Oleh pada 12 Sep 2018 kategori

Baru-baru ini tular satu berita mengenai dua orang kanak-kanak dari Kedah yang diberi nama bersempena nama buah-buahan tempatan kegemaran datuk mereka.

Ramai yang mengecam tindakan ibu bapa adik Dhury Yan dan Rambutt'an dengan menamakan anak mereka sedemikian, dikhuatiri anak-anak tersebut akan menjadi mangsa ejekan dan bahan gurauan rakan-rakan sepanjang hayat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak kurang juga ramai netizen yang bersetuju dengan penggunaan nama buah-buahan tersebut kerana ia sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Melayu menggunakan nama hari (Isnin, Khamis) dan nama bunga (Melur, Cempaka) untuk diperturunkan kepada anak-anak.

Kemudian, muncul satu lagi berita tular tentang ibu bapa dari negara jiran yang menamakan bayi kembar tiga bersempena sebuah model kereta Toyota. Nama Nazrina Khaira Avanza, Nazrina Haura Avanza dan Nazrina Khaula Avanza dipilih setelah ketiga-tiga bayi itu selamat dilahirkan dalam sebuah kereta Toyota Avanza. 

Setelah diselidik, itu bukanlah kali pertama rakyat Indonesia menamakan seorang bayi bersempena nama kenderaan. Sebelum itu, sudah ada ibu bapa yang memberi nama anaknya Pajero Sport dan juga Honda Suzuki Impalawati. Ya, ini bukan gurauan.

Namun, adakah pemilihan nama buah dan kereta itu merupakan nama yang paling pelik dan melucukan bagi anda? Kami kongsikan pula lapan nama bayi yang diambil bersempena internet dan media sosial:

1. Hashtag

Seorang ibu pernah memuat naik satu status dengan menulis, "Hashtag Jameson telah selamat dilahirkan jam 10 malam semalam. Beratnya 8lbs dan saya amat menyayanginya!"

hashtag jameson nama bayi yang diberi sempena internet dan media sosial

Tidak dapat dipastikan sama ada mereka benar-benar mendaftarkan nama tersebut bagi si comel itu. Namun, yang pasti, panggilan hashtag itu mungkin melekat sehingga ke akhir hayatnya.

2. Facebook

lelaki dari mesir menamakan bayinya facebook

Menurut laman TechCrunch, seorang lelaki bernama Jamal Ibrahim dari Mesir telah menamakan kelahiran pertamanya "Facebook". Nama itu diambil bersempena kejayaan anak-anak muda Mesir dalam Revolusi 25 Januari yang berlaku di negara itu. Bapa bayi tersebut ingin berterima kasih kepada Facebook kerana menjadi platform utama mereka dalam mengadakan tunjuk perasaan dan medium menyampaikan berita.

3. Like

Pasangan dari Israel, Lior Adler dan isterinya, Vardit, sedang mencari nama yang moden dan inovatif untuk diberikan kepada anak mereka. Ketika memuat naik gambar bayi tersebut, bapa itu mendapat sebanyak 40 'likes' dan dari situlah dia mendapat idea untuk menamakan anak mereka sedemikian.

bayi dinamakan like sempena ikon jari facebook

Setelah menyemak dengan jabatan pendaftaran, mereka mendapati masih belum ada bayi yang diberi nama Like. Jadi, mereka membuat keputusan untuk memilih nama yang unik itu.

4. Google

oliver google kai nama bayi sempena internet dan media sosial

Seorang pakar enjin carian dengan ijazah PhD yang berasal dari Lebanon, Walid Elias Kai dan isterinya dari Sweden, Carol Kai, memberikan nama anak mereka Oliver Google Kai.

