Oleh pada 20 Apr 2017 kategori

tips menangani kes kereta kena sondol dari belakang

Gambar sekadar hiasan


1. Bila anda tahu kereta anda telah dilanggar dari belakang, jangan panik dan bawa bertenang. Ingat, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.


2. Berhentikan kereta anda di tepi jalan di kawasan yang lapang dan selamat. Jika tidak, sudah tentunya kesesakan lalulintas akan berlaku disebabkan kereta anda 'tersadai' di tengah-tengah jalan.


3. Pastikan pemandu yang melanggar kereta anda itu turut memberhentikan kenderaannya. Selepas itu, segeralah ambil telefon pintar anda untuk mengambil gambar plat dan cukai jalan kenderaan tersebut.


4. Setelah pemandu kenderaan tersebut keluar daripada kenderaannya, jangan terus memarahi atau memaki hamun macam orang hilang akal. Sebaliknya, tunjuklah rasa hormat dengan bersalam atau menyapanya dengan cara baik.


5. Mulakan perbualan anda dengan bertanyakan kepada pesalah berkaitan pelanggaran tersebut.


Tips: Kawal nada suara dan kemarahan anda. Jangan sesekali bertengkar atau menyalahkan sesama sendiri kerana ianya bukan sahaja tidak memberi jalan penyelesaian, malah membuang masa pengguna jalan raya lain untuk meleraikan pergaduhan anda.


6. Bertindak profesional dengan meminta dokumen penting seperti kad pengenalan atau lesen memandunya dan sekali lagi keluarkan telefon pintar anda yang canggih itu untuk ambil gambar.


7. Sekiranya si pemandu yang melanggar kereta anda itu masih berkeras atau tidak mengaku bersalah, cara terbaik yang patut anda lakukan ialah dengan tidak memaksa dia mengaku atau bayar wang kepada anda. Sebaliknya, beritahu dia bahawa mengikut undang-undang sekiranya sesuatu kenderaan melanggar kenderaan yang lain daripada belakang, kecuaian adalah disebabkan oleh kenderaan yang melanggar itu.


8. Jika dia mengaku bersalah, mintalah dengan cara baik untuk dia menanggung kos pembaikan kereta anda yang telah rosak.


Tips: Jangan minta wang daripadanya. Ajak orang yang melanggar kereta anda itu pergi ke bengkel yang anda biasa berurusan untuk menilai kos membaiki kerosakan kereta anda. Cuba sebaik mungkin untuk terus pergi pada masa itu juga. Jangan bertangguh walaupun anda ada urusan lain. Segera selesaikan perkara tersebut dan anda boleh teruskan urusan anda yang lain.


9. Jangan lupa untuk ambil nombor telefon atau kad bisnesnya supaya mudah untuk anda menghubunginya nanti.


10. Andai dia masih berkeras tidak mengaku bersalah dan tidak mahu menanggung kos pembaikan kereta anda, jangan naik angin atau melakukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah. Biarkan dia pergi kerana anda telah mendapat segala info berkenaan dirinya dan kenderaan yang dipandunya.


11. Dengan maklumat yang telah anda peroleh, segera buat laporan polis di balai polis yang berhampiran.


12. Berbekalkan laporan polis tadi, pergi ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lakukan carian kenderaan untuk mengetahui syarikat insurans kenderaan yang melanggar kereta anda tadi.


13. Selepas itu, terus pergi ke bengkel panel syarikat insurans tersebut dan minta mereka uruskan third party claim untuk membaiki kerosakan kereta anda.


Penulisan asal : azharskyfeelauto


tags : , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)