Nak beli kereta mudah prosesnya.

Jika anda mampu, beli secara tunai. Tak mampu, belilah secara bayaran ansuran dengan pihak pemberi pinjaman. Dah ada kenderaan sendiri semasa ada waranti, hantarlah ke pusat servis bertauliah yang diiktiraf pengeluar kereta anda bagi memastikan kualiti servis anda menepati standard.

Bagaimanapun jelas itu tak mencukupi dalam memaksimakan keuntungan pengeluar. Telah wujud beberapa eksperimen pengeluar kereta cuba memonetasikan fungsi kereta dalam bentuk langganan, bagi memastikan anda terus berbelanja kepada mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima idea baru pengeluar kereta yang direkabentuk khas untuk tujuan tersebut. Berapa lama lagi agaknya 'fungsi-fungsi' baru ini akan mula dipasang di kenderaan yang dijual dalam pasaran tempatan kita secara meluas?

1. Langganan bulanan kepada fungsi penghubung telefon pintar kenderaan

bmw carplay langganan subsciption

Salah satu fungsi  kenderaan yang  berjaya ditukarkan kepada bentuk langganan bulanan, adalah fungsi sambungan unit info-hiburan dalam kereta dengan telefon pintar anda.

BMW menjadi antara pengeluar yang telah melancarkan pakej langganan bulanan kepada pengguna kenderaan jenama mereka, bagi mengaktifkan fungsi Apple CarPlay yang telah dipasangkan ke dalam setiap unit kereta bermula sekitar tahun 2019. 

Dengan bayaran USD80 setahun atau USD300 untuk 20 tahun, fungsi itu akan diaktifkan. Sekiranya pemandu tidak membayar langganan, fungsi itu dimatikan secara jarak jauh. Semua pelanggan BMW menerima secara percuma langganan tahun pertama.

Selepas dikritik hebat, BMW menyelamatkan diri menukarkan pakej mereka hanya kepada caj pengaktifan sekali seumur hidup. Termasuklah di Malaysia, bila seorang pemilik BMW dikenakan bayaran RM1,299 bagi membeli fungsi itu - tidak lagi perlu melanggan.

Kami yakin pakej-pakej sebegini pasti akan menjadi popular meliputi lebih banyak pengeluar, kerana sambungan telefon pintar ke unit info-hiburan adalah salah satu fungsi yang sering digunakan pemandu.

Jangan terkejut jika anda perlu membayar kos tambahan secara bulanan untuk fungsi ini di masa hadapan.

2. Langganan kemaskini Over The Air (OTA)

kereta ota update kemaskini perisian

Semua orang yang biasa menggunakan telefon pintar atau komputer, sudah biasa menerima kemaskini perisian peranti anda kan?

Kemaskini yang dilakukan secara OTA atau Over The Air mempunyai faedah sama ada menambahkan fungsi baru atau memadamkan ralat-ralat perisian yang ada. Tetapi setakat ini majoriti kita tak pernah lagi membayar untuk mendapatkan kemaskini OTA kan?

Dengan penambahan fungsi komputer kepada teknologi kereta, kemaskini OTA dilihat bakal menjadi salah satu fungsi yang sesuai untuk dijadikan pakej langganan kepada semua pemandu. 

Dan perkara ini sudah dilaksanakan.

Dijaja oleh pengeluar kereta sebagai penambahbaikan yang akan memperbaiki kestabilan perisian kawalan kenderaan, pengeluar seperti Ford kini sudah menawarkan pakej kemaskini OTA melibatkan beberapa model keluaran 2021 mereka di Amerika Syarikat; dengan bayaran RM2640 untuk 3 tahun langganan kemaskini.

Pengeluar lain seperti Volkswagen juga sedang menjalankan ujian dan penyelidikan bagi mengenalpasti tahap keberkesanan dan penerimaan pengguna, sekiranya pakej-pakej sebegini ditawarkan. 

Dah macam langganan perisian komputer Microsoft Office dan Adobe Suite pula kereta kita.

3. Langganan kelajuan maksimum kenderaan tambahan

tesla acceleration boost

Anda rasa kereta anda tak berapa sedap lajaknya? Inginkan kelajuan tambahan?

Pakej 'kelajuan tambahan' yang mampu melonjakkan kemampuan kereta anda ditawarkan, dengan syarat - wang ringgit anda perlulah bertukar tangan.

Antara pengeluar yang telah pun melaksanakan pakej sebegini untuk jualan rasmi adalah Tesla, di mana pemilik kereta jenama Tesla Model Y boleh membeli pakej 'peningkat pecutan' berharga RM8800.

Dengan pembelian itu, satu kemaskini secara jarak jauh akan dihantar ke kereta pembeli; membuka sekatan pada bahagian kemampuan enjin model tersebut yang sebelum itu dihadkan untuk menjaga kapasiti bateri - mampu meningkatkan pecutan kelajuan 0 ke 96km/j pada durasi 4.3 saat. 