5. @

Pada tahun 2007, sepasang suami isteri dari China cuba menamakan anak mereka "@" namun permohonan mereka ditolak oleh pegawai jabatan pendaftaran kerana penggunaan karakter dan simbol tidak dibenarkan dalam kad pengenalan. Bapa bayi tersebut mendesak untuk menggunakan nama itu dengan alasan ia unik dan digunakan oleh seluruh dunia untuk menghantar e-mel.

Selain itu, sebutan "@" dalam bahasa Inggeris adalah seakan-akan sebutan bahasa Cina "ai ta" yang membawa maksud "menyayangi dia."

6. Version 2.0

Jon Blake Cusack, seorang bapa dari Michigan, Amerika Syarikat enggan meletakkan nama "Junior" atau "II" di belakang nama anak lelakinya kerana ia disifatkan sebagai sudah terlalu biasa.

Apabila bayi itu dilahirkan, dia memberikannya nama Jon Blake Cusack 2.0, seperti versi dirinya yang dinaik taraf dalam komputer atau permainan video. Sebelum itu dia mengambil masa berbulan-bulan untuk memujuk isterinya supaya bersetuju dengan pemilihan nama tersebut.

7. Vista

Sebelum anaknya dilahirkan, Bil Simser yang bekerja sebagai seorang pengaturcara komputer masih belum mengetahui jantina bayi dalam kandungan. Semasa memilih nama bayi lelaki, pasangan itu ingin menamakannya Dev (singkatan bagi Developer). Pada masa yang sama, Bil amat menyukai nama sistem operasi MIcrosoft Windows yang baru dilancarkan ketika itu dan memilih Vista sekiranya bayi yang keluar adalah perempuan.

peminat microsoft vista menamakan bayinya vista avalon simser

Akhirnya, seorang bayi comel bernama Vista Avalon Simser selamat dilahirkan pada 18 Mei 2007.

8. Juno, Ludwig, Willow, Amaro, Valencia

Jika anda seorang pengguna Instagram yang tegar, sudah pasti anda mengenali perkataan-perkataan ini. Ia merupakan nama-nama filter bagi aplikasi media sosial tersebut. Apa yang menarik, ramai ibu bapa yang memilih untuk menamakan anak mereka sempena filter Instagram tersebut, menurut satu laporan nama popular yang dikeluarkan oleh Baby Center pada tahun 2015.

menamakan anak dengan instagram filter

Ada perbezaan yang besar antara suatu nama yang unik dengan nama yang diambil bersempena aplikasi kegemaran, kereta kegemaran dan sebagainya. Perlu difahami bahawa ia akan menjadi sebahagian besar identiti kanak-kanak sepanjang hayat mereka.

Nama boleh mencetuskan tanggapan awal tentang seseorang sebelum kita bertemu dengan mereka lagi dan ia boleh menjadi satu beban kepada anak untuk dihadapi pada masa hadapan.

Terdapat kajian yang mendapati kanak-kanak yang mempunyai nama dari segi linguistik yang berbunyi seperti mereka datang dari keluarga dengan status sosioekonomi yang rendah akan kurang disyorkan untuk memasuki kelas pelajar pintar dan lebih cenderung untuk dilabel sebagai kurang upaya dalam pembelajaran.

Selain itu, satu kajian lain pula mendapati kanak-kanak lelaki yang mempunyai nama seakan-akan perempuan lebih cenderung mempunyai masalah disiplin di sekolah kerana mereka bertindak balas dengan ejekan dan usikan rakan-rakan.

Ada juga kajian yang mendedahkan pemilihan nama yang disukai individu berkait rapat dengan tahap harga diri seseorang.

Jadi, para ibu bapa sekalian, ingatlah bahawa nama yang dipilih akan memberikan impak berpanjangan kepada anak-anak, tidak kiralah dari sudut positif atau negatif. Sebelum menamakan anak anda Youtube atau Whatsapp, fikirlah sedalam-dalamnya terlebih dahulu:

"Adakah saya sendiri suka jika diberi nama ini?"




Hakcipta iluminasi.com (2017)