Oleh pada 29 Apr 2024 kategori

Satu ketika dulu, adaptasi francais permainan video popular untuk diadaptasi ke dalam bentuk filem atau siri televisyen biasanya berakhir dengan kegagalan yang teruk.

Banyak faktor menyumbang kepada hasil yang negatif, seperti kegagalan penerbit dan pengarah memahami intipati asal francais, elemen penceritaan yang terlalu jauh menyimpang daripada kisah dan rekaan asal atau lebih parah, adaptasi yang terhasil memang dibuat sekadar asal boleh kerana dilihat sebagai peluang buat duit yang mudah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun trend ini telah bertukar, dengan penerbitan banyak kandungan berasaskan permainan video yang bukan saja semakin jitu hasilnya - bahkan berjaya mengolah dan memperkembangkan dunia yang sebelum itu hanya dalam bentuk maya, ke dalam format berbeza yang menghiburkan serta diterima baik.

Berikut adalah 5 adaptasi paling berjaya setakat ini, yang berasal daripada permainan video terkenal di seluruh dunia.

1. The Last of Us

last of us videogame adaptation

Impak siri 'The Last of Us' kepada industri permainan video, merupakan satu letupan besar yang mengubah bagaimana medium tersebut mampu menjadi kaedah penceritaan dan sinematik berkesan.

Membawakan watak seorang lelaki penghantar barangan yang harus menyerahkan seorang remaja wanita ke sebuah lokasi dalam dunia yang telah musnah akibat jangkitan kulat, pengembaraan mereka berdua mengharungi hiruk pikuk keruntuhan tamadun manusia akhirnya mengubah lelaki tersebut untuk melihat dirinya kembali sebagai seorang bapa.

Pemilihan pelakon popular Pedro Pascal (Wonder Woman 1984) yang bergandingan dengan Bella Ramsey, sangat berjaya mencerminkan rasa gementar dan jalinan kasih sayang yang terjalin; menjadi penggerak utama jalan cerita yang boleh dikatakan salin sebiji-sebiji apa yang terjadi dalam permainan videonya.

Satu peringatan, abaikan episod yang menjadikan hubungan songsang sebagai temanya kerana episod tersebut memang sukar untuk dihadam mana-mana manusia normal.

2. Fallout

fallout siri permainan video adaptasi

Sebagai seseorang yang membesar dengan siri Fallout sejak era komputer 90-an, penantian untuk menyaksikan siri ini diterjemahkan ke dalam bentuk drama atau filem adalah satu penantian panjang.

Francais ini yang berlatarbelakangkan bagaimana Amerika Syarikat akan berubah sekiranya perang nuklear terjadi dalam era 50-an, memang mempunyai unsur-unsur sinematik yang kukuh sejak mula diperkenalkan.

Jalan ceritanya yang aneh, lucu, menakutkan dan mengasyikkan dari satu keluaran ke satu keluaran, merupakan pengalaman yang perlu anda rasai sendiri. Tidak menghairankan siri TV 8 episod yang menggunakan judul sama mendapat sambutan hangat, kerana hasilnya jelas benar-benar menghayati apa yang sangat unik tentang 'Fallout.'

Setiap episod siri TV ini penuh dengan situasi dan suasana yang telah pun dilalui pemain permainan videonya dimana watak utama siri diletakkan dalam situasi tertentu dan bagaimana mereka bereaksi, akan menghasilkan keputusan yang sukar dijangka hasilnya; menentukan hidup dan mati mereka yang cuba bertahan dalam dunia yang sudah hancur dibaham kerakusan manusia.

3. Sonic the Hedgehog

adaptasi permainan video berjaya

Pada awal pengumuman, penulis memang merasakan projek ini agak aneh. Berbeza dengan seteru utamanya iaitu siri Mario Bros, siri Sonic nyata jauh lebih sukar untuk diterjemahkan ke dalam bentuk filem...apatah lagi filem versi dunia nyata.

Namun nyata jangkaan penulis meleset. Penerbitan filem ini bukan saja telah berjaya menterjemahkan intipati siri Sonic the Hedgehog ke dalam versi filem dengan berkesan, malahan mereka telah berjaya menjadikan siri ini sebuah francais gergasi.

Pemilihan pelakon yang berkesan dengan watak dimainkan Jim Carrey berjaya mencuri perhatian, kejayaan francais ini ditukar kepada sebuah filem memang harus dikatakan mengejutkan semua pihak - kerana kesemua watak utamanya agak unik dan berbeza jika dibandingkan dengan francais lain.

4. Tomb Raider

tomb raider filem adqptasi

Kami meletakkan judul ini, bukan kerana siri filem Tomb Raider yang menampilkan Angelina Jolie dekad 90-an dahulu - tetapi disebabkan versi filem ini yang terbit dalam tahun 2018 menampilkan Alicia Vikander sebagai pemain watak utama.

Dua versi filem ini berbeza, kerana zamannya berubah. Versi Jolie nyata lebih diseksualkan, mirip dengan versi awal permainan videonya. Manakala filem versi Vikander pula lebih realistik, keras dan watak 'Lara Croft' yang dimainkan pun tampak lebih berpijak di bumi nyata.

Perubahan ini berjaya kerana filem ini jelas disadur daripada trilogi 'Tomb Raider' yang sangat cemerlang hasilnya, meletakkan Croft dalam situasi yang sukar berhadapan dengan dunia yang tidak segan mahu membahamnya - mengubah watak yang pernah bergelar simbol seks terulung dekad 90-an, sebagai seorang perempuan yang cekal, tabah dan berani.

5. Mortal Kombat

mortal kombat adaptasi berjaya

Tak sah untuk kita membicarakan adaptasi permainan video yang berjaya, tanpa menyebut impak yang dibawa siri filem 'Mortal Kombat' kepada industri. Sehingga ke hari ini, walaupun hanya 3 buah filem dunia nyata diterbitkan - apa yang telah disajikan berjaya diterima baik peminat siri permainan video yang agak ganas dan ekstrim ini.

Kejayaan siri filem ini jelas banyak dibantu latar belakang, sejarah dan watak-watak fiksyen yang telah dibangunkan dengan teliti oleh pengasas judul permainan video ini; yang nyata mantap membangunkan sebuah dunia kepahlawanan unik dan lain daripada lain.

Setiap seorang watak biarpun watak picisan sekalipun, diberikan kedalaman fiksyen yang baik dengan setiap watak mempunyai matlamat dan hala tuju tersendiri, tidak terikat dengan konvensyen tradisional 'baik lawan jahat' yang sering dijadikan tema utama siri-siri lain.

Pembangunan dunia yang baik disokong skrip yang lancar menjadikan siri filem 'Mortal Kombat' sebagai siri utama berjaya memecah pandangan masyarakat, yang sebelum itu sinis dengan filem atau drama berasaskan permainan video.

Sama ada anda minat dua filem awal atau filem ketiga yang mengolah semula penceritaan dalam konsep lebih moden, jika anda minat Mortal Kombat...kami yakin anda akan enjoy menonton mana-mana filemnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)