Oleh pada 17 Aug 2017 kategori

Saya cukup gemar makan di food court IKEA walaupun harganya agak tinggi tetapi kualiti makanannya sebenarnya sedap. Saya bukan bercerita tentang bebola daging IKEA yang semakin hari semakin tak sedap, tetapi tentang kepak ayam goreng yang setakat ini, tak pernah lagi mengecewakan saya.

Seperti yang kita sedia maklum, IKEA mengamalkan sistem servis layan diri yang kurang dipatuhi orang ramai. Semua pelanggan perlu mengemaskan meja sendiri selepas makan dan membawa pinggan, mangkuk dan cawan ke satu bahagian yang telah ditetapkan. Perbuatan ini jarang berlaku di negara kita sehinggakan pihak pengurusan IKEA nampaknya terpaksa melantik beberapa orang pekerja hanya untuk mengemaskan meja makan yang telah digunakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Saya berkesempatan menemubual Amjad secara tidak rasmi, seorang warga Bangladesh yang pernah bekerja di food court IKEA (cawangan mana terpaksa dirahsiakan)  dan dia sendiri telah menggariskan 5 perangai orang Malaysia yang membuatkan dia tertanya-tanya.

1. Orang Malaysia ramai tak faham arahan sistem makan dan kemas

iluminasi ikea food court2

Amjad sebenarnya ditugaskan untuk mengelap meja mana yang kotor dan mengemaskan bahagian pengumpulan peralatan makan dan minum yang telah dipakai. Walaupun sudah diletakkan pelekat di atas meja dan papan tanda didirikan, memang kerap Amjad terpaksa membersihkan meja dan mengangkut sisa-sisa makanan orang Malaysia.

Troli makanan yang bersepah dan mengganggu trafik juga perlu dikemaskan oleh mereka supaya tidak menghalang laluan. Rasanya perkara itu tidaklah susah untuk dilakukan tetapi terlalu ramai yang masih terus melakukannya.

2. Orang Malaysia ada yang pengotor gila

iluminasi ikea food court7

Sebelum datang ke Malaysia, Amjad membayangkan suasana kehidupan lebih bersih berbanding kampung halamannya di daerah Silhet yang agak daif. Sampai di Malaysia beliau menjangkakan penduduknya mengamalkan tahap moral yang tinggi namun sebaliknya berlaku. Bukan setakat di IKEA, malahan Amjad yang juga pernah bekerja sebagai pencuci tandas di sebuah pasaraya terkenal mampu melihat mentaliti yang sama.

Di IKEA, Amjad mempersoalkan mengapa terlalu banyak sampah jatuh ke atas lantai semasa orang Malaysia makan. Yang paling Amjad ingat, bagaimana dia perlu mencuci kahak berwarna hijau yang diludah atas lantai. Apa yang peludah itu fikirkan sebenarnya?

3. Orang Malaysia ramai yang suka membazir makanan

iluminasi ikea food court5 123

Amjad berkata dia sungguh sedih melihat jumlah makanan yang dibuang setiap hari. Ada kalanya, banyak makanan yang kelihatan hanya dimakan sedikit lalu langsung tidak disentuh. Paling banyak dibuang adalah kepak ayam dan bebola daging, mungkin ditinggalkan selepas kenyang. Selain itu kentang goreng yang dibuang juga tidak terkira jumlahnya.

4. Orang Malaysia ramai yang pentingkan diri sendiri

iluminasi ikea food court

Ketika waktu puncak, oleh kerana tidak ramai yang membersihkan meja, pasti ramai orang yang memerlukan meja dalam jangka masa yang cepat. Selalunya yang bertugas membersihkan meja hanyalah 2 atau 3 orang pekerja dan situasi pada waktu puncak, cukup merisaukan Amjad.

Dia pernah diarah ke sana ke mari untuk mengemas dan mengelap meja, sedangkan jika difikirkan, bukanlah tugasnya. Dia pernah dimarahi kerana tidak mengemas meja kerana sibuk menyusun dulang di kaunter. Dia juga pernah diminta oleh pelanggan untuk mengangkat hidangan yang sudah habis di makan oleh pelanggan supaya senang mereka berborak-borak.

Selain itu Amjad juga kerap melihat pertengkaran antara orang yang masih duduk di meja dan orang yang menggesa pelanggan tersebut mengosongkan mejanya supaya dia boleh makan. Menurut Amjad, apabila perkara tersebut berlaku, selalunya akan berlaku sedikit pertengkaran dan Amjad berkata, sepanjang dia bekerja, syukurlah dia tak pernah nampak insiden pergaduhan.

5. Orang Malaysia ada suka 'mencuri' dan ambil barang berlebihan

iluminasi ikea food court6

Setiap hari, Amjad mengutip berpuluh-puluh batang pensil yang disediakan oleh pihak IKEA untuk kemudahan penggunanya di food court. Selain itu, ramai yang mengambil tisu dengan banyak tanpa menggunakannya dan hanya ditinggalkan di atas meja.

Tidak masuk lagi jumlah paket gula yang senantiasa perlu diisi semula kerana setiap orang mengambil kuantiti yang banyak tanpa memerlukan. Sudu dan garpu yang sebenarnya bersih terpaksa dicuci sekali lagi hanya kerana sudah diambil. Kata Amjad, bila waktu puncak memang berlaku kekurangan utensil untuk digunakan kerana jumlah yang diambil terlalu banyak dan kekurangan pekerja untuk mengutip, membuatkan proses pengutipan dan pembersihan perlahan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Amjad berkata bekerja di food court IKEA merupakan satu pengalaman membuka mata pada beliau. Ini kerana pengalaman beliau melihat sendiri perangai orang Malaysia yang amat berlainan dengan apa yang dia dan kawan-kawannya lalui, membuatkan dia tertanya-tanya jugalah, apa yang tak betul dengan orang Malaysia?

Kata dia, kita mewah dari segi harta tapi dari segi tata susila, dia katakan kita ini miskin benar berdasarkan pemerhatian dia. Makanan banyak, tempat makan sedap, suasana selesa, tapi nikmat yang berada di depan mata seolah-olah tidak dihargai oleh rakyat Malaysia.

Amjad mengakui, ada kalanya dia secara sorok-sorok menyimpan kepak ayam goreng yang kelihatan tidak diusik untuk disimpan dalam satu bekas sebagai makanan dia dan kawan-kawannya pada hari itu. "Saya tak suka meatball," kata Amjad. "Tadak sedap."




Hakcipta iluminasi.com (2017)