Pihak Warner Bros dan DC telah pun mengesahkan secara rasminya akan berlaku penukaran aktor yang bakal melakonkan watak Bruce Wayne/Batman dalam filem akan datang. Rancangan untuk menerbitkan filem 'The Batman' lakonan Ben Affleck kini diubah - dengan jalan kisahnya akan berkisar kepada zaman muda Batman.

Manakala aktor yang bakal memegang watak Caped Crusader terbaru, adalah Robert Pattinson. Jika anda tidak mengenali beliau, Pattinson adalah pelakon dalam filem The Rover, Good Time dan antara filem seram terbaik 2019 iaitu 'The Lighthouse.' Bagaimanapun, dia lebih dikenali sebagai lelaki pontianak yang bersinar apabila terkena cahaya matahari dalam trilogi filem remaja 'Twilight.'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah dia pilihan yang baik? Kita belum tahu. Apa yang kita tahu, sudah ramai aktor telah pun dipertanggungjawabkan membawa watak ikonik ini ke layar perak. Siapa yang terbaik dan siapa yang paling teruk? Berikut adalah lima aktor lelaki yang membawakan watak Caped Crusader daripada yang paling teruk kepada yang terbaik.

5. George Clooney (Batman & Robin)

george clooney bruce wayne batman

George Clooney merupakan seorang aktor dan pengarah handal. Itu kami tak nafikan. Bagaimanapun, pilihan dia sebagai Batman? Urgh! Seperti ada sesuatu yang sangat cacat, bukan saja tentang pemilihan dia sebagai Bruce Wayne tetapi dengan keseluruhan filem Batman & Robin.

Sukar untuk kami kategorikan filem tersebut patut diletak dalam genre apa - komedi, aksi, soap opera, drama? Sudahlah skrip filemnya sangat lemah, Clooney juga dilihat kurang serius dalam melakonkan wataknya. Mungkin kerana dia sendiri menyedari betapa teruknya lakon layar filem tersebut. Dikritik ramai daripada segi lakonan, George Clooney dan Chris O'Donnel yang memegang watak Robin juga dinamakan sebagai 'pasangan paling teruk dalam filem' pada tahun 1997. Sut yang dipakai juga, mempunyai puting. Sut Batman mempunyai puting!

4. Val Kilmer (Batman Forever)

val kilmer batman

Mempunyai jalan cerita yang lebih baik berbanding filem sambungannya, Batman Forever masih layak dikatakan sebuah filem yang lemah. Tidak ada apa-apa yang diingati daripada filem ini kerana filem ini agak mendatar jalan ceritanya. Aktor Val Kilmer juga tidak menyerlah dan kurang meyakinkan sebagai Bruce Wayne.

Bagi penulis, dua filem ini iaitu Batman Forever dan Batman & Robin merupakan dua buah filem Batman yang gagal mengenalpasti apakah sebenarnya fokus pada watak Batman yang perlu ditonjolkan. Malangnya, filem ini lebih diingati kerana runut bunyinya yang menampilkan dua lagu popular - 'Hold Me, Thrill Me, Kiss Me, Kill Me' oleh kumpulan U2 dan video klip popular lagu 'Kiss By A Rose' dendangan Seal.

3. Ben Affleck (Dawn of Justice, Justice League)

ben affleck batman

Walaupun kami meletakkan Ben Affleck pada nombor 3, kualiti yang ditonjolkan oleh beliau dalam menyarung sut Batman jauh lebih tinggi berbanding Val Kilmer dan George Clooney. Namun antara ketiga-tiga orang aktor terbaik Batman, beliau lah yang paling lemah. Ini kerana wataknya digarap seakan-akan seorang yang gemarkan keganasan, banyak bercakap serta kurang serius semasa menjadi Batman.

Aktor Ben Affleck telah melakukan sebaik mungkin dengan skrip yang agak lemah, apatah lagi apabila berlaku perubahan tona watak yang sangat berbeza di antara Batman di dalam Dawn of Justice dengan watak serupa dalam Justice League. Jika kita bandingkan kedua-dua filem, nyata Batman 'Dawn of Justice' lebih cool malahan berjaya mengalahkan Superman - tetapi watak tersebut tetap akan diingati sampai bila-bila kerana adegan dialog 'Martha.'

2. Michael Keaton (Batman, Batman Returns)

val kilmer batman forever

Michael Keaton meletakkan penanda aras yang cukup tinggi dalam membawakan watak Batman. Dikritik pada awalnya sebagai pilihan yang kurang sesuai membawa watak jutawan tersebut, pengkritik akhirnya terpaksa mengakui pemilihan beliau sebagai satu langkah yang tepat. Filem yang menggabungkan dua aktor terkenal, Keaton serta Jack Nicholson yang menjadi musuh ketatnya Joker berjaya membawakan dimensi baru pada watak Batman.

Dua filem ini dipuji kerana mengambil pendekatan lebih serius, serta berjaya memaparkan kesan psikologi yang sentiasa menghantui Bruce Wayne ekoran tragedi yang menimpanya, semasa muda. Walaupun ada perubahan dilakukan pada jalan ceritanya, berbanding komik - dua filem ini menjadi acuan yang sangat penting dalam memulakan genre adiwira dalam industri filem Hollywood.

1. Christian Bale (trilogi Dark Knight)

christian bale batman

Sejak awal dinamakan sebagai Bruce Wayne, aktor Christian Bale memang menepati apa yang dimahukan dalam membentuk watak tersebut. Digarap dengan baik oleh Christopher Nolan dalam bentuk trilogi, 3 filem ini akhirnya mengubah pandangan orang ramai berkenaan filem adiwira yang lebih realistik, membantu memperkenalkan Batman kepada era lebih moden.

Walaupun banyak pihak mencipta parodi ekoran suara Batman yang digunakan dalam filem ini, tidak banyak cacat cela yang ada dalam ketiga-tiga filem ini kerana kesemuanya berjaya memaparkan watak Batman dengan berkesan, dibantu dengan watak penjahat yang setaraf dengannya seperti Bane, Ras al-Ghul, Talia al-Ghul dan sudah pastilah watak Joker yang sangat-sangat meninggalkan kesan pada penonton.

Di mana Robert Pattinson bakal diletakkan dalam senarai ini? Kita tunggu 2021. Jangan nombor enam sudahlah. Tak suka senarai kami kerana anda peminat Marvel? Anda tentu suka artikel ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)