Oleh pada 30 Oct 2022 kategori

Setiap insan mempunyai pandangan dan tanggapan yang berbeza, dalam menilai setiap aspek kehidupan. 

Ada yang berpijak di bumi nyata sedar akan kelemahan sendiri, bekerja keras mahu mengubahnya. Ada yang bergantung kepada fantasi sehingga terawang-awang dalam mimpi.

Kita juga ada bermacam jenis alasan dan hujah yang kita mampu keluarkan, untuk menutup kelemahan diri. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun ada masanya lebih baik untuk kita menerima, yang realiti dunia tak sama dengan apa yang bermain dalam kepala kita. Berikut adalah lima realiti hidup yang perlu kita terima, agar kita tidak terus leka.

1. Jangan malu kita kena kerja 

orang bekerja keras pekerja jepun

Dalam zaman moden, banyak pihak mempersoalkan keperluan seseorang mempunyai kerja.

Karier dan bidang pekerjaan yang mengikat seseorang dilihat satu kelemahan, sehinggakan ramai orang khususnya anak muda enggan terikat dengan sebarang bentuj kerjaya.

Pendapat sebegitu mungkin kedengaran indah apabila kita sendirian dan tidak punya banyak tanggungan.

Seseorang yang dah matang biasanya akan faham keperluan pekerjaan bukanlah untuk dapatkan gaji semata-mata. Pekerjaan juga sebenarnya mampu memberikan kita fokus hidup yang mengelakkan kita lari dari naluri asal manusia.

Apabila kita bekerja dan kita stabil dalam kerja kita, banyak kegusaran yang ramai ada, tidak membelenggu kita.

Anda mungkin terpengaruh dengan trend pempengaruh media sosial, gemar menjaja mesej seseorang harus berani mengambil risiko bekerja sendiri... seperti mereka.

Realitinya - mereka hanya menonjolkan sisi baik tanpa berani memperlihatkan waktu bimbang dan detik ketakutan menceburi bidang tersebut, yang sebenarnya dialami setiap hari.

2. Kerja keras tak semestinya mendatangkan hasil

gambaq orang kampung bekerja keras

Di internet, pakar-pakar motivasi tidak bertauliah gemar mengingatkan usaha kerja keras kita pasti akan mendatangkan hasil.

Tidak. Berhenti tipu diri kita. Kerja keras tak semestinya memberikan pulangan kepada kita.

Tetapi apa yang baik daripada semua kerja keras kita, sebenarnya memberikan kita matlamat untuk terus cekal dan berusaha. Lebih penting, kerja keras memastikan masa kita tak sia-sia terbuang sebegitu saja.

Dengan kerja keras, kita menimba pengalaman yang sangat berguna dalam mempertingkatkan ilmu, pengetahuan dan pengalaman kita dalam berhadapan dengan situasi yang sukar kita jangka.

Jika ada hasilnya? Itu bonus untuk kita.

3. 'Be Yourself' adalah fantasi

menjadi diri sendiri

'Kita kena jadi sendiri!'

Itulah mesej yang seringkali digembar-gemburkan sesetengah pihak, dalam usaha mengajak masyarakat  jadi lebih berani mencuba sesuatu yang lebih selari dengan kehendak diri kita. 

Seandainya semua orang di dunia ini berpegang kepada pendapat fantasi sebegini, memang jahanamlah tamadun manusia.

Contoh paling mudah, semua ibu bapa pasti mempunyai impian atau cita-cita peribadi, namun majoriti mereka sanggup mengabaikan keinginan sendiri untuk membesarkan anda.

Sekiranya mereka pilih utamakan diri sendiri, apa agaknya nasib kita?

Realitinya seorang individu yang mahu mementingkan diri akan mengabaikan banyak pihak lain untuk jadi 'dirinya.' Hendak tak hendak, seseorang perlu berkorban  walaupun impian sendiri menjadi mangsa.

Pengorbanan paling besar yang setiap orang akan perlu hadapi - adalah keperluan mengorbankan kehendak diri sendiri, demi kepentingan orang yang kita sayang. 

4. Anda tak semestinya berada di pihak yang benar

orang jahat tapi baik

Netizen gemar melabelkan seseorang yang berjuang melawan isu atau masalah masyarakat, automatik berada di pihak yang benar.

Pendapat sebegini kurang tepat.

Untuk setiap perkara, ada timbal-balik, pro dan kontranya dan perspektif lain yang boleh juga dilihat sebagai ada kebenarannya.

Hero pada anda, tak semestinya bermaksud wira kepada semua. Ada kemungkinan dia yang anda sanjung, dibenci ramai yang berbeza dengan anda.

Pendapat ini terpakai dalam semua situasi di mana ideologi atau pemikiran kita berlainan dalam menentukan hujah sesuatu isu - seperti politik, agama, isu masyarakat dan sebagainya.

Realitinya, semua topik yang kami sebutkan di atas tidak ada pihak yang benar-benar boleh mengaku mereka benar. Ini kerana semua orang yang terlibat mendakwa mereka benar.

Termasuklah anda dan seteru anda.

5. Nak adil? Bukan di dunia

mahkamah dunia belum tentu adil

Satu realiti yang harus kita semua terima; tidak wujud keadilan di dunia ini yang benar adil, walaupun manusia berusaha sekuat mana pun mendapatkannya.

Ramai memegang pendapat sesebuah negara itu akan dianggap berjaya, bila mana semua orang dapat hidup senang di bawah pentadbirannya. 

Ada yang menganggap konsep adil itu hanya akan tercapai apabila sesuatu itu berjaya diberikan atau diagihkan keseluruhannya sama rata. 

Semua pendapat seperti ini tidak benar. Apa yang berlaku di dunia ini apabila melibatkan naluri dan firasat manusia, pasti mampu mengakibatkan wujudnya ketidakadilan dalam bermacam bentuk.

Seseorang boleh cuba berlaku adil sebaik mungkin, tetapi pasti akan ada mereka yang tertindas disebabkan pilihan yang dibuat atau yang terpinggir hanya kerana kita mahukan keadilan.

Terimalah, nak adil, tempatnya bukan di dunia. Di sini, seadil-adil mana pun manusia berusaha, menghakimi, menilai, membantu - pasti ada cacat cela yang disedari atau tidak disedari kejadiannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)