Oleh pada 30 Jun 2021 kategori

Britney Spears. Nama ini merupakan nama yang pernah duduk di puncak industri muzik antarabangsa satu ketika dulu.

Kemunculan Britney membawa perubahan besar sehingga namanya dijulang sebagai bintang, membuka jalan kepada ramai lagi artis untuk mempunyai karier besar. Namun karier beliau mula menjunam selepas lebih sedekad, berdepan banyak kontroversi serta masalah yang mengakibatkan dirinya mula berdepan persepsi buruk.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Situasi ini berkekalan sehinggakan pada tahun 2018, Britney Spears berhenti terus daripada mengadakan sebarang persembahan. Hanya pada bulan bulan Jun tahun 2021 ekoran perbicaraan mahkamah, barulah semua kisah hitamnya mula didedahkan satu per satu.

Masalah tekanan mental yang teruk

britney serang paparazzi dengan payung

Pada tahun 2008 selepas beberapa insiden yang dilakukan Britney, ayahnya James Spears memohon perintah mahkamah bagi mendapatkan hak perlindungan konservator ke atas anaknya yang ketika itu sudah berusia 29 tahun.

Mahkamah mempertimbangkan tuntutan yang dibuat oleh James atas kelakukan Britney yang kurang senonoh, seperti membotakkan kepalanya dan mampu bertindak menyerang paparazzi dengan senjata tidak berbahaya.

Selain itu tuntutan James disokong laporan pihak perubatan yang mengesahkan pada ketika itu, keadaan mental Britney agak lemah; dikategorikan berada pada tahap krisis mental 5150.

Kod itu digunakan bagi menggambarkan keadaan seseorang yang mengalami tekanan mental sehingga membenarkan dia ditahan tanpa persetujuan selama 72 jam bagi membolehkan rawatan psikiatri awal dijalankan kepadanya.

Seseorang individu yang berada dalam tahap mental tersebut dikhuatiri boleh mengakibatkan bahaya kepada orang lain atau dirinya sendiri.

Dalam kes Britney, dia mula tertekan ekoran situasi tegang melibatkan hak penjagaan anaknya dan bekas suaminya, apabila Britney enggan membenarkan bekas suaminya mengambil anak-anak yang pada ketika itu dikongsi hak penjagaan di antara mereka berdua.

Berikutan situasi tidak stabil serta unjuran peristiwa yang berlaku, mahkamah memutuskan bahawa Britney layak untuk diakui tidak mampu melindungi dirinya mengarahkan hak perlindungan penjaga diperkenalkan.

James sebagai ayah kandung dilantik untuk bertindak sebagai pelindung sementara Britney diletak sebagai individu yang dilindung, walaupun Britney ketika itu adalah seorang perempuan dewasa.

James diberikan kuasa oleh mahkamah untuk membuat keputusan melibatkan aspek kewangan, kesihatan, perniagaan serta beberapa aspek peribadi berkait anak gadisnya itu.

Tempoh keputusan mahkamah ini akan kekal berlangsung sehinggalah mahkamah berpuas hati merasakan Britney mampu berdikari kembali. Hanya selepas itu barulah perintah perlindungan itu boleh ditarik balik.

Ini semua kisah tahun 2008.

Anak mula menentang ayah kandung

britney spears conseravtorship jody montgomery

Pada tahun 2019 ekoran masalah kesihatan, James terpaksa menyerahkan kuasa perlindungan ke atas anaknya itu kepada pihak ketiga melibatkan seorang wanita yang bertugas sebagai pelindung profesional menerusi firmanya, bernama Jody Montgomery (gambar atas).

Mahkamah bersetuju untuk meluluskan pertukaran sementara itu, membenarkan firma Jody dilantik sehingga bulan Januari tahun 2020. Tamat tarikh itu, kuasa perlindungan ke atas hidup Britney akan dikembalikan kepada ayah kandungnya semula.