Tanpa pakej tersebut, kelajuan itu hanya dapat dicapai dalam masa 4.8 saat. Rujuk tangkap layar di atas.

Tawaran pakej-pakej sebegini yang mampu meningkatkan pecutan, had laju atau kapasiti jarak yang boleh dipandu bagi kenderaan berasaskan bateri sudah menjadi satu perkara lazim di kalangan pengguna kenderaan elektrik.

Selain Tesla, pengeluar lain seperti General Motors juga dikatakan sedang dalam rangka kajian sama ada mahu mengenakan caj sekali seperti Tesla atau menggunakan sistem langganan bulanan.

Kajian terbaru GM pada tahun 2021 mendapati pengguna sanggup membayar sehingga RM593 sebulan untuk melanggan sistem GPS lebih baik, fungsi bantuan kecemasan dan juga tentulah penambah pecutan pada model yang telah mereka beli.

Ye ke pengguna sanggup beli?

4. Langganan fungsi atau mode pemanasan kenderaan

bmw fungsi pemanas stereng dan kerusi

Sekiranya anda belum rasa idea-idea dan fungsi yang kami nyatakan di atas mengarut; hati-hati, kita sedang memasuki zon mengarut.

Salah satu idea yang sedang diteroka oleh banyak pengeluar kereta adalah bagaimana untuk mengambil fungsi-fungsi paling asas bagi ditukarkan kepada jenis pakej langganan.

BMW sekali lagi mencuri tumpuan selepas mereka mengumumkan mereka sedang mengkaji untuk menukarkan fungsi asas pengguna kenderaan mereka di negara beriklim sejuk, seperti pemanas kerusi dan pemanas stereng pada tahun 2021; agar dapat dipakejkan sebagai langganan menggunakan sistem caj bulanan.

Ideanya menurut jurucakap BMW adalah untuk memberikan pengguna lebih banyak pilihan.

Sebagai contoh ketika musim sejuk, pengguna boleh melanggan pakej pemanas yang akan diaktifkan secara OTA. Bila musim sejuk selesai dan cuaca kembali hangat, pengguna mempunyai hak untuk menamatkan langganan mereka, mematikan fungsi tersebut....

.....Walaupun semua kelengkapan, teknologi dan peranti yang diperlukan sudah siap sedia terpasang dalam kenderaan mereka.

Ini ibarat kita di Malaysia perlu langgan pendingin hawa kenderaan bila musim panas. Bila hujan tak perlulah kita langgan. Baru jimat.

5. Langganan kunci jarak jauh kenderaan

toyota kunci jarak jauh langganan bulanan

Di antara semua idea paling mengarut, ini rajanya.

Satu idea kontroversi berkenaan pengenalan pakej langganan fungsi asas kereta, dilakukan oleh gergasi automotif Jepun, Toyota. 

Mereka memperkenalkan skim Toyota Connected Service, sebuah program langganan bulanan yang ditawarkan kepada pengguna model kenderaan mereka di negara-negara tertentu sejak tahun 2018. Dengan kadar bayaran RM35 sebulan atau RM350 setahun, pemandu boleh memilih di antara 3 pakej; bajet, plus dan premium.

Setiap pakej pula dibahagikan mengikut fungsi yang ditawarkan, sama ada mempunyai sistem bantuan kecemasan, sistem sokongan Wi-Fi, peringatan servis dan juga tahap sokongan audio.

Apa yang menyebabkan ramai pengguna marah adalah apabila sistem kunci jarak jauh atau remote start yang jelas satu fungsi biasa dan cukup popular, diletakkan ke dalam pakej plus dan ke atas saja.

Ini bermakna bagi sebahagian besar pemandu Toyota - fungsi tersebut akan dimatikan sekiranya mereka hanya mahu melanggan pakej paling bajet. Semua pembeli jenama Toyota di negara-negara terlibat sejak tahun 2018 diberikan 3 tahun penggunaan secara percuma, di mana semua fungsi dalam pakej diaktifkan.

Sekarang dah 2022. Bila ramai pengguna mendapati banyak fungsi kenderaan mereka dimatikan, aduan pun mula kedengaranlah. Yang agak melucukan, ramai pemandu tak tahu selepas 3 tahun fungsi kunci mereka akan ditamatkan.

toyota kunci fob key subsciption langganan tahunan

Pertama kali kami dengar berita ini kami pun tak sangka syarikat yang mempunyai reputasi baik seperti Toyota, cuba meletakkan fungsi kunci jarak jauh sebagai sesuatu yang perlu pemandu langgan. Toyota ni!

Selepas dikritik dan dikecam, Toyota berjanji akan mengubah suai dan menambahbaik pakej yang mereka tawarkan dalam pengumuman bulan Disember tahun 2021.




Hakcipta iluminasi.com (2017)