Oleh pada 11 Nov 2023 kategori

Menguasai bahasa Inggeris bukanlah perkara mudah.

Ini kerana pengaruh bahasa kuno lama yang membentuk apa yang kita kenali sebagai 'bahasa Inggeris' sekarang, menyebabkan bahasa Inggeris (BI) mempunyai sistem tatabahasa, makna, ejaan dan sebutan yang caca merba, tidak sekata berubah-ubah mengikut situasinya.

Dalam aspek pembentukan frasa hasil gabungan istilah yang berbeza bagi membentuk perkataan baru, ketidak seragaman ini menyumbang kepada istilah yang agak rojak gayanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 istilah Inggeris yang kerap kali kita sebut namun asalnya, langsung tidak menepati makna yang ingin kita sampaikan.

1. Kenapa terlepas pandang digelarkan 'overlook'?

overlook tempat tinggin pemandangan

Ramai orang akan kecil hati seandainya dia kena 'overlook' dalam sesuatu perkara kan?

'Overlook' membawa makna terlepas pandang dan boleh juga digunakan untuk menunjukkan perbuatan memandang sesuatu dari tempat tinggi.

Istilah ini asalnya adalah gabungan dua istilah iaitu 'over' dan 'loken', yang membentuk istilah 'overloken.'

'Over' datang daripada perkataan 'uper' dalam bahasa proto Inggeris, yang membawa makna 'melepasi sesuatu' sementara 'loken' pula mewakili 'melihat sesuatu.'

Dalam bahasa Inggeris lama, kata arahan 'loken' mempunyai makna yang sama dengan 'lihat!' atau 'look!' yang ada sekarang, untuk mengarahkan seseorang melihat ke satu arah.

Jadi 'uper' + 'loken' pada asalnya mempunyai makna perbuatan memandang ke sesuatu arah dari paras atas.

2. 'Undertake' - kenapa mewakili seorang yang memikul beban?

undertaker undertake makna

Jika dipisahkan kedua-duanya, 'under' kita ketahui bermaksud berada di bawah sementara 'take' mempunyai makna mengambil sesuatu.

Uniknya, dalam konteks zaman terdahulu - istilah 'undertake' dan 'undertaker' asalnya mempunyai makna yang serupa, sedikit berbeza dengan apa yang kita gunapakai sekarang.

Istilah 'undertake' muncul terlebih dahulu, hasil gabungan istilah under dan take.

Under pada awalnya bukanlah hanya mewakili makna di bawah sesuatu, sebaliknya turut mewakili makna berada di kalangan sesuatu.

Ini bermakna istilah ini tidak eksklusif merujuk kepada sesuatu yang lebih rendah kedudukannya.

Undertake merujuk perbuatan memikul tanggungjawab untuk melakukan sesuatu tugas atau pekerjaan, merangkumi apa saja jenis bidang.

Individu yang dilantik dilabelkan sebagai undertaker.

Pada abad ke 17, populariti istilah funeral undertaker atau petugas pengebumian menyebabkan istilah undertaker mula dikaitkan dengan urusan mengebumikan orang mati.

Perubahan ini menyebabkan banyak profesion memilih untuk tidak lagi menggunakan istilah undertaker bagi melabelkan diri sendiri, sebaliknya menggunakan istilah berbeza...walaupun dalam bahasa penggunaannya masih tepat jika diguna.

3. Bagaimana pula dengan 'understand'?

understand faham asal usul

Kami sudah menjelaskan berkenaan istilah 'under' di atas tetapi pernahkah anda tertanya kenapa 'faham' adalah 'understand' dalam bahasa Inggeris?

Apa yang 'bawah' dan 'berdiri' yang menyebabkan pembentukan ayat itu? Adakah stand itu mewakili tangga? Hahaha. Tidak.

Under dalam konteks understand tidak mewakili kedudukan atau posisi lebih rendah, sebaliknya mewakili kedudukan seseorang yang berada di kalangan sesuatu.

Stand itu pula merujuk perbuatan berdiri.

Jadi understand merujuk kepada perbuatan seseorang berdiri di sesuatu tempat atau lokasi, menjadi sebahagian daripada kalangan orang yang berkumpul dalam sesuatu peristiwa.

Lama-kelamaan istilah ini berkembang, mewakili perbuatan seseorang yang bersetuju dan menerima idea, arahan dan pendapat pihak lain.

4. 'High' dan 'way' = lebuhraya?

lebuhraya highway heahweg

Kami yakin ramai perlu melalui lebuhraya atau highway setiap hari dan menyumpah-nyumpah kerana perlu membayar tol. Samalah kita.

Untuk menenangkan anda, apa kata kita fahamkan kenapa highway digelarkan highway. Laluannya taklah tinggi mana pun, jadi kenapa high?

Walaupun 'high' mewakili lokasi atau kedudukan tinggi, istilah 'highway' tidak berkait dengan makna itu.

Ini kerana 'highway' datang daripada istilah 'heahweg' dalam bahasa Inggeris lama, bererti laluan atau jalan penting menghubungkan satu pekan ke satu pekan lain.

'Heah' bererti utama dan 'weg' bererti laluan, jadi secara asal-usulnya, highway mempunyai makna 'laluan utama' masyarakat Inggeris zaman dulu.

5. Kenapa menenggelamkan sesuatu digelar downplay?

downplay asal usul

Dalam era media sosial ni, taktik downplay atau meredakan sesuatu isu berbangkit memang kerap diamalkan pelbagai pihak.

Tahukah anda dari mana datang istilah ini? 

Down mempunyai makna yang sangat berbeza dengan apa yang kita faham sekarang.

Istilah ini datang daripada istilah 'dun' yang bererti bukit. Dalam bahasa Inggeris lama, istilah ofdune atau of dune mewakili 'sesuatu yang bergolek atau jatuh dari bukit.'

Play pula datang daripada istilah pleien dalam bahasa Inggeris lama, mempunyai makna 'perbuatan melibatkan diri dengan sebarang bentuk aktiviti.'

Tak ada kaitan antara kedua-duanya.

Asal-usul istilah downplay dibentuk masih baru sekitar abad ke 20 tetapi ditulis dalam format berbeza iaitu play down.

Play down membawa makna meminima, mengurang atau merendahkan sesuatu diamalkan dalam persembahan muzik dan teater, bagi mereda, mengawal atau merendahkan rentak persembahan.

Pengunjung teater meminjam istilah itu untuk merujuk perbuatan meredakan sesuatu yang sedang kecoh atau hangat, mirip tindakan teater meredakan persembahan mereka.

Istilah ini akhirnya mula diguna sebagai kata rujuk masyarakat awam, diubah kepada downplay bagi mewakili tindakan mengenepi atau merendahkan sesuatu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)