Sesetengah syarikat pengeluar kereta seperti Mitsubishi terlibat juga dengan pelbagai cabang perniagaan lain. Perkara ini adalah sesuatu yang biasa dalam bidang perniagaan untuk mempelbagaikan produk. Sebagai contoh, Lamborghini pernah menghasilkan telefon pintar dan ianya tidaklah begitu menghairankan.

Terdapat beberapa lagi syarikat kereta yang terkenal di mana mereka menghasilkan barangan lain yang tidak ada kena mengena dengan produk utama mereka. Berikut adalah 10 syarikat pengeluar kereta berserta produk 'unik' yang dihasilkan:

BESARKAN TEKS     A-  A+

10. Siren serangan udara - Chrysler

siren serangan udara chrysler

Chrysler adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam pelbagai jenis sektor, lebih-lebih lagi sewaktu Perang Dunia Kedua. Mereka terlibat dalam pelbagai pembinaan kenderaan tentera, enjin pesawat, penambahbaikan radar, peluru berpandu, roket angkasa dan yang paling pelik mungkin adalah siren serangan udara.

Siren yang dihasilkan adalah siren jenis outdoor yang digunakan ketika berlakunya era Perang Dingin. Siren ini dibina dari tahun 1952 sehingga 1957. Siren serangan udara yang dihasilkan Chrysler ini digunakan oleh kerajaan Amerika Syarikat di beberapa buah negeri yang terpilih. Malah sehingga hari ini, terdapat beberapa bangunan dan menara pengawal yang masih menyimpan siren ini. (sumber)

9. Meja Foosball - Audi

meja foosball audi

Audi secara tradisinya terkenal sebagai pengilang kereta mewah dari Jerman namun begitu, syarikat ini juga telah mereka dan menghasilkan meja foosball. Meja foosball mewah yang dihasilkan merupakan antara yang termahal di pasaran. Studio Rekaan Audi dengan kerjasama Leonhart (rakan produksi) telah menghasilkan meja foosball edisi khas dan hanya terhad kepada 20 unit sahaja.

Inisiatif aneh oleh pengeluar kereta gergasi ini mungkin hanya sebagai salah satu kaedah pemasaran. Meja foosball Audi yang begitu mahal ini dijual pada harga RM66,262 ketika dilancarkan. Audi memaklumkan bahawa ia memerlukan pertukangan teliti selama setahun semasa proses menghasilkannya. Produk ini sememangnya menjadi contoh kepada kejuruteraan dan pertukangan halus yang dimiliki oleh Audi. (sumber)

8. Rumah - Toyota

rumah yang dibina toyota

Tahukah anda bahawa syarikat Toyota juga membina rumah kediaman? Ramai yang mengetahui bahawa pengeluar kereta dari Jepun ini mempunyai jualan kereta paling laris di dunia namun sangat jarang yang mengetahui tentang perniagaan rumah mereka. Ini sebenarnya adalah salah satu bidang perniagaan mereka yang tidak melibatkan automotif dan ia telahpun berjalan selama lebih 40 tahun.

Toyota membina pelbagai rumah mewah yang cantik di serata Jepun. Syarikat ini menggunakan pendekatan yang dikenali sebagai "Skeleton & Infill" dalam membina rumah mereka. Toyota mula membina rumah sejak 1975 lagi. Setakat ini, rumah yang dibina oleh Toyota ini hanya boleh didapati di Jepun sahaja dan harga setiap unit bukanlah dalam kategori mampu milik. (sumber)

7. Perabot hiasan - Bentley

perabut rumah bentley

Kita tahu bahawa Bentley adalah pengeluar kereta mewah British yang terkemuka di dunia tetapi ramai yang tidak tahu bahawa mereka juga menghasilkan perabot rumah. Bentley sememangnya mempunyai sejarah yang lama dalam pembuatan bahagian dalaman kereta yang terbaik.

Kerjasama Bentley dengan syarikat Club House Italia, iaitu sebuah syarikat perabot rumah mewah telah menghasilkan satu ciptaan yang berkualiti tinggi. Club House Italia memang terkenal kerana banyak menghasilkan perabot untuk jet peribadi, kapal layar, hotel mewah dan juga rumah.

Kini kedua-dua syarikat gergasi itu telah bergabung dan menaikkan standard perabot mewah kepada satu tahap yang lebih tinggi lagi. Punca dan alasan Bentley memilih bidang perniagaan tambahan seperti ini masih lagi menjadi tanda tanya. (sumber)

6. Pelana Kuda - Maserati

pelana kuda maserati

Perayaan ulang tahun ke-100 syarikat Maserati disambut dengan sedikit keanehan. Ini disebabkan pengeluar kereta mewah Itali itu telah berkerjasama dengan La Martina, iaitu sebuah syarikat Polo dari Argentina yang mahir dalam menghasilkan pelana kuda yang mewah.

