Sejak karakter Batman dicipta pada tahun 1939, ia menjadi salah satu ikon superhero yang paling popular sepanjang zaman. Watak Bruce Wayne berkembang dengan penuh misteri lantaran kisah kehidupannya sejak zaman kanak-kanak yang penuh kesedihan akibat melihat sendiri kedua-dua ibu bapanya dibunuh.

Sejak kecil, Bruce Wayne dijaga oleh butler setia bernama Alfred Pennyworth dan dengan teknologi serta kekayaan yang ditinggalkan keluarganya melalui Wayne Industries, Bruce mempunyai akses kepada gajet paling cool dan inovasi teknologi hebat yang boleh menumpaskan penjahat seperti Scarecrow, Joker dan Bane.

BESARKAN TEKS     A-  A+

bruce wayne dan alfred

Mari kita lihat sama ada gajet-gajet Batman ini boleh wujud dalam dunia sebenar. Manalah tahu, anda pun boleh berangan nak jadi macam Batman.

#1 Batman Suit

Sut Batman mempunyai fungsi yang berlipat ganda. Selain melindungi dirinya daripada serangan pihak lawan, sut ini juga menyembunyikan identiti sebenar Bruce sebagai pemilik Wayne Industries. Sut ini juga bertujuan untuk menakutkan penjenayah dan menghantui mereka sepanjang hidup.

Sut kalis pelbagai bahan ini dibina dengan sistem pertahanan Armor yang dibuat menggunakan polimer dipanggil Nomex dan mempunyai lapisan Kevlar dwi-jalinan yang boleh menahan tusukan pisau dan peluru dari pelbagai senjata.

sut batman

Akhir sekali, sut ini disaluti oleh material getah lateks hitam untuk merendahkan suhu badan, sekaligus membolehkan Batman sukar dikesan menggunakan alatan night vision. "Pisau" tajam di bahagian tepi sarung tangan boleh ditarik dan ditembak dengan pelancar.

Walaupun semuanya kedengaran mustahil, namun teknologi ini sudah wujud dalam dunia hari ini dan boleh benar-benar direalisasikan. Kalau anda ada banyak duit, tak ada masalah. Semua pun boleh!

#2 Grapple Gun

Bayangkan anda sedang melawan penjahat. Tiba-tiba makin ramai kumpulan penjahat yang datang dan mengatasi kekuatan anda. Anda hanya perlu melarikan diri dengan pantas menggunakan grapple gun ini dan terus hilang bersama keheningan malam.

Senjata melempar tali ini menggunakan cangkuk pengapit kuat yang dipasangkan pada wayar dengan kekuatan tegangan tinggi untuk melepasi mana-mana ruang dengan mudah. Tali senjata ini didorong keluar menggunakan udara tumpat dan pencangkuk besi magnetik di hadapan senjata kemudian akan dilepaskan dengan laju.

grapple gun batman selamatkan diri

Walau bagaimanapun, gajet ini mungkin agak sukar dicipta dalam kehidupan sebenar. Saintis perlu terlebih dahulu merekacipta tali wayar yang sangat nipis dengan ketumpatan tinggi untuk dimuatkan ke dalam peranti yang kecil ini. Walaupun pencangkuk besi sudah memang lama wujud, namun kadar kelajuan mengangkat Batman dalam filem itu adalah terlalu laju. Senjata lempar tali yang wujud pada hari ini mungkin hanya mampu mengangkat anda perlahan-lahan, sama seperti memanjat secara biasa. Buat kena gelak dengan penjahat je.

#3 Bat Sonar

Dalam filem The Dark Knight, pengarah Christopher Nolan menambahkan satu ciri terbaru pada sut Batman untuk meniru kuasa gema lokasi seekor kelawar. Batman menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi yang dipancarkan untuk mengelak halangan, mendapatkan gambaran keseluruhan lokasi penjahat ataupun mendapatkan pelan bangunan secara masa nyata.

Dalam wayang, Batman menggunakan rekaan inovatif Lucius Fox yang dinamakan teknologi SONAR untuk menukar kesemua telefon bimbit di Gotham sebagai radio pemancar. Siaran langsung dari telefon bimbit inilah yang memberikan Batman imej maya tentang keadaan semasa.

teknologi sonar batman

Sekumpulan penyelidik dari Swiss Federal Institute of Technology di Lausanne, Switzerland telah menggunakan algoritma lanjutan dan beberapa mikrofon untuk memetakan dimensi sebuah kawasan tertutup dengan mengukur tindak balas "gerak hati bilik". Gelombang bunyi dari pembesar suara dipantulkan ke siling, dinding dan perabot untuk mendapatkan "imej" tepat sebuah bilik. Walaupun kajian ini berjaya dibuat menggunakan pembesar suara, namun penggunaan telefon untuk mengeluarkan frekuensi serupa adalah imaginasi Christopher Nolan semata-mata. Lagipun, bayangkanlah apa akan terjadi kepada bateri telefon anda. Sekejap-sekejap je habis.

batman tumbler kereta canggih

#4 The Tumbler

Siapa yang tak suka Tumbler ni? Inilah kereta luar biasa Batman yang menjadi idaman semua orang. Ada rupa seakan-akan kereta kebal dan pergerakan yang dikuasakan dengan enjin jet. Walaupun tak berapa selamat untuk digunakan dalam dunia nyata, namun sebuah syarikat ketenteraan British sudahpun mereka satu prototaip kereta kebal seakan-akan Tumbler.

prototaip kereta kebal seperti tumbler batman

Batpod yang dipasangkan dalam Tumbler juga mempunyai teknologi yang sudah ada pada hari ini. Apa yang membezakan "superbike" Batman dengan motosikal lain adalah teknologi enjin dalam roda yang tidak banyak diusahakan oleh pengeluar kenderaan. Selain itu senjata-senjata di sekeliling Batpod juga sudah wujud secara teori pada hari ini. Cuma ia memerlukan juruteknik yang sangat handal (dan sedikit gila) untuk memasangnya dengan selamat.

orang biasa main batarang diy

#5 Batarang

Bumerang yang dibentuk seperti seekor kelawar ini telahpun cuba dibuat oleh beberapa tukang mahir. Walau bagaimanapun, sisi tajamnya memungkinkan ia sangat bahaya untuk ditangkap kembali. Melainkanlah anda memang mahir bermain bumerang ataupun anda merupakan seorang Batman, jangan sesekali cuba membuat atau menangkap Batarang buatan sendiri ya.

bruce wayne buat batarang sendiri

Walaupun Batman tak ada kuasa luar biasa macam Superman atau Spiderman, namun Batman masih menjadi salah satu hero kegemaran semua orang dengan teknologi gajetnya yang canggih belaka. Ada juga gajet lain seperti The Cape, The Bat dan Senapang EMP yang tak dinyatakan di sini.

batman tak ada superpower

Anda paling suka gajet Batman yang mana satu?




Hakcipta iluminasi.com (2017)