Pasti ramai mengenali Pablo Escobar, walaupun dia sudah mati lebih daripada 2 dekad. Namun, tidak ramai yang mengenali Griselda Blanco, penjenayah wanita yang kejam yang mempunyai empayar dadah kokain yang luas.

Siapa Griselda Blanco?

kenali griselda blanco ratu kokain

BESARKAN TEKS     A-  A+

Griselda adalah target utama dalam operasi penyeludupan kokain ke Miami pada lewat tahun 1970an dan awal 1980an. Turut dikenali sebagai La Madrina, atau Godmother of Cocaine, dia telah disabitkan kesalahan dengan pembunuhan 3 suaminya, dan seorang bayi. Dia dipenjarakan selama 2 dekad di New York dan Florida atas pertuduhan bersabit perdagangan dan penyulupan dadah, serta pembunuhan, sebelum dihantar pulang ke Colombia pada tahun 2004. Dia juga diberikan kredit atas idea pembunuhan atas motosikal, kaedah yang sama yang menyebabkan kematiannya. 

Kehidupan Peribadi Griselda Blanco

griselda blanco young 118

Griselda Blanco Restrepo dilahirkan di Cartagena, Colombia pada 15 Februari 1943. Didera sejak kecil, dia mula terjebak dengan jenayah seperti aktiviti menyeluk saku, pelacuran dan penculikan. Dia pernah menculik seorang kanak-kanak lelaki daripada keluarga hartawan bagi mendapatkan wang tebusan, dan apabila keluarganya enggan membayar, dia membunuh budak tersebut.

Griselda berkahwin dengan seorang penjenayah ketika masih remaja, dan mereka mempunyai 3 orang anak sebelum bercerai. Dia kemudiannya mengarahkan orang bawahannya untuk membunuh bekas suaminya itu. Ketiga-tiga Griselda mati lebih awal sebelum kematiannya sendiri. 

Operasi Dadah Secara Besar-Besaran Griselda Blanco

keluarga griselda blanco ratu kokain

Pada awal tahun 1970an, Griselda menggabungkan operasi kokain miliknya dengan pengedar dadah yang bernama Alberto Bravo. Lama-kelamaan, bibit-bibit cinta mula berputik dan akhirnya mereka berkahwin. Gabungan operasi mereka ini menjadi sangat menguntungkan apabila mula menyeludup secara besar-besaran ke New York, Miami dan Southern California. Mereka menjadi antara kartel dadah Medellin paling terkenal di dunia. 

Griselda terkenal dengan kreativiti dan kelicikannya, terutamanya dalam menyembunyikan dadah dalam ruangan rahsia yang dijahit ke pakaian bagi aktiviti penyeludupan. Ketika pertengahan tahun 1970an, dia telah berjaya mengumpul kekayaan yang luar biasa, dan membeli hartanah di Queens, New York untuk dijadikan pangkalan operasi. Namanya antara yang terkenal sebelum Pablo Escobar.

Secara purata, operasinya akan menyeludup keluar sebanyak 1,500 kilogram kokain setiap bulan, bersamaan dengan $USD80 juta keuntungan, menurut New York Post.

Griselda Blanco Menjadi Semakin Kejam

ratu kokain griselda blanco

Griselda kemudiannya menubuhkan sebuah organisasi yang terdiri daripada pembunuh-pembunuh yang tidak teragak-agak untuk menghukum saingannya, dan juga saksi-saksi berkaitan kes melibatkan dirinya. Dia mendapat reputasi sebagai ketua yang kejam dan dari situlah hadirnya gelaran La Madrina, atau Godmother. 