Pada tahun 2014, Maserati yang mencapai usia 100 tahun telah menghasilkan satu pelana kuda yang cantik dengan logo terkenal mereka di bahagian sisi pelana tersebut. Ciptaan pelana unik Maserati ini datang dengan pelbagai skema warna yang diinspirasikan daripada kereta mewah mereka. (sumber)

5. Sos tomato & sosej - Volkswagen

sos tomato dan sosej volkswagen

Volkswagen adalah sebuah syarikat berprestij yang terkenal dalam pembuatan kereta di seluruh dunia. Beberapa jenama kereta dan syarikat terkenal pada hari ini merupakan anak syarikat kepada Volkswagen. Walaupun begitu, syarikat gergasi ini mempunyai beberapa produk yang tidak ada kena mengena langsung dengan automotif.

Tahukah anda, Volkswagen menghasilkan sosej dan sos tomatonya sendiri? Ia bukanlah dihasilkan sempena ulang tahun tetapi dijual di pasaraya dan di kedai-kedai terpilih. Apa yang menakjubkan, mereka berjaya menjual sosej dan sos tomato ini lebih banyak daripada kereta mereka sendiri. Pada tahun 2015 sahaja, Volkswagen berjaya menjual 7.3 juta sosej pedas berbanding penjualan kereta mereka sebanyak 5.8 juta unit. (sumber)

4. Kartun - McLaren Automotive

kartun tooned oleh mclaren automotive

McLaren Automotive adalah pengeluar kereta British yang terkenal kerana pembuatan kereta sukan dan kereta mewah mereka. Syarikat itu telah menyertai perlumbaan Formula 1 sebagai kumpulan McLaren F1.

Malah, mereka juga telah menghasilkan siri animasi kartun yang dinamakan Tooned yang memaparkan pelumba dan juara mereka yang terdahulu dan sekarang. Mereka menghasilkan kartun ini sebagai strategi pemasaran pasukan serta kereta lumba mereka.

Pada tahun 2012, musim pertama animasi Tooned telah ditayangkan dan setiap episodnya hanya berlangsung selama lebih kurang 3 minit sahaja. Kemudian, musim ketiga Tooned telah dipindahkan ke saluran YouTube McLaren. (sumber)

3. Shisha - Bugatti

shisha oleh bugatti

Bugatti adalah pengeluar kereta mewah seperti Veyron dan Vitesse namun yang peliknya mereka juga menghasilkan hukah atau shisha premium. Pada tahun 2013, Bugatti dengan kerjasama Desvall (pembuat hukah premium) telah mengeluarkan edisi terhad dan alat merokok paling mahal pernah dihasilkan.

Shisha mewah yang dihasilkan itu berharga lebih kurang RM414,210. Shisha edisi khas ini menggunakan selongsong serat karbon, bingkai titanium dan hiasan kulit yang dijahit tangan secara terperinci. Shisha atau hukah yang cantik ini dihasilkan dengan tangan sepenuhnya di Sepanyol dan ia menyerupai hiasan dalaman kereta mewah Bugatti Veyron. (sumber)

2. Rumah kelawar - General Motors

rumah kelawar general motor

General Motors (GM) ialah sebuah syarikat pembuatan kereta multinasional yang besar dari Amerika Syarikat. GM juga merupakan syarikat yang terkenal dengan pengeluaran, rekaan, pemasaran dan juga penjualan alat ganti kereta.

Namun, kadang-kala syarikat ini juga menghasilkan beberapa produk aneh yang tiada kaitan langsung dengan kenderaan misalnya rumah kelawar, sangkar untuk itik malah senapang mesin.

Chevrolet yang merupakan salah satu bahagian GM telah memperkenalkan cara bijak untuk mengitar semula penutup bateri yang diperbuat daripada thermoset iaitu sejenis bahan yang sukar dikitar semula.

John Bradburn yang merupakan pakar bahan sisa syarikat GM bersama pasukannya telah membina lebih kurang 700 kotak yang dijadikan sarang atau kandang kelawar. Malah, mereka juga mencipta beberapa rumah untuk haiwan lain seperti burung hantu, itik kayu dan pelbagai jenis burung lain. (sumber)

1. Pengisar lada - Peugeot

pengisar lada peugeot

Sebelum Peugeot dikenali sebagai sebuah jenama kereta, ia adalah jenama pengeluar pengisar lada yang terkenal. Syarikat yang berasal dari Perancis itu menghasilkan pelbagai jenis pengisar berkualiti tinggi. Pada tahun 1810, perniagaan keluarga itu mula ditubuhkan dengan hanya menghasilkan pengisar kopi sahaja.

Pada tahun 1942, beberapa produk lain telah dikeluarkan seperti pengisar lada, bekas garam serta bekas untuk pelbagai jenis bahan masakan lagi. Bahkan, mereka juga pernah menghasilkan wain dan rempah-ratus sebelum menceburkan diri dalam industri automotif. Jika anda berpeluang ke Perancis, anda boleh melawat Muzium Peugeot yang terletak di Sochaux di mana pelbagai model pengisar lada yang dipamerkan selain model kereta. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)