Walaupun demikian, Britney melakukan kejutan selepas dia sendiri melakukan tuntutan mahkamah memohon agar firma Jody Montgomery terus dibenarkan bertindak sebagai pelindung kepada dirinya - tidak lagi melatik ayah kandungnya James sebagai wakil.

Ini memulakan krisis mahkamah di antara kedua-dua pihak selepas si ayah membantah keputusan itu kerana merasakan tindakan itu tidak wajar dilakukan anaknya.

Bagi pihak Britney pula, dia merasakan pertukaran itu perlu dibuat kerana merasakan duduk di bawah perlindungan ayah kandungnya, Britney mendapati hidupnya sangat terkongkong dan dia tidak dibenarkan untuk bekerja seperti biasa. 

Ayahnya menentukan bila dia boleh bekerja. Ada masanya ayahnya juga memaksa dia bekerja di luar kerelaan dirinya.

Mula hilang kawalan ke atas hidup

britney spears dan ayah james spears

Berikutan 'perang' mahkamah yang berlaku antara kedua-dua pihak, wartawan mula menjalankan penyiasatan terhadap kes ini.

Hasil siasatan wartawan mendapati konflik antara Britney dan ayahnya sudah bermula secara rasmi sejak tahun 2014 dalam beberapa kes perbicaraan mahkamah yang diadakan secara tertutup, berkait usaha Britney memecat ayahnya ekoran ketidakyakinan Britney terhadap kemampuan ayahnya melindungi dirinya.

Dalam tuntutan yang dilakukan untuk beberapa tahun, James Spears didakwa mempunyai obsesi luar biasa terhadap anak kandungnya sendiri, seringkali menyebabkan Britney hidup dalam ketakutan serta menampakkan kecenderungan untuk bertindak luar kawalan disebabkan masalah ketagihan alkohol.

Ayahnya juga dituduh mempunyai kuasa melampau ke atas hidup anaknya sendiri, sehinggakan Britney perlu melaporkan kepada ayahnya dengan siapa dia hendak berkawan.

Apa yang lebih menyedihkan, ekoran kuasa yang diberikan kepada ayahnya dalam menentukan hala tuju kerjanya - berlaku beberapa insiden di mana Britney dipaksa untuk melakukan persembahan yang tidak dipersetujui walaupun dia sedang sakit atau tidak berada dalam situasi terbaik.

Bagi mengelakkan anaknya mengandung, James memaksa penyanyi popularuntuk terus menggunakan alat pencegah kehamilan, menghalang anaknya daripada mempunyai kebolehan menimang zuriat walaupun Britney sebenarnya mahu mempunyai cahaya mata selepas bercinta dengan seorang lelaki lebih 5 tahun.

Apabila melibatkan isu yang lebih kecil, warna dinding dan kabinet dapur kediaman Britney juga perlu ditentukan oleh ayahnya.

Dalam masa yang sama, keseluruhan aset dan estet milik Britney dianggarkan bernilai lebih $60 juta (sekitar RM265 juta) diletakkan di bawah bidang kuasa ayahnya untuk melindungi, mengendali dan mengelolakannya.

Apakah punca utama konflik dua beranak ini?

spears conservatorship

Latar belakang keluarga Spears ini bergelumang dengan masalah.

Hujah itu dikatakan menjadi punca utama James Spears nekad mengambil tindakan tegas dalam melindungi mana-mana ahli keluarganya yang bermasalah.

James lahir dalam keluarga bermasalah. Ibunya membunuh diri selepas kehilangan salah seorang anak mereka ketika James berusia 13 tahun menyebabkan James membesar dalam suasana tidak tenteram, terlibat dengan dadah dan masalah alkohol.

James sendiri berkahwin dua kali, perkahwinan keduanya memberikan mereka Britney namun dalam masa yang sama James turut berhadapan tuntutan cerai ibu kandung Britney, Lynne Spears.

