Oleh pada 16 May 2017 kategori

minum susu segar beza susu segar

Jika anda pergi ke pasar raya, mesti anda selalu keliru apa beza susu segar, susu penuh krim, susu UHT dan pelbagai lagi jenis susu lain kan? Kenapa ada yang sejuk dan kenapa ada yang tidak sejuk? Macam-macam terma dan ungkapan digunakan sampai anda tak tahu yang mana bagus atau tidak.

Berikut kami kongsikan beberapa jenis susu yang sering kita nampak di kedai untuk makluman anda:

BESARKAN TEKS     A-  A+

#1 Susu segar (organik, belum diproses)

susu betul betul segar diambil dari ladang

Susu ini boleh didapati di kawasan kampung atau pedalaman di mana sumbernya datang terus dari lembu atau kambing ternakan. Walaupun susu ini dikatakan paling berkhasiat kerana tidak diproses atau ditambah bahan-bahan lain, namun menurut CDC Amerika, susu yang tidak dipasteurkan boleh membahayakan nyawa kerana mengandungi bakteria dan kuman daripada haiwan. Susu segar ini mengandungi 3% lemak susu.

#2 Susu segar (dipasteurkan, rak sejuk)

Perkataan 'pasteur' datang daripada seorang saintis Perancis bernama Louis Pasteur yang menggunakan elemen pemanasan melebihi 72°C selama sekurang-kurangnya 15 saat untuk membuang bakteria patogen dalam susu. Bakteria berbahaya ini boleh menyebabkan penyakit seperti tuberkolosis, demam tipoid dan difteria sekiranya tidak dibunuh.

Menurut USFDA, walaupun ramai orang menyebarkan khabar angin bahawa susu pasteur kurang berkhasiat, sebenarnya tiada perbezaan nutrisi antara susu mentah dengan susu yang dipasteurkan. Susu yang dipasteurkan adalah paling selamat diminum kerana tidak mengandungi bakteria patogen berbahaya.

Susu yang dipasteurkan mempunyai jangka hayat lebih pendek berbanding susu UHT. Oleh sebab itu ia disimpan di bahagian rak sejuk di kedai dan pasar raya.

#3 Susu segar (suhu ultra tinggi, rak biasa)

Ultra-high temperature (UHT) atau suhu ultratinggi sekurang-kurangnya 135°C digunakan untuk merawat susu dengan membunuh kandungan spora dan mikroorganisma dalam susu. Susu akan dipanaskan selama 1-2 saat sahaja menggunakan stim sebelum disejukkan dengan cepat dan terus dibungkus secara aseptik ke dalam bekas yang telah disterilkan.

susu segar uht

Ramai orang memperdebatkan tentang keselamatan susu UHT kerana jangka hayat susu yang dikatakan tidak normal iaitu selama 5-6 bulan dan tidak perlu disejukkan sehingga dibuka. Ini kerana jika anda ke pasar raya, susu UHT diletakkan di bahagian rak kering sahaja.

Walau bagaimanapun, saintis mendapati ia selamat diminum. Cuma kandungan nutrisinya sahaja yang tidak sebagus susu biasa yang dipasteurkan. Sekiranya anda seorang ibu mengandung atau ibu yang menyusukan anak, anda perlu minum lebih banyak susu UHT untuk mendapatkan nilai iodin yang sama seperti susu pasteur biasa.

#4 Susu segar berperisa

susu segar veterinar

Ini merupakan susu yang telah dicampurkan bahan tambahan seperti gula, perisa (strawberi, jagung, coklat), pewarna dan kondisioner makanan yang dibenarkan. Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, susu berperisa ini boleh dihasilkan sama ada secara pempasteuran, pensterilan atau UHT.

#5 Susu UHT campuran semula (UHT recombined milk)

Sebelum susu diimport masuk ke Malaysia, susu segar itu akan dikeringkan menjadi pepejal dan diasingkan kepada serbuk lemak dan pepejal susu. Kedua-dua komponen ini kemudian akan diproses di kilang dengan mencampurkan air atau susu, gula, pewarna atau bahan perisa sebelum dirawat secara UHT. susu uht campur semula recombined milk 2 412 Boleh dikatakan majoriti susu UHT di pasar raya merupakan susu campuran semula.

#6 Susu skim/tanpa lemak

Menurut Kementerian Kesihatan, susu skim/tanpa lemak ini sesuai untuk individu yang ingin mengehadkan pengambilan kolestrol dan lemak. Susu ini tidak mengandungi lemak susu namun masih mempunyai khasiat-khasiat lain. Susu skim boleh terdapat dalam bentuk tepung atau cecair. 

susu skim cecair

susu skim tepung

#7 Susu rendah lemak

ssuu rendah lemak dengan kalsium tinggi

Berbanding susu skim/tanpa lemak, susu rendah lemak masih mengandungi lemak susu namun jumlahnya tidak melebihi 1.5%. Kandungan nutrien seperti protein, kalsium, vitamin dan mineral masih tidak banyak perbezaan berbanding susu biasa. Ia boleh jadi susu segar UHT ataupun susu campuran semula UHT.

Semua susu bagus untuk kesihatan. Cuma pastikan anda semak dulu label pemakanan untuk melihat kandungan gula dan lemak dalam susu sebelum dibeli ya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)