Perkahwinan kedua dilihat bahagia pada awalnya. Namun, lama-kelamaan, dia mula hilang kepercayaan terhadap suaminya itu kerana kebocoran wang lebih berjuta-juta dollar Amerika daripada konsortium mereka. Dan pada tahun 1975, dia berdepan dengan Alberto di sebuah tapak letak kereta di Bogota. Griselda menembak Alberto menggunakan sepucuk pistol, dan Alberto membalas tembakan menggunakan sebuah submachine gun, iaitu Uzi. Ajaibnya, Griselda hanya mengalami kecederaan ringan pada perutnya, manakala Alberto bersama 6 orang pengawal keselamatannya mati di tempat kejadian. Berikutan kejadian tersebut, dia diberi gelaran Black Widow

Dalam perkahwinan ketiga bersama Dario Sepulveda, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang Griselda namakan sebagai Michael Corleone Blanco, nama yang diambil berdasarkan sebuah watak dalam siri klasik Godfather. Apabila Griselda mengetahui tentang kecurangan terang-terangan Dario, dia mengarahkan Dario dibunuh. Pembunuhnya berlakon sebagai seorang pegawai polis, yang menahan keretanya sebelum menembak Dario tanpa belas kasihan pada tahun 1983. Pada ketika itu, Michael yang masih kecil sedang duduk di kerusi belakang kereta tersebut.

Ke Arah Penangkapan Griselda Blanco

griselda blanco ketika ditangkap pada 1985

Ketika tahun yang sama, sebuah agensi anti dadah Amerika Syarikat iaitu Drug Enforcement Agency (DEA) telah melancarkan kempen penangkapan Griselda melalui 'Operation Banshee'. Beberapa tahun sebelumnya iaitu pada tahun 1975, DEA telah merampas 150 kilogram dadah kokain dan mendakwa Griselda dan konco-konconya, namun dia berjaya menyembunyikan diri di Columbia. DEA juga cuba mengaitkan Griselda dengan beberapa pembunuhan kejam. Pada tahun 1980an, dia kembali ke Miami, ketika era Miami Drug War, percubaan kerajaan Amerika Syarikat memerangi jenayah dan penyeludupan dadah.

Akhirnya pada tahun 1985, DEA berjaya menangkap Griselda di rumahnya di Irvine, California, bersama anaknya Michael yang masih kecil. Pada tahun yang sama, Griselda telah didakwa dan didapati bersalah kerana menghasilkan, mengimport dan mengedar dadah kokain. Dia dikenakan penjara selama 15 tahun.

griselda blancon ratu kokain columbia

Menurut sebuah laporan yang dikeluarkan oleh New York Post, Griselda adalah seorang penagih dadah yang pernah memaksa lelaki dan perempuan untuk melakukan hubungan seks melalui ancaman pistol. Dia suka mengumpul senjata seperti machine gun, permata dan sebuah set teh yang pernah dimiliki oleh Ratu England. 

Pada tahun 1994, Griselda telah didakwa di Florida kerana mengarahkan pembunuhan yang mengakibatkan kematian 2 orang pengedar dadah dan seorang bayi berusia 2 tahun yang merupakan anak kepada pengedar dadah ketiga. Menurut pengakuan seorang orang kanan Griselda yang berjaya ditangkap, pada mulanya Griselda berasa sangat marah kerana seorang lagi terlepas, namun selepas menemui anak lelakinya di tempat kejadian, dia menjadi gembira dan berasa adil dengan pembunuhan bayi berkenaan. 

Kematian Griselda Blanco

kematian griselda blanco ratu kokain

Griselda dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun, dan dibebaskan pada tahun 2004 sebelum dihantar pulang ke Columbia. 8 tahun selepas dibebaskan, dia dibunuh dengan tembakan sebanyak 2 kali di kepala, mati serta merta di tempat kejadian. Kejadian itu berlaku pada 3 September 2012 ketika Griselda berumur 69 tahun, di hadapan sebuah kedai daging ketika dia sedang membeli bahan mentah di kedai berkenaan. Griselda mati melalui cara pembunuhan yang diciptanya. Dia dikejar oleh 2 orang pembunuh yang menaiki motosikal sebelum ditembak. 

Rujukan:

  1. thevintagenews.com
  2. en.wikipedia.org



Hakcipta iluminasi.com (2017)