke Amerika Syarikat dari Colombia. Pablo Escobar menjalankan dan melindungi perniagaannya dengan keganasan, kezaliman dan pembunuhan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam dunia sebenar, Javier Pena diberikan satu tugasan yang tersangat berat iaitu memburu Pablo Escobar.

javier pena memegang potret pablo escobar

Namun Javier di dalam siri ini juga digambarkan sebagai agen yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menyempurnakan misinya. Sejauh manakah kebenaran dan ketepatan cerita tersebut? 

Raja Kokain

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, Pablo Escobar menguasai Colombia ketika mana dia dan Kartel Medellin mengganas di seluruh negara dengan gelombang pembunuhan dan pengeboman berterusan dalam meneruskan perdagangan dadah mereka.

Pablo terlibat dalam kancah jenayah pada usia remaja di mana dia membuat diploma palsu untuk pelajar sekolah menengah. Kemudian, dia meneruskan kegiatan jenayah dengan mula mencuri kereta batu nisan di tapak perkuburan tempatan untuk dijual.

pablo escobar bersama keluarganya

Namun, Pablo mula serius apabila menceburkan diri dalam dunia penyeludupan. Dia mula menyeledup stereo kereta dan peralatan rumah.

Menjelang tahun 1970-an, Pablo menyedari bahawa keuntungan paling besar dan mudah untuk diperolehi adalah melalui perniagaan kokain.

Menggunakan pengalaman dan pengaruh yang dibinanya sebagai penyeludup, Pablo mula menyeludup masuk kokain ke negara-negara berdekatan dari Colombia termasuklah Amerika Syarikat.

Dalam hanya beberapa tahun sahaja, Kartel Medellin yang diasaskan oleh Pablo Escobar memperoleh keuntungan berpuluh-puluh juta setiap hari.

Pablo dengan pantasnya menjadi antara salah seorang manusia terkaya di dunia ketika itu dan pada satu ketika, kekayaannya dianggarkan bernilai lebih daripada RM100 bilion.

Sudah tentu, dengan wang yang begitu banyak, masalah pun akan turut kunjung tiba.

Untuk memastikan perniagaannya berjalan lancar, Pablo memberi amaran kepada orang ramai bahawa dia akan membunuh sesiapa sahaja yang cuba untuk menghalangnya, termasuklah hakim dan pegawai kerajaan.

Pablo menetapkan matlatmanya sebagai "plata o plomo" yang bermaksud "perak atau plumbum". Sesiapa yang bekerja untuknya diberi ganjaran manakala yang memilih untuk menentangnya akan dibunuh.

Dan Javier Pena, tidak sesekali akan memilih wang.

Javier Peña dan "Search Bloc"

javier pena ditugaskan memburu pablo escobar

Javier Pena yang berasal dari Texas telah ditugaskan oleh DEA untuk bergabung dalam memburu Pablo Escobar. Setibanya beliau di Colombia pada tahun 1988, Javier dengan segera mewujudkan hubungan baik dengan polis Colombia.

Dalam beberapa tahun kemudian, Javier dan polis Colombia memburu Pablo Escobar seperti kucing dan tikus, dengan pelbagai cara termasuklah mengesan perbualan telefon dan cuba mengeksploitasikan rakan kongsi Pablo.

Namun di sebalik semua usaha ini, Pablo Escobar seolah-olah satu langkah lebih ke hadapan. Antara sebab mengapa Pablo sangat sukar untuk ditangkap adalah kerana dia sanggup membunuh sesiapa sahaja yang cuba untuk menangkapnya.

"Berlaku 10 hingga 15 pengeboman kereta setiap hari," jelas Javier Pena. Mana-mana agen DEA yang berada di Colombia juga ditawarkan ganjaran RM1.2 juta jika dapat memberkas Pablo, termasuklah Javier Pena.

Malah, disebabkan Pablo telah mempengaruhi ramai pegawai polis dan tentera Colombia dengan rasuah, Javier tidak pasti siapa yang beliau boleh percaya.

javier pena bersama barangan rampasan dari pablo escobar

(Javier Peña bersama wang, emas dan pistol 0.45 kaliber bersalut emas yang dirampas daripada Pablo Escobar)

Kerap kali, individu yang bekerjasama dengan Javier akan menyalurkan maklumat terus kepada Pablo.

Oleh itu, Javier mula bekerjasama dengan "Seach Bloc", satu jabatan khas dalam polis Colombia yang dipimpin oleh Colonel Hugo Martinez yang yang terbentuk daripada pegawai yang paling dipercayai dalam polis.

Search Bloc mensasarkan mereka yang rapat dengan Pablo dan menjadikan mereka sebagai pemberi maklumat.

Akhirnya, tekanan daripada pihak berkuasa terhadap Pablo Escobar menjadi semakin kuat sehinggakan dia sanggup untuk menyerah diri, dengan satu syarat. Syaratnya adalah Pablo Escobar ingin membina penjaranya sendiri.

Penjara La Catedral

javier pena dan steve murphy

(Javier Pena dan Steve Murphy duduk di luar La Catedral selepas Pablo Escobar meloloskan diri)

Beberapa hari selepas Pablo menyerah diri, Agen DEA Steve Murphy tiba di Colombia untuk membantu memburu raja dadah yang semakin hilang taringnya.

Steve tidak memahami mengapa semua orang seolah-olah kecewa dengan penyerahan diri oleh Pablo, sehinggalah beliau mengetahui jenis penjara yang bermain di minda Pablo.

Diberi nama "La Catedral", penjara ini lebih kepada seperti sebuah resort. Pablo mempunyai akses kepada segala keselesaan ketika berada di dalamnya. 