Ekoran reaksi agresif James terhadap tuntutan cerai tersebut, mahkamah mengarahkan agar James menjauhkan diri dari isterinya selepas James didapati mengganggu dan menyerang Lynne ketika mabuk.

Kedua-duanya berbaik semula, sempat menyaksikan kerjaya anak mereka bermula pada tahun 1998 sebelum berpisah secara rasmi pada tahun 2002.

Disebabkan masalah ketagihan yang semakin teruk, adik-beradik Britney termasuklah Britney memilih untuk menghantar James ke pusat rehabilitisasi bagi membantu ayah kandung mereka.

Sekitar tahun 2007 ketika masih di puncak kerjaya, Britney mula berdepan tekanan media serta masalah rumahtangga yang menyebabkan banyak masalah timbul membelenggu psikologinya. 

Rentetan beberapa peristiwa yang berlaku didakwa akibat tekanan, Britney akhirnya diisytiharkan tidak lagi stabil untuk menjaga dirinya membolehkan James dilantik sebagai pelindungnya.

Adakah adil seorang ayah makan hasil rezeki anak?

britney spears conservatorship james spears ayah anak2

Ketika ini, Britney Spears masih dalam peringkat awal tuntutan bagi membolehkan pertukaran penjaganya dilakukan. 

James Spears tegas mempertahankan dirinya. Peguam yang mewakili ayah kandungnya berulang kali mengingatkan media bahawa apa yang anak guamnya lakukan hanyalah semata-mata untuk keselamatan anaknya yang mempunyai perangai liar.

Namun apa yang jarang diceritakan media, adalah faedah untuk individu seperti James Spears agar terus dilantik sebagai pelindung Britney.

Dalam kes konservator melibatkan selebriti besar seperti Britney Spears, pihak yang dilantik mempunyai kuasa atas arahan mahkamah untuk meminta gaji bulanan sebagai kos bagi menguruskan individu yang dilindungi.

Setiap bulan James Spears menerima $16,000 (RM66,500) sebagai elaun dengan tambahan $2,000 (RM8,300) untuk menyewa pejabat khas.

Mahkamah juga menetapkan James layak untuk mendapat komisyen tertentu bergantung kepada kadar perjanjian yang berjaya dicapai apabila melibatkan karier nyanyian anaknya.

Ayah kandungnya diiktiraf berhak mendapat sekitar 1.5 ke 2.95% daripada apa saja kutipan keseluruhan konsert, persembahan atau siri konsert jelajah melibatkan anaknya, membolehkan si bapa menjana pendapatan lumayan hanya bekerja di balik tabir.

Hujah ini menjadi senjata utama peguam yang mewakili Britney.

Sudah berlaku banyak situasi di mana Britney diarahkan ayah kandungnya sendiri untuk melakukan persembahan tanpa ada pilihan untuk menolak, walaupun ketika dalam keadaan tidak sihat atau kurang selesa.

Dalam satu persembahan tahun 2018, Britney yang berdialog dengan penonton mengaku dia sedang demam panas 38.9 darjah celcius tetapi memilih untuk terus melakukan persembahan.

Ketika itu, tiada siapa sangka ada makna lain di sebalik kata-kata Britney itu.

Selebriti veteran Louis Walsh dan selebriti popular Simon Cowell yang pernah bekerjasama dengan Britney sebagai hakim dalam rancangan popular X-Factor pada tahun 2012, turut menyuarakan pandangan serupa.

Kedua-duanya mengakui ketika rakaman program tersebut Britney sebenarnya berada dalam keadaan khayal tidak sedarkan diri serta perlu dibantu walaupun hanya untuk duduk di atas kerusi. akibat daripada kesan ubat yang perlu diambil.

Britney dilaporkan dibayar sebanyak $15 juta untuk melakukan penampilan selama satu musim dalam rancangan itu. Persoalannya, berapa agaknya yang diperolehi ayahnya hasil daripada susah payah kerja anaknya itu?




Hakcipta iluminasi.com (2017)