Oleh pada 19 Feb 2017 kategori

Seperti yang kita sedia maklum, orang Jepun dikenali sebagai masyarakat yang sihat dan mempunyai jangka hayat yang panjang dengan usia purata 79.9 tahun. Kadar obesiti di Jepun juga adalah yang ketiga terendah di dunia iaitu hanya 3.3% sahaja.

Kita juga tahu yang mereka gemarkan nasi dan menggunakan banyak sayuran dalam masakan, tetapi bagaimanakah ibu bapa di sana mengajar anak pada awal usia untuk memakan makanan yang sihat ini? Berikut sedikit perkongsian cara elakkan anak menjadi picky eater:

1. Masak sendiri

Elakkan membeli makanan yang diproses seperti serbuk atau pes makanan bayi. Sebaliknya, masaklah sendiri di rumah. Orang Jepun sentiasa masak sendiri dan makan di rumah.

Walaupun kadangkala produk-produk yang dijual ini dilabel sebagai 'sihat, berkhasiat' namun ia masih merupakan makanan yang diproses dan mengandungi bahan pengawet untuk memanjangkan hayat simpanan. Jika anda masak sendiri di rumah, dah tentu tak ada bahan pengawet atau perasa tiruan. Anda juga dapat menjimatkan duit!

bubur nasi jepun

Ibu-ibu di Jepun sering memasak "okayu" atau bubur nasi yang dimasak dengan pelbagai sayuran seperti "endo mame" (kacang pea merah) dan juga ikan salmon.

2. Mula awal

Bayi akan mula 'memilih' keutamaan makanan kegemaran sebaik sahaja mereka mula makan makanan pejal. Oleh sebab itu, ibu bapa harus memastikan mereka tidak diberikan makanan junk atau makanan segera.

Pada usia 3 tahun pula, deria rasa dan tabiat pemakanan anak-anak sudah terpahat kekal dalam minda mereka. Jadi, pastikan anda sentiasa memberikan makanan yang seimbang dan bernutrisi tinggi sepanjang 3 tahun pertama ini.

okuizome makanan sihat bayi

Di Jepun, ibu bapa menyambut "Okuizome" (makan kali pertama) semasa bayi berusia 100 atau 120 hari. Mereka akan menyediakan masakan tradisi seperti nasi, makanan laut dan sayur-sayuran sebagai tanda simbolik apabila anak mula bercerai susu.

3. Perkenalkan makanan baru secara berperingkat

Beri bayi makanan baru secara berperingkat. Elakkan daripada memperkenalkan terlalu banyak jenis makanan pada satu-satu masa. Cuba hanya satu jenis makanan bagi setiap minggu.

jepun weaning mula makan pejal bayi

Pada minggu pertama, boleh cuba memberikan makanan savuri-manis yang mempunyai rasa seakan-akan susu ibu. Minggu berikutnya boleh ditambah sedikit perisa ke dalam kentang lecek atau bubur. Kemudian, biarkan si kecil meneroka rasa manis buah seperti pisang dan bolehlah berikan pula buah yang masam-manis seperti apple lecek atau betik pada minggu selepasnya.

Menurut pakar pemakanan, ibu bapa perlu bersabar dan konsisten dengan cara ini kerana ia mengambil sekitar 15-20 kali sebelum anak betul-betul menerima perisa baru.

4. Pelbagaikan variasi

makanan jepun anak kecil picky eater

Orang Jepun tidak mementingkan portion hidangan, sebaliknya mereka lebih suka dengan variasi. Walaupun mereka menghidangkan berbelas-belas jenis menu di atas meja, namun semua hidangan diisi ke dalam mangkuk-mangkuk yang kecil dan comel-comel sahaja.

Orang Jepun juga mengajar anak mereka untuk makan setiap jenis hidangan ini dan makan sehingga selesai.

5. Visual yang menyelerakan

Kanak-kanak seringkali berasa ragu-ragu untuk mencuba makanan baru tambahan lagi makanan yang tidak biasa dilihat. Ibu-ibu di Jepun menghidangkan makanan dengan membuat bento secara berseni untuk menarik minat anak.

Mereka akan membekalkan anak dengan kotak bento setiap hari dari awal persekolahan sehingglah anak masuk ke kolej.

bento anak kecil ke sekolah makan tengah hari

Tengoklah tu. Bukan sahaja berkhasiat, malah kita yang tengok pun rasa sayang nak makan sebab cantik sangat!

6. Haji-no-bunka

"Haji-no-bunka", atau budaya aib di Jepun adalah satu budaya di mana orang Jepun sering rasa malu dan aib dengan persekitaran. Orang Jepun sentiasa menjaga reputasi untuk dipandang tinggi oleh masyarakat.

picky eater jepun makan sendiri 857

Begitu juga dengan anak kecil Jepun. Mereka ingin rasa diterima dan disukai oleh semua orang. Sekiranya mereka gagal membuat sama seperti apa yang dilakukan oleh orang dewasa, mereka akan mula berasa malu dan terpinggir.

Pembentukan karakter dengan rasa malu dan aib ini juga adalah salah satu bentuk hukuman disiplin di Jepun. Disebabkan itu, tiada anak-anak Jepun yang memilih-milih makanan atau membuat perangai di meja makan.

Anda boleh mengajar anak bahawa makanan adalah salah satu rezeki dan tidak boleh dibazirkan. Mereka patut berasa malu sekiranya tidak menghabiskan makanan yang dihidangkan kepada mereka.

keluarga jepun makan bersama

Sememangnya sukar untuk menyesuaikan dan menerapkan budaya Jepun ini dalam masyarakat kita. Apatah lagi dengan jenis menu yang berlainan dan budaya masyarakat kita yang gemar makan di luar. Namun, realitinya adalah pilihan sebenar berada di tangan anda. Hendak atau tidak sahaja.

Anda mahukan yang terbaik bagi anak-anak? Mulakanlah dari sekarang!


tags : , , , , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)