Usaha kerajaan dalam menangani masalah ketagihan rokok di kalangan rakyat Malaysia tampak menemui jalan buntu.

Harga rokok walaupun sudah dinaikkan dengan kadar cukai tinggi sehingga hampir mencecah puluhan ringgit sekotak, membuatkan penghisap mula beralih arah kepada alternatif lain; rokok seludup.

Fenomena ini terlalu berleluasa sehinggakan orang ramai seolah tidak lagi takut atau menghiraukan kesalahan yang mereka lakukan - memiliki barangan seludup yang tak segan silu dipamerkan secara terbuka.

Persoalannya - apakah impaknya kegiatan penyeludupan ini kepada masyarakat serta negara?

Industri tembakau yang mengalami zaman suram

rokok seludup illegal

Banyak pihak menuduh kerajaan sengaja 'membenarkan' industri tembakau yang didokong oleh pengeluarrokok ternama terus beroperasi, disebabkan oleh kutipan cukai yang lumayan diterima kerajaan.

Mereka mendakwa kerajaan untung besar dan takut hilang sumber pendapatan dari industri ini. Ini adalah satu tanggapan yang perlu diperbetulkan.

Sejak tahun 2017 dua pengeluar produk tembakau terbesar negara kita iaitu British American Tobacco Bhd. (BAT) dan JT International Bhd (JTI) mengumumkan pengecilan operasi mereka di negara kita, yang berlaku secara konsisten sehingga mengakibatkan ramai pekerja hilang sumber pendapatan.

Rayuan yang dibuat oleh dua syarikat itu agar kerajaan Malaysia lebih tegas terhadap kegiatan penyeludupan rokok yang mengambil alih pasaran, mendapat reaksi agak dingin Kementerian Kesihatan.

Kenyataan BAT dan JTI pada bulan Februari 2020 menyifatkan Malaysia hilang lebih RM5 billion potensi pendapatan pada tahun 2019, disebabkan oleh kehilangan kutipan cukai yang sepatutnya diterima.

Kerajaan Malaysia khasnya Kementerian Kesihatan sebenarnya semakin kerap dikritik oleh Persatuan Pengeluar Tembakau Malaysia kerana kerap memperkenalkan perubahan dasar yang menaikkan harga minima rokok, dipersalahkan menyumbang kepada merebaknya permintaan rokok seludup.

Dalam satu kenyataan bulan Disember 2019, Timbalan Menteri Kesihatan (ketika itu) Dr. Lee Boon Chye menyifatkan semua rayuan dan kajian yang dilakukan pengeluar produk tembakau bagi mendesak campur tangan kerajaan tidak sepatutnya dilihat daripada perspektif ekonomi semata-mata.

Menurut beliau, matlamat kerajaan Malaysia mudah; kesihatan orang ramai harus menjadi keutamaan, bukannya kutipan cukai.

Walaupun beliau menyatakan simpati dengan nasib lebih ratusan pekerja yang terpaksa dilepaskan, Kementerian Kesihatan tetap dengan pendirian mereka dan itu adalah sesuatu yang perlu diterima akan berlaku.

Benarkah kerajaan Malaysia untung besar hasil kutipan cukai tembakau?

setem cukai rokok malaysia

Kerajaan Malaysia setiap tahun memang mengutip berbilion ringgit duit kutipan cukai hasil jualan produk tembakau. Namun untuk melihat isu ini, kita perlu melihatnya daripada semua perspektif yang berbeza.

Gesaan BAT dan JTI yang menyifatkan kerajaan kita kehilangan RM5 billion setahun hasil penularan rokok seludup benar dari segi ekonomiknya.

Bagaimanapun anda perlu sedar perbelanjaan yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan bagi menampung pesakit yang perlu mendapatkan rawatan akibat tabiat buruk ini sebenarnya berkali-kali ganda lebih tinggi, jika kita mahu membuat perbandingan dari segi jumlah ringgit dan ekonomi.

Setiap tahun kerajaan Malaysia membelanjakan lebih RM8 billion dengan tambahan peruntukan pihak swasta sebanyak RM7 billion, menjadikannya RM15 ke 16 billion untuk merawat pesakit akibat kesan merokok.

