Memiliki kereta sendiri merupakan antara impian ramai individu.

Bagi kaki kereta atau mereka yang benar-benar sayangkan kereta mereka, sebuah kenderaan bukan saja merupakan mesin yang memudahkan mereka bergerak bahkan turut menjadi sebahagian daripada identiti mereka.

Namun dalam pelbagai jenis perubahan dan modifikasi yang dilakukan kepada kereta kita dalam memastikan kita dan jentera itu benar-benar bersatu, ada beberapa perubahan yang popular di kalangan ahli masyarakat kita yang tak sepatutnya dilakukan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mampu menjadi punca kecelakaan, berikut adalah lima modifikasi kereta yang diamalkan ramai pemandu tetapi sebenarnya hanya menambah risiko ketika pemanduan.

1. Plag tali pinggang

plag tali pinggang dummy buckle

Perubahan paling mudah yang sering dilakukan segelintir pemandu yang kurang endah keselamatan diri; plag penyenyap tali pinggang mudah didapati jualannya dan menjadi antara aksesori wajib mereka yang mahu 'selesa' semasa memandu.

Sedangkan pengeluar kereta sudah sehabis baik mencipta sistem pengesan sensor yang direka khas untuk memastikan pemandu dan penumpang depan 'wajib' memakai tali pinggang - agar ketika beg udara diletupkan sekiranya kemalangan berlaku, kedua-duanya mempunyai peluang lebih tinggi terselamat.

Sukar untuk memahami kenapa masih ada pemandu yang mempunyai mentaliti sebegini. Kenderaan sudah ada kelengkapan beg udara tetapi pemasangannya hanya sia-sia sahaja.

2. Bypass cutoff sistem infotainment 

bypass handbrake infotainment kereta

Untuk kebanyakan sistem info-hiburan kereta yang menggunakan skrin sesentuh, kemampuan memainkan video merupakan antara fungsi yang dilihat menarik perhatian ramai. 

Bagaimanapun kebanyakan pengeluar kereta mengamalkan standard bahawa sistem info-hiburan yang dipasang akan secara automatik mematikan fungsi main video, sekiranya kereta dikesan sedang berjalan. Tidak bagi segelintir pemandu. 

Dengan menggunakan aksesori elektronik tambahan dijual pada harga RM70 sehingga RM150, sebuah kereta mampu memintas sistem itu membolehkan video dimainkan walaupun kenderaan sedang berjalan.

Lebih memburukkan keadaan, ramai juga rakyat kita sendiri gigih menghasilkan video tutorial mendidik orang ramai memasang sendiri sistem pintasan ini jika sudah dibeli, melibatkan banyak model kereta terkenal Malaysia - agar pemandu boleh menonton video semasa memandu.

3. Modifikasi warna lampu belakang

lampu merah isyarat belok modifikasi

Salah satu modifikasi yang cukup tak selamat dan membahayakan nyawa pihak lain, adalah modifikasi warna lampun belakang - khasnya warna lampu brek dan juga lampu isyarat. 

Ada bermacam jenis variasi modifikasi ini mampu dilihat penulis. Ada pemandu sengaja memasang lampu merah sebagai lampu isyarat. Ada yang memasang lampu putih sebagai lampu brek. Ada juga yang mengubah sistem sedia ada agar lampu brek akan berkelip-kelip ketika dia sedang membrek.

Kami langsung tidak faham apa tujuan anda berbuat begitu. Lampu brek dan isyarat yang ada itu bukanlah untuk anda di dalam kereta, sebaliknya menjadi indikator paling jelas tentang pemanduan anda kepada pemandu lain. 

Bila kita dah tahu lampu merah menandakan brek, kuning lampu isyarat dan putih lampu undur belakang; apa saja modifikasi ke atas standard yang telah ditetapkan akan membuatkan kereta anda lebih tinggi peluangnya disondol kereta lain.

4. Perubahan ketinggian kenderaan

bonggol jalan musuh kereta lowered

Kadang-kadang bila kita mengekori kenderaan yang dah direndahkan ketinggiannya atau lowered, rasa nak menangis ada nak ketawa pun ada. 

Setiap kali lalu di bonggol jalan, terpaksalah dia melaluinya hanya dengan kelajuan 5km/j. Dalam situasi lebih lucu, ada pemandu yang terpaksa pula menyengetkan kenderaannya kerana takut tergeser dengan bonggol sehingga mengakibatkan kerosakan. 

Yang salah dalam situasi tersebut, bonggollah. Bonggol tinggi sangatlah, bonggol tak ikut spesifikasi, tukang buat bonggol buat kerja cincai...macam-macamlah komentarnya.

Ada banyak risiko kenapa modifikasi 'lowered' kereta sangat tidak digalakkan selain dari perlu menghadapi situasi di atas. Sebuah kereta lowered secara tidak profesional perlu menampung beban lebih, yang menyebabkan kadar sentuhan tayar dengan jalan tidak sekata. Perubahan pada radius pusingan kereta dan geometri stereng juga akan jelas terasa.

Paling ketara, tayar itu sendiri akan kerap mengalami geseran dan hentakan pada dinding kereta yang menyebabkan ketahanannya menurun, meninggikan risiko tayar meletup semasa pemanduan.

5. Ekzos meletup-letup

ubahsuai ekzos kuat

Ketika industri automotif dan majoriti pengguna mahu mencari jalan bagi mengurangkan tahap bunyi bising yang dihasilkan kereta, bagi sesetengah pemandu yang berbeza pandangannya - mereka mahu satu negara tahu kereta mereka tengah bergerak di jalan raya.

Sistem ekzos yang dipasang sengaja dipilih yang paling ketara mampu menghasilkan bunyi lebih kuat, garang dan bising kerana dikatakan dengan memandu sebising itu, kepuasan pemanduan akan lebih dirasai.

Apabila tiba ke destinasi, sebelum dimatikan enjin sempat juga pedal minyak dipijak sekali dua bagi mengumumkan ketibaan mereka kepada semua. Ya, semua orang akan melihat anda tetapi percayalah - kalau kami boleh bagi anda makan ekzos anda, kami akan buat. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)