Kredit foto: Instagram Norman Hakim

Perkongsian video Instagram yang memaparkan aktor Norman Hakim mengiringi anak sulungnya, Mohamed Danish Hakim ke Turki untuk memulakan pengajian hafazan mengundang emosi sebak netizen.

Walaupun dilihat kuat, namun Norman tidak dapat menahan air mata daripada tumpah sewaktu memeluk anak remajanya di lapangan terbang. 

Video rakaman oleh Abby Abadi itu disunting menggunakan lagu Bayang (Khai Bahar) sebagai muzik latar.

Menerusi kapsyen, Norman berkongsi perasaan yang dialami ketika melepaskan Danish, 15, ke perantauan.

video norman hakim menangis jadi tumpuan 2

Kredit foto: Instagram Norman Hakim

"Selama bertahun saya yg selalu pujuk dia. Dari saat dia masuk asrama untuk memulakan pengajian hafazan, saat tiap kali hantar balik ke asrama bila dia sedih, bahu saya tempat dia bersandar untuk meluahkan rasa dan air mata," tulisnya.

Tidak disangka pelakon filem Idola ini pula yang tunduk kepada emosi mengenangkan anak bujang yang bakal meneroka kehidupan baru. 

"Tapi hari ini dalam sejarah, semuanya jadi terbalik. Saya yang longlai kat bahu dia. Ber'tan' air mata jatuh sampai basah baju dia.

"Emosi saya berbolak balik terutama seminggu sebelum sampai ke hari ni. Hari jadi hening. Cuaca terik pun jadi bening

"Baru saya sedar dia lagi 'kuat' dari saya. Anak ini dah bersedia untuk 'menakluk akhirat' di dunia yang sementara.

"Fizikal mungkin sama, tapi jiwa dan mental dia lagi kental kuat berganda sebab kelebihan dia, Al-Quran dah ada dalam dada. Dia dah tak takut apa kecuali yg Maha Esa.

"Ampun maaf abang, rupanya papa tak 'sekuat' yang disangka. Semoga Allah ampunkan khilaf papa ini," tulis Norman.

Rata-rata netizen menerusi ruangan komen kagum dengan semangat dan kasih sayang yang dipupuk dalam hubungan kekeluargaan itu.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)