Sehingga ke hari ini, pembunuhan adalah sebab yang paling biasa yang mengakibatkan pesalah dijatuhkan hukuman mati.

Selama bertahun-tahun, terdapat pelbagai kaedah pelaksanaan hukuman mati yang digunakan dari hukuman gantung, skuad penembak, kerusi elektrik, hukuman pancung malah bilik gas.

Namun, banyak negara melaksanakan hukuman mati menggunakan suntikan maut kerana ia dianggap sebagai cara paling berperikemanusiaan untuk mengakhiri kehidupan seseorang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi, betapa berperikemanusiaan kah hukuman ini dan apa yang akan berlaku kepada seseorang apabila diberikan suntikan ini?

Sejak tahun 1976, terdapat 1,472 hukuman mati di Amerika Syarikat sahaja.

Daripada kesemua hukuman mati ini, 3 dilakukan dengan skuad penembak, 3 melalui penggantungan, 11 dengan bilik gas, 158 dengan kerusi elektrik dan selebihnya iaitu 1,297 kes dengan suntikan maut.

hukuman mati dengan suntikan maut

(Lokasi tempat duduk saksi melihat suntikan maut dilaksanakan)

Suntikan maut adalah amalan menyuntik satu atau lebih dadah ke dalam sistem badan seseorang untuk membuatkan individu tersebut mati serta-merta.

Ia pertama kali dibangunkan di Amerika Syarikat, dan kini menjadi kaedah pilihan bagi pelaksanaan hukuman mati oleh China, Thailand, Guatemala, Taiwan, Maldives dan Vietnam.

Sebaik sahaja jantung individu tersebut berhenti, kematian akan diisytiharkan. Dalam kebanyakan kes, ia mengambil sekitar 7 minit. Namun jika berlaku komplikasi, ia akan mengambil tempoh yang lebih lama.

Jadi, apa sebenarnya yang disuntik ke dalam badan seseorang untuk menyebabkan berlakunya serangan jantung?

Menurut Pusat Maklumat Hukuman Mati di Washington, proses untuk suntikan maut di kebanyakan negeri di AS melibatkan tiga suntikan berasingan, yang mana semuanya disampaikan melalui titisan intravena.

Tiga jenis suntikan yang membunuh

suntikan maut 896

Pertama sekali, subjek disiapkan untuk prosedur, termasuk membasmi semua alat dan bahagian badan yang berkenaan.

Kemudian, suntikan pertama diberikan iaitu anestetik atau ubat bius, yang dikenali sebagai natrium thiopental.

Ia merupakan sejenis barbiturat (ubat penenang) yang kuat dan digunakan untuk membuatkan seseorang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri yang mendalam, sehingga rasa sakit tidak dapat dirasakan.

Ubat ini menjejaskan beberapa neurotransmitter, menyebabkan aktiviti otak menjadi tertekan dan menyekat tindakan reseptor otak. Dengan ini, ia menyebabkan keadaan tidak aktif, biasanya dalam masa 30 saat.

Ubat penenang ini bertahan sepanjang proses suntikan maut, jadi apabila suntikan berikut diberikan, individu tersebut langsung tidak menyedarinya.

Tiub-tiub yang digunakan untuk menyuntik ubat-ubatan tersebut dibersihkan dengan air garam. Untuk suntikan kedua, bahan yang digunakan adalah pancuronium bromida.

Dadah ini bertindak sebagai penghalan neuro-otot, yang menghalang komunikasi antara sistem saraf dan otot

Oleh kerana individu tersebut tidak mempunyai kawalan ke atas otot badannya, dia memasuki keadaan lumpuh.

suntikan maut membunuh pesalah dengan serta merta

Otot yang digunakan untuk menarik udara ke dalam paru-paru yang dikenali sebagai diafragma kemudiannya berhenti berfungsi, yang menyebabkan pernafasan individu itu terhenti. 

Sekali lagi air garam dimasukkan buat kali terakhir sebelum suntikan terakhir diberikan.

Dan kali ini, individu tersebut disuntik dengan kalium klorida.

Suntikan ini mengganggu isyarat elektrik jantung, yang menghentikannya daripada berdegup dan menamatkan kehidupan seseorang.

Menurut kajian tahun 2002 dalam Journal of Forensic Science, purata masa dari suntikan pertama sehingga kepada jantung berhenti adalah sekitar 8 minit 24 saat.

Namun, bagaimana dengan kes-kes jarang berlaku di mana perkara tidak diingini berlaku dan proses-proses ini mengambil masa yang lebih lama?

