Oleh pada 03 Jul 2017 kategori

kepercayaan negatif

Apabila anda sudah menceburkan diri dalam dunia pekerjaan, kerjaya anda boleh dikatakan adalah segalanya bagi anda. Demi mengejar cita-cita dan impian anda, anda akan berusaha apa yang terdaya. Setiap peluang dan setiap kesempatan akan digunakan sebaiknya, demi menggapai kesempurnaan hidup. 

Namun, ia adalah lumrah manusia untuk kita melakukan kesilapan, dan tidak ada apa yang salah dengan melakukan kesilapan. Yang penting adalah belajar dari kesilapan, dan teruskan berusaha. Namun, ada satu perkara yang lebih penting daripada belajar dari kesilapan, iaitu apa yang anda katakan kepada diri anda selepas anda melakukan kesilapan itu. Apa yang anda katakan atau fikirkan di dalam sanubari anda itu sama ada akan menambahkan impak negatif dalam diri anda, ataupun membantu anda dalam melangkah ke depan dengan lebih kuat. Pentingnya mengetahui jangan sesekali menghukum diri anda dengan teruk jika melakukan kesilapan.

Sememangnya anda akan berasa tidak semangat selepas melakukan kesilapan dan dengan berfikiran dan berkata perkara negatif pada diri sendiri tidak akan membantu, malah merugikan diri sendiri. Ia hanya akan menghantui diri anda seterusnya menempatkan anda di suatu tempat yang sukar untuk diselamatkan, dan akhirnya menghancurkan kerjaya anda.

"Sama ada anda fikirkan yang anda boleh, atau anda tak boleh, kedua-duanya adalah betul"
- Henry Ford

Dalam artikel yang lalu, "Mengapa EQ lebih penting daripada IQ", ia sudah dibuktikan bahawa tahap EQ berperanan penting dalam menentukan kejayaan seseorang dalam hidup. Mereka yang mempunyai tahap EQ yang tinggi mempunyai kemahiran untuk mengenalpasti emosi dan mengawal perkara negatif yang diutarakan kepada diri sendiri. Dengan ini mereka dapat mengelakkan diri mereka daripada terhalang untuk mencapai potensi diri sepenuhnnya. 

iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 6 tanggapan atau kepercayaan toksik yang boleh merosakkan perjalanan kerjaya anda.


1. "Kesempurnaan bermakna aku akan berjaya"

perfectionist

Ini yang paling biasa dipercaya dan ditanam dalam hati kita. Bukan sahaja dalam kerjaya, malah ketika kita di sekolah lagi sudah diterapkan kepercayaan ini, hingga ia menghantui kita di alam pekerjaan. Jika di sekolah, kita dikatakan dan diramalkan akan berjaya dalam hidup jika mendapat semua A dalam SPM, namun hakikatnya tidak. Berapa ramai yang mendapat keputusan sederhana dan teruk dalam SPM, tetapi berjaya dalam hidup? 

Jangan risau melakukan kesalahan kerana itu memang sifat kita sebagai manusia. Apabila anda menjadikan kesempurnaan itu sebagai sasaran anda, anda akan cenderung untuk dihantui oleh kegagalan, kerana setiap langkah anda akan berjaga-jaga, bagi mengelakkan kesilapan. Akhirnya anda akan menghabiskan masa anda meratapi apa yang anda gagal utk kecapi, yang mana sepatutnya anda meraikan apa yang telah anda genggami.


2. "Takdir aku sudah ditentukan"

destiny 155

Ia adalah satu kesilapan besar untuk menyalahkan takdir atas kegagalan anda. Terlalu ramai yang beranggapan takdir mereka telah ditentukan, tiada apa yang boleh mereka ubah lagi. Sememangnya takdir anda terletak di dalam tangan anda dan bergantung kepada usaha anda. Dalam Islam, Allah telah berfirman, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka”.

Jadi, ini membuktikan bahawa anda bertanggungjawab ke atas masa depan anda. Semestinya kadang-kadang anda berada di atas, segala perkara berjalan dengan lancar, dan pasti akan ada ketika anda di bawah di mana masalah melanda tidak henti-henti, apa yang menentukan masa depan anda adalah cara anda menyelesaikan masalah tersebut dengan sebaik mungkin, bukan hanya menyerahkan kepada takdir semata-mata.


