Pada 25 September 2023, Kementerian Kesihatan menerusi Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa menyatakan tahap kesediaan untuk Malaysia - sekiranya kita perlu berdepan dengan wabak X.

Wabak X atau Disease X telahpun mula disebut dan dilapor badan kesihatan sedunia sejak tahun 2018, sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia lagi. Perlukah anda bimbang tentang wabak X dan apa sebenarnya yang sedang dibincangkan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jom kita pelajari serba-sedikit tentang jangkitan ini.

Apa itu Wabak X?

pencegahan wabak x

Kami tahu selepas ramai merana, menderita dan kehilangan orang tersayang akibat Covid-19, mendengar kenyataan Menteri berkenaan satu lagi jenis jangkitan baru bukanlah sesuatu yang enak kita dengari.

Janganlah risau. Wabak X atau Disease X yang disebutkan Puan Menteri kita hanyalah satu label umum digunakan oleh Badan Kesihatan Sedunia atau WHO, dalam mengistilahkan jangkitan atau wabak yang diramal berpotensi untuk memulakan kembali jangkitan dalam skala epidemik.

Seperti jangkitan Covid-19 yang berlaku tanpa diketahui asal-usulnya, terma atau label Wabak X diwujudkan bagi membantu badan-badan kesihatan seluruh dunia mempunyai kesediaan dalam menangani 'sesuatu yang belum berlaku.'

Dalam kajian WHO, terdapat beberapa jenis penyakit yang dikategorikan sebagai blueprint priority disease atau garispanduan jangkitan berkeutamaan, dianggap serius dan boleh berlaku bila-bila masa yang diberikan keutamaan khusus.

Antara jangkitan dikategorikan dalam kumpulan ini adalah demam Ebola, demam Marburg, demam Lassa, jangkitan virus Nipah, jangkitan Zika, Covid-19 dan juga Wabak X, mewakili jenis wabak yang diramal boleh terjadi.

Kita juga perlu tahu, sebelum ini jangkitan penyakit seperti Zika dan Covid-19 juga pernah dikategorikan sebagai Wabak X sebelum pengetahuan kita tentang serangan ini berjaya diperincikan - jadi klasifikasi WHO berkenaan apa itu Wabak X boleh berubah-ubah serta tidak tetap.

Kenapa nama yang diguna menyeramkan?

who disease x definisi jangkitan

Walaupun buat masa sekarang kita baru selesai mengharungi pandemik, WHO sudah mula melaksanakan bermacam gerak kerja baru dalam memastikan jangkitan seperti Covid-19 tidak berulang.

Ini kerana jika dilihat trend jangkitan, berdasarkan ramalan yang telah dilaporkan sekiranya Wabak X benar-benar terjadi, kesannya dikatakan boleh menyebabkan kadar kematian lebih tinggi berbanding Covid-19!

Setakat 21 September 2023, telah mengorbankan hampir 7 juta nyawa. Wabak X pula diramal mempunyai tahap kekuatan 20 kali ganda berbanding Covid-19. Anda bayangkanlah bagaimana situasinya.

Kenapa nama X dipilih? Ini kerana badan kesihatan sedunia tidak tahu apa yang boleh berlaku. Setakat ini teori dan ramalan dikeluarkan WHO sebagai langkah berjaga-jaga, adalah mengambil model jangkitan yang telah berlaku sebelum ini sebagai asasnya.

Seandainya Wabak X BENAR-BENAR BERLAKU, puncanya dikatakan akibat penyebaran patogen yang dilabel sebagai Patogen X, besar kemungkinan datang daripada jangkitan haiwan kepada manusia.

Kenapa Wabak X ni kecoh tiba-tiba?

kajian berkenaan wabak x disease x

Apa yang menyebabkan berita berkenaan Wabak X ini hangat, disebabkan langkah beberapa negara seperti Amerika Syarikat yang memperkenalkan Akta Wabak X 2023 atau Disease X Act of 2023 pada bulan Jun 2023.

Pengenalan akta tersebut di negara itu diharap dapat membolehkan badan kesihatan merangka merangka pelan strategik lebih awal yang meningkatkan tahap kesediaan badan kesihatan Amerika Syarikat - sebelum jangkitan berlaku.

Ini kerana majoriti negara dunia tidak mempunyai tahap kesediaan yang baik dalam menangani masalah jangkitan mendadak, seperti Covid-19. Pengenalan akta sebegitu di negara-negara seluruh dunia diharap dapat membolehkan dana disalurkan kepada badan kesihatan.

Hasratnya baik, agar setiap negara mempunyai pelan pencegahan lebih teliti, berbanding sistem kesihatan digunapakai sekarang yang lebih bersifat reaktif. Dalam erti kata lain - kita tak mahulah dah kena, baru nak rangka pelan bertindak.

Pengenalan Wabak X melalui WHO dan kerjasama kerajaan dunia, diharap dapat mengubah budaya lama supaya masyarakat bersedia lebih awal sebelum jangkitan bermula lagi.

Kami tidak mahu anda menjadi paranoid dan mula memikirkan tentang teori-teori konspirasi selepas membaca artikel ini. Tidak ada apa-apa yang menakutkan pun tentang Wabak X - label itu hanyalah untuk memudahkan urusan pengklasifikasian.

Janganlah salah faham dan ingat Wabak X ini satu jangkitan baru yang sedang berlaku dan merebak di negara luar ekoran, pihak media gemar mensensasikan berita berkait Disease X sehingga menimbulkan kegusaran.

Apatah lagi namanya saja sudah mampu menakutkan kita.

Rujukan

Disease X: A hidden but inevitable creeping danger

Prioritizing diseases for research and development in emergency contexts




Hakcipta iluminasi.com (2017)