Jika kerajaan menurut desakan syarikat dan persatuan pengeluar tembakau untuk mengawal lebih ketat penyeludupan rokok, langkah itu sebenarnya tidak mampu menyelesaikan punca utama masalahnya, iaitu ketagihan merokok yang tinggi di kalangan masyarakat kita.

Kajian tentang perokok seringkali mendapati perokok majoritinya datang daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Seandainya kerajaan ingin membantu mereka ini dari segi ekonomi, usaha yang lebih efektif adalah untuk menyedarkan mereka berkenaan keburukan tabiat mereka supaya perokok sendiri dapat memampankan kemampuan kewangan mereka melalui pemberhentian tabiat membazir ini.

Satu statistik yang tak ramai perokok mahu ambil peduli; untuk setiap RM1 yang diterima kerajaan Malaysia hasil kutipan cukai rokok, RM4 akan dibelanjakan untuk merawat pesakit disebabkan kesan merokok.

Pasaran rokok seludup yang besar

rokok seludup jenama murah

Dengan jenama yang sudah lama wujud seperti Gudang Garam dan Surya dari Indonesia, serta jenama 'baru' seperti John, Texas 5 dan Astro - perokok-perokok kini mempunyai alternatif yang besar untuk mendapatkan rokok seludup melalui jualan bawah meja.

Ini dicerminkan dalam statistik kajian yang dilakukan, apabila 58.5% daripada keseluruhan rokok yang dijual dalam negara kita adalah rokok seludup, mewakili nilai setinggi RM12 billion secara tahunan.

Jumlah itu meletakkan Malaysia di tangga teratas di kalangan semua negara dunia menjadi pasaran rokok seludup terbesar. daripada segi peratusan dalam pasaran.

Dianggarkan RM100,000 setiap minggu dilesapkan oleh kumpulan penyeludup hasil jualan rokok yang biasanya dilakukan melalui bawah meja.

Ke mana perginya duit itu? Mungkin mereka yang membelinya mampu menjawabnya.

Dari mana datangnya rokok seludup?

rokok disembunyikan dalam lori

Setakat apa yang kita tahu, rokok-rokok seludup ini sangat sukar dikenalpasti pergerakannya disebabkan oleh jaringan penyeludupan yang kompleks.

Majoriti pengilang-pengilang rokok ini dikatakan berasal daripada kilang-kilang tidak sah beroperasi di sekitar Kaliningrad, Russia, Vietnam, wilayah Guangdong di China dan sempadan di antara beberapa negara benua Amerika Selatan.

Walaupun setiap tahun ada saja tangkapan dibuat melibatkan ribuan ahli sindiket penyeludupan, sistem penyeludupan yang luas mengakibatkan 1001 kesukaran bagi pihak berkuasa menghentikan operasi mereka.

Apa yang kita takuti, sindiket-sindiket ini bijak dalam memahami sasaran pasaran mereka; mensasarkan jualan kepada negara-negara membangun dan berpendapatan rendah yang mempunyai bilangan perokok paling ramai - seperti negara kita.

Dengan lambakan jualan rokok murah bawah meja, dapat dilihat berlakunya peningkatan bilangan perokok di kalangan ahli masyarakat yang menyumbang kepada operasi sindiket ini.

Di kebanyakan negara terjejas, usia mula merokok bagi remaja menurun disebabkan akses kepada rokok seludup yang mudah. Kita belum mengambil kira faktor rokok-rokok lain seperti rokok elektronik lagi yang turut menyumbang kepada masalah itu.

Jadi persoalan terbesar di sini - adakah anda salah seorang penyumbang dana kepada operasi-operasi gelap ini?

Adakah anda akan terus menghalalkan tindakan anda menghisap rokok jenama entah dari mana datangnya tanpa peduli kesannya bukan setakat pada masyarakat, bahkan diri sendiri?

Pernahkah anda fikirkan ke mana perginya duit yang anda bayar itu dan apakah yang dilakukan dengannya?

Rujukan

Phenomenon of Contraband Cigarettes in Northern Malaysia

Special Report: MoH explains position on illegal tobacco trade

RM5b loss in taxes due to illegal cigarette trade




Hakcipta iluminasi.com (2017)