Negara kita memang pernah mengharungi serangan wabak dalam skala besar sebelum ini, dengan setiap insiden berjaya diharungi dengan agak berjaya berikutan kadar kematian yang rendah.

Untuk setiap penyebaran tak kiralah sama ada berbentuk pandemik atau epidemik, mahupun endemik - pihak berkuasa khasnya mereka yang terlibat dalam bidang perubatan kebiasaannya akan menggunakan standard operasi yang serupa; melibatkan empat peringkat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap fasa kawalan jangkitan pula akan diisytihar mengikut fasa penyebaran wabak, bermula daripada fasa pertama yang digelarkan sebagai 'fasa pengawalan' atau 'containment sehinggalah fasa terakhir - digelarkan sebagai 'mitigation' atau fasa mitigasi. Jom kita belajar empat fasa ini agar kita tahu di mana kita.

Fasa pertama - pengawalan (containment)

containment kawalan wabak

Dalam fasa pertama, matlamat pihak perubatan serta pihak berkuasa adalah untuk menghalang penyebaran virus. Ketika fasa ini, individu yang dirasakan membawawabak disebabkan melalui kewujudan simptom akan menjalani proses isolasi secepat mungkin.

Pada fasa ini, saranan untuk masyarakat menggunakan ejen-ejen penyahkuman, menjaga kebersihan, memahami etika ketika batuk dan penggunaan topeng yang betul perlu dilakukan. Orang ramai perlu dididik melalui sebaran am tentang kepentingan menutup mulut semasa bersin, amalan tatacara penggunaan dan pelupusan tisu serta kepentingan membasuh tangan dengan sempurna.

Fasa kedua - melambatkan (delay)

lapangan terbang coronavirus vcovid19

Sekiranya pihak berkuasa merasakan kaedah kawalan yang dilakukan gagal mengekang jangkitan daripada merebak, mereka akan mengisytiharkan fasa pencegahan seterusnya yang digelarkan sebagai 'fasa melambatkan' atau penangguhan. Pada fasa ini, realiti bahawa wabak akan melanda sudah pun disahkan jadi semua usaha akan dilakukan untuk melambatkan jangkitan daripada merebak terlalu pantas.

Proses penangguhan ini akan memberikan masa kepada pihak perubatan untuk bersedia, mendapatkan bekalan ubat-ubatan dan peralatan yang diperlukan dalam mengekang wabak yang masih bersifat epidemik.

Sebaran media berkenaan kaedah-kaedah perlindungan diri yang betul diperhebatkan lagi dengan pengenalan satu kaedah baru yang dinamakan sebagai 'social distancing' atau 'jarak selamat sosial.' Tujuan pengenalan kaedah jarak selamat ini adalah untuk memastikan kadar sentuhan di antara individu dengan individu berkurangan.

Bagi sesetengah negara beriklim sejuk, selain daripada melambatkan penyebaran wabak sebagai langkah persediaan, usaha untuk memperlahankan jangkitan juga dilakukan dengan tujuan agar perubahan musim berlaku.

Wabak mampu bergerak lebih aktif dalam situasi sejuk berbanding cuaca panas, jadi sesetengah negara memanjangkan fasa ini untuk memastikan mereka mampu tiba ke musim yang lebih panas suhunya.

Apa yang jelas - tiba fasa ini, menandakan penyebaran wabak sudah tidak lagi mampu dibendung.

Fasa ketiga - penyelidikan (research)

makmal genome malaysia

Apabila WHO mengumumkan bahawa wabak Covid-19 harus dikategorikan sebagai sebuah pandemik yang merentasi benua dan sempadan dunia, negara kita sebenarnya sudah pun memasuki fasa penyelidikan berikutan pertambahan jumlah pesakit yang ada.

Mana-mana hospital yang mempunyai pesakit Covid-19 akan menjalankan ujian yang dinamakan sebagai RT-PCR atau 'reverse transcriptase-polymerase chain reaction' (terjemahan tidak rasmi - 'ujian reaksi berbalik polymerase-transkrip') ke atas pesakit terpilih.

Hasil ujian tersebut pula akan dikongsikan kepada pihak perubatan di hospital lain, khasnya Hospital Sungai Buloh yang menjadi pusat kawalan wabak negara serta badan-badan perubatan lain seperti makmal dan sebagainya. Daripada perkongsian itu, badan perubatan negara kita dapat mewujudkan protokol atau SOP bagi menangani penularan wabak serta kaedah terbaik memperkuatkan pesakit dalam mengharungi jangkitan.

Bagi negara yang mempunyai kepakaran, pihak perubatan dan farmasi sudah pastilah akan bekerja keras bagi menghasilkan vaksin atau ubat-ubatan yang mampu mencegah dan merawat wabak yang ada. Pembangunan ubat atau vaksin ini pula biasanya dilakukan mengikut sistem perubatan negara tersebut, dengan setiap firma mempunyai kajian dan penyelidikan mereka sendiri.

Vaksin pertama dalam ujian bagi menangani wabak Covid-19 telah pun selamat disuntik kepada seorang wanita bernama Jennifer Haller dari Seattle, Amerika Syarikat pada 18 Mac 2020. Jennifer yang tidak dijangkiti virus Covid-19, bakal menjadi eksperimen dalam menentukan keberkesanan vaksin tersebut yang dinamakan mRNA-1273.

Fasa keempat - mitigasi (mitigation)

petugas perubatan itali

Tiba fasa keempat, situasinya dianggap sebagai luar kawalan dan apa yang boleh dilakukan hanyalah bertahan. Ini kerana pada fasa ini, wabak dianggap sudah terlalu besar skop jangkitannya, tidak lagi boleh dihentikan ataupun diperlahankan.

Pada fasa inilah beberapa pilihan berat terpaksa dilakukan oleh pihak perubatan. Fokus utama dalam fasa ini adalah untuk memastikan nyawa dapat diselamatkan. Bagaimanapun, di beberapa negara yang terjejas teruk - fokus utama mula berpindah kepada memastikan individu yang mempunyai peluang untuk pulih lebih tinggi diselamatkan; berbanding mereka yang peluangnya tipis. Sedih kan?

Pada fasa ini jugalah usaha untuk mengenalpasti hubungan di antara pesakit dan pembawa wabak mula diperlahankan, kerana skopnya sudah jadi terlalu luas. Matlamat utama kerajaan dalam fasa ini adalah memastikan dana dan bekalan yang mencukupi mampu menangani wabak dengan berkesan, selain memastikan sistem keselamatan sosial seperti ambulans, askar dan polis berada dalam keadaan bersedia.

Sekiranya pelan kecemasan seperti penutupan sekolah dan tempat awam belum dijalankan, pada fasa ini kedua-duanya pasti akan diisytiharkan. Perintah kawalan pergerakan atau lebih teruk darurat boleh diperkenalkan, bergantung kepada penilaian pemerintah berdasarkan situasi negara ketika itu.

Di Itali, negara paling terjejas teruk selain China - bermula sekitar 10 ke 11 Mac 2020, mereka terpaksa memperkenalkan dasar meminggirkan pesakit yang mempunyai baki jangka hayat lebih pendek, khasnya mereka yang berusia 80 tahun ke atas - dalam memastikan jumlah katil mencukupi di hospital.

Doktor dan jururawat juga diminta memberikan keutamaan kepada pesakit yang mempunyai rekod kesihatan yang baik, kerana peluang mereka untuk pulih lebih tinggi berbanding pesakit yang sudahpun mempunyai masalah kesihatan sebelum dijangkiti Covid-19.

Kita doakanlah Malaysia tidak perlu sampai ke tahap ini fasa mitigasinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)