Perancangan bandar memerlukan penelitian dalam merekabentuk setiap parcel atau lot tanah, dengan penekanan diberikan terhadap aspek pembangunan, keselamatan, kebolehan untuk dikembangkan dan sebagainya.

Sesebuah bandar direka bentuk untuk memaksimakan penggunaan tanah yang ada sebaik mungkin dan berdasarkan tujuan itu, faktor keluasan tanah memainkan peranan yang sangat besar dalam membolehkan sesebuah bandar dibangunkan dengan berkesan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi bagaimana pula dengan perancangan bandar di kawasan yang jarang dipilih untuk dijadikan bandar? Sesebuah negara jarang akan membangunkan bandar di kawasan yang terpencil kerana kekangan logistiknya.

Oleh sebab itulah bandar Yanjin yang terletak di Yunnan, China unik berbanding majoriti bandar-bandar lain di dunia; kedudukannya dan rekabentuknya memang luar daripada biasa.

Bandar paling sempit di dunia

yanjin bandar sempit di china 02

Bandar Yanjin merupakan sebuah bandar yang mempunyai populasi sekitar 450,000 orang penduduk.

Untuk perbandingan, Kota Kinabalu di Sabah mempunyai jumlah populasi sekitar 462,900 orang dan Kuantan di Pahang pula dianggarkan menempatkan 427,500 penduduk di dalamnya. 

Kenapa angka ini perlu disebutkan perbandingannya?

Ini kerana Yanjin merupakan sebuah bandar yang direka di kawasan pergunungan yang 'mengurung' bandar itu dan di tengah-tengah bandar itu pula, lalu sebatang sungai besar dinamakan Sungai Heng.

Yanjin dibina disepanjang kaki gunung, dipisahkan kepada dua bahagian sepanjang sungai itu. Dua bahagian bandar yang terpisah, dihubungkan melalui beberapa jambatan yang dikongsi bersama-sama.

Oleh kerana rekabentuknya unik, Yanjin dikenali sebagai bandar paling sempit di dunia dengan kawasan paling sempit yang memisahkan kedua-dua zon bandar ini, hanya mempunyai kelebaran 30 meter.

Kenapa Yanjin di bina?

yanjin bandar sempit di china enh70

Sekiranya kita melihat gambar bandar Yanjin, pasti ramai akan mempertikaikan kesahihannya. Yanjin memang tak sama seperti bandar-bandar biasa yang kita lihat.

Kekurangan jumlah jambatan yang menghubungkan dua zon bandar terpisah menyebabkan kegiatan ekonomi di sana perlahan. Situasi ini diburukkan lagi dengan kesukaran jalan akses untuk hadir ke sana.

Yanjin memang dikelilingi kawasan pergunungan dan dibina pada kedudukan agak tinggi dan untuk sampai ke sana pun, merupakan satu cabaran besar. 

visual dron bandar yanjin china

Namun penduduk Yanjin memilih untuk terus mendiami kawasan itu kerana merasakan corak hidup mereka sudah biasa dengan susah payah yang timbul.

Nenek moyang awal penduduk di Yanjin pada asalnya hadir sebagai pekerja bagi mengusahakan ratusan telaga garam yang dibuka di sana. 

Diisytihar sebagai sebuah perbandaran pada tahun 1917, penduduk Yanjin menjadikan feri sebagai mod pengangkutan utama. Feri jugalah menjadi kenderaan pengangkut garam yang telah siap diproses untuk dieksport.

Oleh kerana itulah nama 'Yanjin' yang dipilih merujuk kepada kenderaan itu; 'feri pengangkut garam.'

Bangunan yang perlu direka tinggi 

bangunan di yanjin china cerucuk

Macam kurang meyakinkan cerucuk yang dibina

Disebabkan kedudukannya yang betul-betul berada di tepi sungai serta terletak di kawasan pergunungan, Yanjin berdepan masalah banjir sejak sekian lama. 

Oleh kerana usaha mengatasi masalah banjir sukar dijalankan akibat kekangan logistik serta kos yang tinggi, sistem perbandaran di Yanjin mengamalkan satu solusi mudah bagi menangani risiko kediaman dan bangunan di sana ditenggelami air.

Bangunan-bangunan di sana akan dibina di atas cerucuk konkrit yang sengaja ditambahkan ketinggiannya, menaikkan ketinggian setiap bangunan yang bakal dibina kira-kira 6 tingkat dari aras sebenar tanah.

Dengan solusi ini setiap kali berlangsungnya banjir sama ada kecil atau besar, kesan kerosakan ke atas harta benda dan nyawa orang ramai dapat diselia dengan lebih baik.

Selain banjir, duduk di kawasan pergunungan juga mendedahkan penduduk di sana dengan risiko berlakunya tanah runtuh. Setakat ini, bencana runtuhan tanah yang berlaku masih dalam keadaan terkawal dek kejayaan komuniti di sana memastikan aktiviti penebangan hutan berada pada tahap minima.

yanjin yunan china

Antara jambatan yang menghubungkan kedua-dua bahagian bandar 

Namun kita tidak tahu berapa lama lagikah Yanjin dapat bertahan.

Bangunan yang ada di sana sudah berada dalam keadaan uzur disebabkan oleh sebab kedudukannya yang terletak di tepi sungai, memberikan kesan besar kepada penyelenggaraan setiap bangunan yang ada.

Banyak pihak sehingga ke hari ini lantang mempersoalkan apakah keperluannya penduduk di sana untuk terus memencilkan diri, menetap di kawasan yang sukar untuk didatangi.

Jawapan kepada soalan ini sukar untuk dijawab. Hanya mereka yang kekal tinggal di sana faham apa yang istimewanya dengan Yanjin.




Hakcipta iluminasi.com (2017)