Oleh pada 25 Jun 2023 kategori

Jauh berjalan luas pemandangan.

Itu adalah ungkapan yang popular di kalangan ahli masyarakat kita, dalam membicarakan tentang pengetahuan yang bakal kita miliki - sekiranya kita gemar hadir ke tempat-tempat bukan biasa bagi kita.

Sebagai seorang bekas pemandu e-hailing, penulis telah melalui bermacam pengalaman menyaksikan sendiri bermacam jenis lokasi yang ada serta menemui pelbagai jenis manusia, daripada bermacam lapisan masyarakat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada yang pahit. Banyak yang manis. Berikut adalah lima perkara yang mampu anda saksikan sendiri, berkait realiti masyarakat kita yang hanya akan anda saksikan selepas duduk dalam industri gig ini untuk satu-satu tempoh masa.

1. Negara kita memang ramai pendatang asing tanpa izin

kebanjiran pendatang asing membimbangkan

Majoriti penumpang yang naik memesan e-hailing dengan penulis dahulu, adalah pendatang asing. Mereka adalah kumpulan paling ramai menjadi pelanggan utama perkhidmatan ini.

Daripada kategori ini, mereka boleh dibahagikan kepada dua; yang berpermit dan yang tidak berpermit. Jangan terkejut pula bila anda tahu ramai sebenarnya pendatang asing tanpa izin di Malaysia atau PATI mampu duduk berbelas tahun lamanya di negara kita, mencari rezeki.

Bagaimana mereka melakukannya, penuh dengan tindakan berhati-hati. Namun bukan semua PATI serupa statusnya. Memang ramai yang hadir ke sini, masuk secara haram.

Tetapi ada juga di kalangan mereka yang hadir ke sini secara sah, kemudian ditipu majikan atau lebih teruk terpaksa lari daripada majikan, kerana majikan kejam. Hendak tak hendak, mereka ini memilih untuk meneruskan hidup secara tidak sah bagi mencari rezeki kerana tahu keluarga di kampung memerlukan sumbangan mereka.

2. ...Dan mereka sebenarnya sangat berduit

pekerja asing di malaysia

Anda berjalan ke sana sini membawa wang tunai tak kurang RM2,000 dalam poket? Penulis dah berjumpa ramai pendatang asing yang poketnya penuh helaian RM50, berikat-ikat dengan getah.

Mungkin mereka perlu melakukannya, kerana mereka tidak ada akses kepada sistem perbankan. Selamba saja dia keluarkan gulung duit kertas untuk melakukan pembayaran.

Kenapa mereka banyak duit? Mudah. Mereka hadir ke sini untuk kerja. Itu fokus utama mereka. Nak keluar, takut. Nak berjoli, tiada keperluan. Sebab itulah mereka mudah menabung.

Belanja makan pula dikatakan hanya mencapai RM50 ke RM100 seminggu, yang akan dikongsi bersama-sama 3 ke 4 orang pendatang asing lain. 

3. Setiap daerah di Lembah Klang ada kawasan kampung yang terpencil

kawasan kampung tengah bandar

Setiap kali disebut Lembah Klang, pasti anda akan membayangkan kawasan metropolitan dengan bangunan pencakar langit serta kehidupan moden yang penuh kesibukan.

Realitinya, selain Kampung Baru di tengah-tengah Kuala Lumpur, wujud banyak kawasan kampung dan desa yang masih ada terpelihara di celah-celah pembangunan. Anda sebut saja kawasan bandar yang ada di sini, pasti ada kawasan kampungnya.

Cuma kedudukannya agak dalam serta jalan aksesnya memerlukan anda tahu selok-beloknya. Tetapi bila dah sampai ke sana, memang suasananya jauh berbeza dengan Lembah Klang yang biasa anda lihat, lebih mirip kawasan desa yang riuh dengan hiruk pikuk masyarakatnya.

4. Orang yang bergaya tak semestinya duduk di kawasan mewah

alif satar anak muda kawasan flat

Bosan pula bercakap pasal pendatang luar saja kan? Bagaimana dengan orang kita? Satu perkara yang sudah lali penulis hadapi adalah bagaimana orang yang paling bergaya, paling trendy serta paling vogue....tak semestinya duduk di tempat yang trendy juga.

Ramai sebenarnya ahli masyarakat kita yang pada permukaannya nampak up to date, kira style habislah dressing mereka ketika hadir ke kawasan-kawasan berprofil tingggi seperti Mid Valley di Bangsar, Pavilion di tengah Kuala Lumpur ataupun IOI City di Putrajaya.

Bila tiba di destinasi kediaman mereka, aduhai, dengan sampah berlonggok bertaburan di sekitar jalan, anjing penuh menjadi penunggu, bangunan tidak diselanggara dengan baik dan keadaan yang lebih seram berbanding suram.

Tapi yang kelakarnya, bila individu sebegini bercakap dalam telefon - bunyinya memang ada slanga kebaratan sikit serta lebih mirip dengan watak-watak drama jutawan dalam TV.

5. Kawasan kos rendah memang memerlukan perubahan besar

rumah pangsa kotor tidak terjaga

Dah sentuh tentang kediaman tidak terurus, baiklah kita menutup artikel ini dengan hujah sama. Sekiranya anda duduk di kawasan yang terjaga serta masyarakatnya mengamalkan tatacara kejiranan yang baik, tahniahlah.

Semua pemandu e-hailing pasti pernah hadir ke kawasan-kawasan yang kelihatan sangat tidak terurus, sehingga mampu membuatkan kita yang hadir tertanya 'macam mana ada orang sanggup tinggal di kawasan sebegini?'

Memang ada faktor kejiranan yang menyebabkan mereka jadi begitu. Sepanjang jalan penuh dengan kenderaan. Kawasan parkir pula 'di-chop' dengan baldi atau kon persendirian. Sampah tidak diurus. Dinding bangunan penuh dengan contengan.

Tetapi majlis bandaraya atau perbandaran juga perlu turut sama turun padang membantu banyak kawasan, khususnya kawasan pangsapuri kos rendah yang nampaknya tak ubah seperti kem-kem pelarian versi kekal.




Hakcipta iluminasi.com (2017)