Di negara kita, tabiat buruk merokok mempunyai banyak sebenarnya larangan yang telah pun diwartakan kerajaan - dengan arahan terbaru dan kami katakan agak unik, adalah arahan agar semua perokok yang ingin merokok diwajibkan berada lebih 3 meter daripada kawasan premis kedai makan.

Kami puji arahan ini kerana kami dapat rasakan perbezaannya selepas itu, khasnya di restoran-restoran 'mamak' 24 jam yang ada. Bau rokok sudah tidak lagi menyelebungi kedai seperti selalu, premis jadi lebih bersih dan yang penting restoran 'mamak' jadi lebih mesra keluarga.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malangnya, selepas lenturnya penguatkuasaan serta ketiadaan sinambungan kesedaran, semakin ramai yang tidak lagi mempedulikan arahan ini dan kembali kepada tabiat biasa merokok di mana-mana sahaja. Bagaimana pula dengan negara lain? Adakah mereka pun ada arahan atau peraturan serupa yang unik seperti kita?

1. Australia

smoking melbourne

Di Australia, mereka mempunyai peraturan yang unik di mana tabiat merokok di larang daripada dilakukan di dalam kenderaan berenjin, sekiranya dalam kenderaan tersebut terdapat seorang atau lebih individu di bawah usia 16 tahun. Mereka yang melanggar syarat ini layak dikenakan saman.

Negara itu juga mengamalkan sistem larangan yang hampir serupa dengan negara kita, seperti di tempat awam - tetapi mereka memperketatkan lagi larangan ini dengan satu pengenalan larangan merokok berdekatan taman permainan awam. Perokok mestilah meletakkan jarak 10 meter di antara mereka dengan taman permainan. (Cigarettes and The Law)

2. Jerman

kawasan merokok di jerman

Di negeri seperti Frankfurt, kerajaan tempatan ada mewujudkan apa yang dinamakan sebagai 'Raucherbereich' atau 'kawasan merokok' di mana perokok dibenarkan merokok, asalkan mereka kekal dalam perimeter kawasan yang ditandakan.

Kewujudan kawasan ini bukan saja dibuka di kawasan-kawasan awam seperti lapangan terbang atau stesen keretapi, malahan turut sama diamalkan di kawasan restoran tertentu dan di bahagian bahu jalan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Kemudahan bekas abu rokok serta tong sampah disediakan untuk kemudahan perokok.

3. China

warga china merokok

Di China - negara pengeluar dan pengguna bahan tembakau terbesar di dunia, wujud satu undang-undang unik yang tidak diamalkan negara-negara lain.

Ekoran pewartaan semua kawasan awam sebagai kawasan larangan merokok, mana-mana perokok yang didapati mengingkari peraturan ini akan dikenakan saman sebanyak RMB 200 (RM118) untuk setiap kali kesalahan.

Selepas ditangkap 3 kali melanggar peraturan ini, wajah dan nama mereka akan dimuat naik ke laman web rasmi kerajaan untuk ditayangkan dan dimalukan, agar menjadi pengajaran pada mereka.

4. Jepun

jepun syurga perokok

Di antara semua negara dalam dunia, Jepun merupakan salah sebuah negara paling mesra perokok berikutan daripada budaya mereka dan rokok yang sukar sekali hendak dipisahkan. Kerajaan Jepun tidak mempunyai larangan pada peringkat nasional, tetapi memberikan kebebasan pada pemilik premis atau pengendali memperkenalkan larangan sendiri.

Hanya kawasan sekolah, hospital dan pejabat kerajaan menjadi kawasan larangan. Pada bulan Julai 2018, kerajaan Jepun memperkenalkan larangan merokok secara bebas di dalam premis seperti restoran dan kedai yang bersaiz lebih 1,036 kaki persegi - tanpa kewujudan kawasan khas untuk merokok. Mana-mana premis lebih kecil, pelanggan atau pengendalinya masih dibenarkan merokok di dalamnya.

5. Belanda

rakyat belanda beli ganja

Di antara semua negara - Belanda khasnya Amsterdam mempunyai peraturan merokok yang paling unik antara semua rasanya. Sejak Februari 2018, larangan sepenuhnya merokok di kawasan awam telah pun dilaksanakan sepenuhnya, termasuklah penutupan kawasan merokok yang sebelum itu dibenarkan dibuka di pub, kelab dan restoran.

Bagaimanapun, wujud kebenaran dalam bentuk lesen bagi pengusaha kedai kopi di Amsterdam menyimpan tidak lebih daripada 500g ganja setiap masa dalam premis mereka, dengan setiap pengusaha dibenarkan menanam tidak lebih daripada lima pokok ganja dalam satu masa.

Pihak berkuasa pula akan membenarkan aktiviti penjualan ganja, asalkan tidak melebihi 5g satu transaksi, sama ada dalam bentuk serbuk atau gulungan rokok yang disiapkan pengusaha sendiri. Aktiviti menghisap rokok ganja dibenarkan berlaku di dalam premis berlesen tetapi pengusaha perlu memastikan tidak ada rokok tembakau, bahan terlarang dihisap di dalam premis mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)