"Pablo Escobar mempunyai sebuah bilik suite, ruang tamu, dapur, dan lain-lain yang terdiri daripada kombinasi bilik tidur utama dan pejabat. Bilik air mempunyai jakuzi sendiri, dan penjara ini juga terdapat sebuah disko serta bar sendiri," jelas Steve Murphy.

Malah, pihak polis tidak dibenarkan menghampiri penjara ini.

Lebih parah, Pablo Escobar masih mampu meneruskan perniagaannya dan berada di dalam "penjara" memberikan perlindungan daripada pihak musuh serta membolehkan dia mengelak daripada diekstradisi ke Amerika Syarikat.

penjara la catedral

Javier Pena berasa tidak puas hati apabila Pablo Escobar berada dalam penjara selepas menyerah diri dengan syaratnya sendiri. Beliau menjelaskan:

"Saya sampai di Colombia pada tahun 1988, ketika pencarian terhadap Pablo sedang memuncak. Ketika itu pembunuhan berlaku dengan begitu banyak termasuk pembunuhan anggota polis dan pengeboman kereta. Apabila dia menyerah diri, ia menjadi suram, kerana terlalu ramai anggota polis dibunuh. Anda perlu faham, pemburuan Pablo adalah semata-mata untuk membalas dendam. Ia bukanlah untuk merampas dadah dan juga wang. Ia hanyalah balas dendam terhadap semua anggota polis yang terbunuh, termasuk orang yang tidak bersalah. Dan apabila dia menyerah diri, ia seolah-olah kami telah tewas di tangannya. Ramai anggota polis telah mati, ramai nyawa tidak bersalah. Penculikan menjadi tersangat biasa. Dua orang penunggang motosikal, itu adalah cara mereka membunuh ramai nyawa,".

Akhirnya, apabila kerajaan Colombia cuba memindahkan Pablo ke penjara biasa pada tahun 1992, dia meloloskan diri.

Namun ini memberikan peluang kepada Javier Pena dan Search Bloc, dengan bantuan daripada sebuah kumpulan yang diberi nama Los Pepes, untuk benar-benar menghapuskan Pablo Escobar.

Penat lelah Javier Pena membuahkan hasil

pihak polis colombia mengejar pablo escobar di atas bumbung

Setelah sekian lama, akhirnya Javier Pena dan pasukannya berjaya menjejaki Pablo di kampung halamannya di Medellin pada tahun 1993 melalui teknologi yang membolehkan mereka mengesan panggilan telefonnya.

Pada 2 Disember 1993, setelah menyedari dirinya dikesan, Pablo Escobar melarikan diri menerui atas bumbung. Pablo melepaskan tembakan ke arah pihak polis dan tembakan tersebut dibalas membuatkan dirinya akhirnya terbunuh. 

Sehingga hari ini, tiada siapa yang pasti siapa yang sebenarnya menyebabkan Pablo Escobar terbunuh. Walaupun Steve Murphy berada di tempat kejadian, namun Javier Pena tidak.

Steve menjelaskan bahawa Javier ditugaskan atas urusan DEA yang lain.

"Ketika Javier sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang, ketika itulah Pablo Escobar dibunuh. Javier terlibat dalam kes ini 3 tahun sebelum saya dan dia adalah individu yang paling berhak untuk menyaksikan terbunuhnya Pablo," jelas Steve.

Dan dengan terbunuhnya Raja Kokain, Javier Pena meninggalkan Colombia dan meneruskan kariernya sebagai agen DEA sebelum bersara pada tahun 2014.

"Narcos"

pelakon narcos bersama watak sebenar

Ketika Netflix mula memfilemkan satu siri berdasarkan kehidupan Pablo Escobar, mereka cuba menghubungi Javier Pena dan Steve Murphy untuk bertindak sebagai perunding.

Dan walaupun kedua-dua agen ini telah memberikan butiran terperinci berkenaan pemburuan Pablo Escobar kepada penulis siri Narcos ini, mereka faham bahawa siri ini akan mengambil pendekatan kebebasan kreatif dalam penghasilannya.

Kebanyakan babak utama dalam siri ini adalah tepat, walaupun penulis telah mengubah beberapa garis masa.

Sebagai contoh, Agen Steve sebenarnya tidak berada di Colombia untuk kebanyakan babak yang berkaitan dengan pemburuan Pablo Escobar seperti yang digambarkan dalam musim pertama siri ini.

Dalam siri ini, Javier Pena juga terlibat dalam beberapa pembunuhan dan pelanggaran etika profesional yang lain, yang merupakan mana merupakan penambahan semata-mata untuk menjadikan jalan cerita lebih menarik.

"Kami tak pernah melampaui batas, namun itu yang membuatkan siri ini lebih menarik dan menyeronokkan," jelas Javier Pena.

Dan walaupun siri ini melihatkan Javier Pena dan Steve Murphy sebagai wira, namun Javier sendiri menegaskan bahawa polis Colombia adalah pihak yang lebih layak menerima kredit dan pujian di atas tumpasnya Pablo Escobar.

"Kami bekerjasama dengan pihak polis dan mereka adalah pihak yang kami bergantung nyawa kami. Mereka memastikan kami terus hidup ketika melakukan operasi," tambah Javier.

Walau bagaimanapun, peranan Javier Peña untuk menumpaskan raja dadah yang paling terkenal dalam sejarah adalah sangat penting.

Temubual bersama Javier Pena dan Steve Murphy

Rujukan:

1. Biography

2. Grazia




Hakcipta iluminasi.com (2017)