Menjadi ibu bapa memang memenatkan disebabkan bermacam faktor. Antara faktor utama yang mampu mengakibatkan ibu dan bapa di luar sana berlelah-lelah, adalah kerana keperluan pengawasan 24 jam ke atas tingkah laku anak.

Apatah lagi apabila melibatkan anak yang masih kecil. Risiko dan bahaya sering menjadi igauan ngeri ibu bapa, sehinggakan ramai yang tak senang duduk setiap masa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di dalam rumah kita sebenarnya wujud bermacam objek yang kita rasakan selamat, tetapi mampu membawa malapetaka seandainya tidak berwaspada. Berikut adalah lima barangan harian di rumah, yang nampak selamat tetapi sebenarnya sangat berbahaya.

1. Gam gajah

gam gajah terkena muka mata

Panggillah apa saja yang anda mahu - gam gajah, gam UHU, super glue dan sebagainya, tetapi bila gam ini melekat di jari memang rosak terus 'mood' kita. Rupanya yang kelihatan seakan-akan makanan itu juga mampu mengundang bahaya kepada anak-anak anda.

Kes anak kecil yang mengalami masalah pernafasan selepas termakan atau tersedut gam gajah ini sebenarnya memang berlaku. Dalam satu kes di Amerika Syarikat, seorang kanak-kanak berusia 19 bulan mengalami masalah pernafasan akibat termakan gam yang digunakan ayahnya untuk membina model kit kereta.

Kanak-kanak tersebut dianggarkan termakan 7ml gam tersebut, mengakibatkan dia mengalami batuk yang teruk, kadar degupan jantung tinggi serta tekanan darah yang tidak stabil.

Bayi itu terpaksa ditempatkan di hospital selama 10 hari, bagi membolehkan prosedur bronkoskopi dilakukan untuk mengeluarkan kepingan-kepingan gam yang telah keras dan hampir-hampir menutupi bahagian trakea kanak-kanak malang itu.

Apa yang jelas, bayi itu amat bernasib baik.

2. Bateri butang

bateri butang tertelan

Zaman sekarang nak beli bateri butang terlalu mudah. Pergi saja ke kedai RM2, anda boleh dapat satu papan bateri. Bagaimanapun, kemudahan itu juga membuatkan kita ambil lewa kaedah penjagaan dan simpanan bateri yang ada.

Sesuatu yang tidak ramai sedar - seandainya bateri butang ini ditelan, bahagian organ dalaman seseorang mampu mengalami kerosakan kekal.

Ini berpunca daripada tindak balas bateri yang akan membakar bahagian esofagus kanak-kanak dalam masa 2 jam selepas ditelan; mengakibatkan lecur dalaman, pendarahan dan mungkin juga kematian berlaku pada mangsa.

Sekiranya anda mempunyai alat elektronik yang memerlukan penggunaan bateri jenis ini, pastikan cara simpanan anda sesuai. Jika anak-anak anda mempunyai permainan atau buku yang menggunakan bateri butang, pastikan mereka tidak mempunyai akses mudah untuk membukanya.

3. Magnet

kanak kanak tertelan magnet

Risiko bahaya tertelan magnet merupakan satu perkara yang semua ibu bapa perlu tahu. Ini kerana magnet merupakan salah satu bahan utama yang mudah didapati dalam permainan kanak-kanak.

Masalah utama yang cukup ditakuti pakar perubatan adalah apabila ada kanak-kanak yang tertelan dua biji magnet atau lebih.

Apa yang cukup dibimbangi, seandainya magnet-magnet itu dapat bertemu dalam badan mangsa, tisu-tisu dalam badan khasnya dibahagian usus akan mula 'terkepit' di antara celahan dua magnet.

Apabila tisu mula terganggu, bekalan darah yang sepatutnya lancar akan mula diganggu. Ini akan menyebabkan simptom yang dinamakan sebagai perforasi berlaku di bahagian dinding usus, yang boleh membawa kepada beberapa simptom lebih teruk seperti jangkitan, sekatan dan sepsis atau keracunan darah.

4. Bidai tingkap

bidai tingkap boleh sebabkan kematian anak kecil budak

Tahukah anda bidai tingkap merupakan satu peralatan rumah yang mampu mengakibatkan kematian kanak-kanak?

Wujud bermacam kes kecederaan dan kematian disebabkan bidai tingkap, majoritinya disebabkan oleh tali yang dipasang bagi mengawal bukaan bidai.

Walaupun secara statistiknya jumlah kes kematian akibat bidai tingkap ini tidak lah tinggi tetapi peratusan kemungkinan kes terjerut sehingga mengakibatkan kematian agak tinggi; 2/3 daripada kes-kes kanak-kanak yang terjerut bidai tingkap membawa kepada kematian mengejut.

Selain kematian, jerutan tali yang juga membawa kepada kecederaan pada bahagian leher kanak-kanak. Apa yang sangat-sangat menakutkan, kes-kes sebegini kebiasaannya berlaku selepas ibu bapa meninggalkan anak yang sudah tidur.

Dalam sebuah kes tahun 2017, seorang ibu menganggap dia sudah selesai menidurkan anaknya yang baru berusia 3 tahun, sebelum anaknya bangkit selepas itu sendirian cuba memanjat tingkap untuk memandang keluar.

Tali bidai yang tergantung menjerut kanak-kanak malang itu menghalang pernafasan, seterusnya mengakibatkan kematian berlaku tanpa ibu dan bapanya sedar apa yang sedang anak mereka lalui.

5. Pengecaj telefon

pengecas telefon renjatan elektrik kematian anak kecil kanak budak

Perlumbaan pengeluar yang mahu menjadikan telefon pintar keluaran mereka sebagai telefon paling cepat dicajkan, membawa kepada risiko besar bukan saja kepada kanak-kanak malahan kita semua.

Semakin hari kadar elektrik yang disalurkan oleh pengecaj telefon semakin tinggi sehinggakan kita sendiri tidak menyedari risikonya.

Pengecaj sekarang mampu menyalurkan sehingga 4A ke 5A (unit Ampere) untuk mempercepatkan proses, sedangkan tubuh kita tidak mampu menahan renjatan pada kadar 100 ke 200 mA (miliAmpere).

Dalam kisah seorang kanak-kanak yang ingin meniru gaya ibunya mengecaj telefon, kanak-kanak itu secara tidak sengaja menyambungkan bahagian kepala yang biasanya masuk ke badan telefon ke suis plag - mengakibatkan percikan api serta renjatan berlaku melambungkan kanak-kanak itu beberapa kaki dari plag.

Dikejarkan ke hospital, pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu nasib baiklah mendapati dia selamat. Terdapat kesan lecuran hitam ditangannya akibat letupan kecil itu.

Dalam kisah lebih tragis, seorang kanak-kanak dilaporkan mati selepas dia memasukkan bahagian sambungan pengecaj telefon ke mulut dengan litar sambungan pula sedang aktif.

Nasihat kami - berhati-hatilah dengan barangan sekeliling anda. Seperti kata pepatah kita; geruh tak berbunyi, malang tak berbau. Tak rugi untuk kita lebih peka dan membuang perangai ambil mudah perkara di sekeliling kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)