3. "Aku 'mesti' atau 'tak boleh' lakukan..."

no

Hidup ini adalah sesuatu yang subjektif. Seperti anda menjawab pertanyaan, "Apa makanan kegemaran anda?", sudah tentunya tiada jawapan yang betul, ia bergantung kepada selera masing-masing. Begitu juga dengan kerjaya, ia adalah subjektif dan tiada istilah "tak boleh" atau "tak akan" dan juga "mesti". Ada perkara yang anda perlu buat dengan kadar sedikit, dan ada yang anda perlu letakkan usaha keras pada sesuatu.

Jika anda menetapkan yang anda tak boleh lakukan atau mesti lakukan sesuatu, ia secara tak langsung akan membuatkan diri anda terperangkap dan seolah-olah anda tidak mempunyai kawalan ke atas diri sendiri. Ia akan mengehadkan keupayaan anda dalam sesuatu kerja. Selagi ia tidak melanggar undang-undang dan membawa kemudaratan kepada anda dan orang lain, jangan hadkan sesuatu pada diri anda.


4. "Aku sudah berjaya jika orang lain menerima aku"

penerimaan orang lain tak penting

Orang tak akan berpuas hati dengan apa sahaja yang anda lakukan. Akan sentiasa ada perkara yang tidak kena, jika anda mengambil pendapat orang lain dalam menilai diri anda. Tak kisahlah apa pun yang orang fikir dan katakan, apa yang pasti adalah anda tak akan sebaik atau seburuk yang mereka katakan. Hanya anda sahaja boleh menilai diri anda kerana tiada siapa melalui hidup anda, melainkan anda.

Memang mustahil untuk hentikan apa yang orang lain katakan tentang anda, yang anda boleh lakukan adalah ambil yang baik dan endahkan yang buruk. Dengan cara ini, keyakinan dan harga diri anda akan hanya datang dari dalam diri sendiri. Ia lebih berharga dan bermakna. Ingat, penerimaan orang lain tak menentukan siapa dan di mana anda.


5. "Masa lampau aku akan sama seperti masa depan"

masa depan gelap

Pastinya anda pernah melalui kegagalan beberapa kali dalam hidup, tetapi tak bermakna ia akan menentukan bagaimana masa depan anda. Keyakinan diri anda terhakis akibat kesilapan lalu dan membuatkan anda sukar untuk mempercayai bahawa anda mampu mencapai kejayaan satu hari nanti. Anda salah. Kebiasaannya kegagalan yang anda alami adalah hasil daripada percubaan anda dalam sesuatu yang berisiko dan sukar untuk digapai.

Tetapi, apa yang positifnya adalah kejayaan akan dikecapi jika anda mampu bangkit daripada kegagalan lalu. Mungkin anda tak tahu bila anda akan berjaya, tetapi bak kata Jack Ma, "Jika anda tak putus asa, anda masih ada peluang. Berputus asa adalah kegagalan yang paling besar." Jadi jangan biarkan kegagalan masa lampau menentukan masa depan anda. Selagi anda bernafas, cuba sebaik mungkin.


6. "Emosi aku sama seperti realiti"

stressed 476

Anda sesekali tidak boleh menyamakan emosi anda dengan realiti kehidupan. Ini kerana emosi anda bergantung kepada situasi yang tidak menentu. Anda perlu tahu melihat perasaan anda dari sudut lain dan mengasingkannya daripada realiti.

Jika anda gagal, dan emosi anda terbawa-bawa mengatakan anda tidak akan berjaya, padahal anda masih mempunyai peluang yang luas, maka ia akan mempengaruhi keputusan dan tindakan anda selepas itu. Jadi, anda perlu mengawal emosi sebaiknya, dan tidak membuat keputusan yang penting secara terburu-buru dan dalam keadaan tidak stabil. Percayalah, jika anda membuat keputusan di kala emosi anda tidak stabil, anda akan menyesalinya kelak.


Rujukan : Huffington Post


tags : , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)