iluminasi perangai unik malaysia

Aku bangga aku orang Malaysia.

Kita sangat unik. Bila kita bercakap tentang sesuatu negara, kita boleh bayangkan rupa penduduknya macam mana. Bagaimanapun bila membayangkan Malaysia, kita tak ada satu muka template yang khas dan boleh digunakan untuk melambangkan Malaysia kerana orang Malaysia boleh ada bermacam rupa, hasil dari percampuran budaya, adat, kaum dan agama yang saling hidup sekali dalam satu negara.

Dengan bercampurnya adat dan budaya yang bermacam-macam ini, kita boleh nampak sendiri ada banyak perkara unik yang hanya dapat dijumpai di negara kita. Berikut adalah 5 perangai unik yang hanya wujud di kalangan orang kita.

1. Gemar menggunakan tangan untuk menghentikan lalu lintas

iluminasi perangai unik malaysia2

Nak melintas jalan? Kereta lalu lalang tak berhenti? Tak ada lampu isyarat? Perlahan-lahan angkat tangan dan gunakan kuasa tangan anda untuk menghentikan lalu lintas. Yang hebatnya, orang ramai akan memperlahankan kenderaan bagi memberi anda jalan. Yang penting, sambil berjalan tangan diangkat dengan tapak tangan menghala ke arah pemandu, muka kena tengok depan dan jangan sesekali memandang ke arah pemandu yang memperlahankan kereta. Tiba saja pada langkah terakhir, turunkan tangan dan lihat trafik berjalan seperti normal.

2. Bercakap pelbagai bahasa dalam satu ayat

iluminasi perangai unik malaysia4

Ini adalah antara kebolehan semula jadi yang kita semua ada rasanya cuma kita saja yang tak sedar. "Yo bro, kau nak lunch dekat KFC hari ni?" atau "Macha! milo ais dinosaur gelas besar dengan french fries satu pinggan dengan sos cili extra spicy. Brader, kasi kuat sikit la tv aku nak tengok bola EPL ni. Bila nak tercapai impian aku nak tengok Liverpool jadi champion ni?"

Kita tak sedar kan benda tu berlaku? Ini belum kira sesetengah individu yang akan habiskan semua ayat dia dengan ada "lah" dihujung. "Jom makanlah, tidurlah, larilah, exerciselah" dan pelbagai lagi penggunaan "lah."

3. RAMAI BOSS!

iluminasi perangai unik malaysia3 710

Semua orang Boss. "Boss, cuci kereta berapa?" "Boss, saya mau makan nasi campur ayam goreng." "BOSS! KIRA!" "Boss, bila mau bayar hutang?"

Kita tak peduli pun siapa dia kerana semua orang adalah boss pada mata kita. Walaupun begitu, pelayan kedai mamak adalah golongan boss paling ramai yang bekerja bawah satu bumbung bersama-sama.

4. Tak peduli papan tanda

iluminasi perangai unik malaysia5

Kalau anda perokok dan anda hendak merokok di pejabat, besar kemungkinan tempat anda selalu merokok adalah betul-betul bawah papan tanda larangan merokok. Apabila ada papan tanda yang melarang sesuatu, mesti tempat tu akan jadi port kita buat apa yang dilarang dalam papan tanda tu. Pergi saja dekat taman yang ada paparan larangan melakukan maksiat, mesti ada couple-couple tak cukup bajet yang nak bercinta kat situ.

Tak percaya? Cubalah naikkan papan tanda "Jangan Buang Sampah di Sini" dekat mana-mana lokasi yang anda rasa sesuai. Esoknya aku percaya, orang akan buang sampah "DI SINI."

5. Melajukan atau memperlahankan kenderaan bukan pada waktu yang sesuai

iluminasi perangai unik malaysia6

Entah mengapa kerap berlaku pada aku sendiri bila aku bagi lampu isyarat nak ke lorong belah kanan, kereta belakang tadi yang perlahan dengan tiba-tiba laju dan semakin dekat. Bagi signal aje, mesti jadi macam tu.

Kemudian bila kita sangkut kesesakan jalan, dah setengah jam dalam kereta. Kereta pula hanya bergerak 10km/j paling laju dan dalam setengah jam tadi, hanya baru bergerak 7km lebih. Sampai dekat satu lokasi, rupa-rupanya ada kemalangan di jalan belah sana yang menyebabkan lalu lintas jadi perlahan kerana kita nak tengok apa yang berlaku.


Itulah dia lima contoh perangai unik orang Malaysia yang memang menggambarkan budaya kita sama ada dari segi positif atau dari segi negatif. Apabila difikirkan sebenarnya memang banyak perkara menarik mengenai perangai kita ni yang berbilang budaya.

Suka artikel seperti ini lagi? Tunggulah dilain waktu dan dilain ketika.


tags : , , , , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)