Kegagalan pelaksanaan suntikan maut yang menyakitkan

suntikan maut 647

Walaupun umum bersetuju bahawa suntikan maut adalah kaedah yang paling tidak sakit dan berperikemanusiaan untuk menghantar manusia ke alam barzakh, namun terdapat pelaksanaan yang cuai.

Pada tahun 1985, Charles Walker telah disabitkan dengan dua tuduhan membunuh dan satu tuduhan rompakan bersenjata.

Beliau kemudiannya menunggu hari pelaksanaan hukuman mati di Pusat Pemulihan Menard di Chester, Illinois.

Pelaksanaan hukumannya dijadualkan selepas makan malam namun ia telah berlarutan kerana kesalahan manusia dan kegagalan peralatan.

Menurut Gary Sutterfield, seorang jurutera yang membantu pelaksanaan hukuman ke atas Charles, tiub plastik yang masuk ke lengannya tersekat dan menghentikan aliran bahan kimia ke dalam tubuh Charles.

Tambahan pula, jarum intravena menghala ke jari Charles dan bukannya jantungnya.

Pelaksanaan hukuman mati ini mengambil masa yang lebih lama daripada yang sepatutnya dan Charles menderita kesakitan yang dahsyat sepanjang proses itu.

joseph cannon

(Joseph Cannon)

Kes yang lain melibatkan Joseph Cannon yang disabitkan kesalahan kerana cubaan merogol dan bunuh pada tahun 1977 ketika dia hanya berusia 17 tahun.

Joseph menghabiskan separuh daripada hidupnya di penjara sebelum berhadapan dengan hukuman mati.

Selepas memberikan kenyataan terakhir, pelaksanaan hukuman mati bermula. Namun, tiba-tiba jarum yang disuntik ke dalam urat Joseph terkeluar.

Seperti yang disaksikan oleh saksi, Joseph dikatakan terbaring dan berkata, "Ia telah gagal".

Langsir yang memisahkan saksi dan pelaksanaan itu ditutup untuk 15 minit untuk membolehkan pihak berkuasa yang mengendalikan hukuman terhadap Joseph  membetulkan masalah.

Apabila langsir dibuka semula, Joseph sekali lagi membuat kenyataan terakhir dan pelaksanaan tersebut disempurnakan.

Kes yang paling menarik melibatkan suntikan maut adalah kes Doyle Lee Hamm, yang berhadapan dengan hukuman mati di  Donaldson Correctional Facility, Alabama.

doyle lee hamm

(Doyle Lee Hamm)

Doyle dipenjarakan di kemudahan itu sejak tahun 1987, selepas juri mendapati dia bersalah kerana menembak dan mambunuh seorang kerani hotel dalam satu rompakan.

Namun Boyme menghidap kanser terminal dan sejarah penggunaan dadah intravena, membuatkan uratnya lemah dan terjejas.

Cubaan pelaksanaan telah dihentikan selepas kakitangan perubatan tidak berjaya mencari urat, meskipun cuba memasukkan jaruh ke dalam pangkal peha, buku lali dan kaki bawah dalam hampir 2 jam.

Doktor yang bertanggungjawab ke atas pemeriksaan Doyle, iaitu Dr. Mark Heath, berkata: "Ketika itu, Doyle mula berharap doktor berjaya menemui akses intravenanya agar dia boleh mati, kerana dia lebih memilih mati daripada terus mengalami kesakitan yang dahsyat,". 

Pelaksanaan itu berlangsung selama 3 jam dan menarik perhatian antarabangsa.

Pada 5 Mac 2018, Doyle dan peguamnya memfailkan tuntutan hak sivil yang dipinda terhadap Jabatan Pembetulan Alabama.

Akhirnya, Doyle dan negeri Alabama mencapai penyelesaian sulit, yang mana menghalang daripada pelaksanaan kedua dilakukan.

Kesimpulan

Menurut Pusat Maklumat Hukuman Mati AS, sebuah organisasi bukan keuntungan nasional yang menyediakan maklumat dan data mengenai hukuman mati, 7.12% pelaksanaan suntikan maut di antara 1890 hingga 2010, mengalami komplikasi.

Hukuman mati sering kali menjadi topik yang kontroversi dan tak kiralah kaedah mana sekalipun yang didakwa sebagai paling berperikemanusiaan, terdapat kemungkinan akan berlakunya masalah yang menyebabkan individu dihukum mengalami kesakitan yang dapat dibayangkan.

Rujukan:

1. How Stuff Works

2. Bagaimana Suntikan Maut Berfungsi? - BBC

3. Bagaimana Sebenarnya Suntikan Maut - ATI




Hakcipta iluminasi.com (2017)