'Teflon' merupakan nama pemasaran yang diguna bagi merujuk bahan salutan perkakasan memasak digunakan di seluruh dunia. 

Meskipun terkenal, tidak ramai menyedari sejarah bagaimana bahan ini boleh tercipta, selain risiko besar penggunaannya kepada kesihatan yang boleh wujud akibat  penggunaannya dalam masakan.

Tak pernah tahu risikonya? Mari kari kita pelajari serba-sedikit sejarah bahan teflon, bagaimana ia jadi popular serta risiko besar yang boleh menimpa anda yang dah dibuktikan.... cuma tidak ramai yang peka terhadap bahayanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hasil penemuan secara tidak sengaja

pencipta teflon plunkett

Teflon ditemui pada tahun 1938 oleh seorang ahli kimia bernama Roy Plunkett, ketika dia sedang dalam penyelidikan bagi mencipta bahan penyejuk berasaskan chlorofluorocarbon (CFC) untuk kegunaan mesin sejuk beku.

Ketika itu Plunkett berkhidmat dibawah syarikat bernama E.I. du Pont de Nemours and Company atau lebih terkenal sebagai DuPont. Bahan hasil sebatian kimia yang ditemui secara tidak sengaja oleh Plunkett mempunyai beberapa sifat unik; tidak melekat, tahan haba serta tidak mudah bertindak balas terhadap bahan kimia lain.

Selepas diuji, bahan yang terhasil itu dikenalpasti mampu tahan haba sehingga 260 darjah Celsius, menjadikannya tidak mudah cair.

Plunkett memperkenalkan bahan ini kepada pengurusan DuPont pada tahun 1941, menamakan bahan ini dengan nama strukturnya polytetrafluoroethylene (PTFE) dan DuPont memperkenalkan nama komersialnya; dijenamakan sebagai Teflon.

Teflon pada peringkat awalnya diperkenalkan untuk kegunaan pihak tentera semasa Perang Dunia ke 2, menjadi penyadur yang melindungi komponen radar dan senjata, untuk tujuan memperkuatkannya. Setelah tamat era perang, DuPont memperkembangkan aplikasi Teflon ke dalam sektor produk rumah dan industri.

Menjelang dekad 1960-an, Teflon mula dipasarkan sebagai bahan anti lekat pada peralatan memasak yang menjadi tarikan utama keistimewaan bahan tersebut.

Disayangi suri rumah 

iklan teflon lama

Pengaplikasian Teflon pada peralatan memasak mempopularkannya kerana salutannya memudahkan proses memasak, tanpa tukangnya perlu bimbang apa yang dimasak melekat pada kuali.

Teflon juga menjadikan proses membersihkan peralatan mudah, tidak perlu mengambil masa panjang untuk seseorang membuang sisa masakan.

Selepas beberapa dekad berlalu, hanya selepas era milenium muncul beberapa kes kecil yang kurang mendapat liputan berkenaan kebimbangan orang ramai terhadap kesan penggunaan Teflon serta kesannya kepada tahap kesihatan individu.

Ini kerana wujud kes melaporkan apabila Teflon dipanaskan melebihi takat maksimanya, struktur kimianya berpecah sehingga bahan yang dikhuatiri beracun dalam bentuk gas yang membahayakan kesihatan manusia.

Gas ini dikenali sebagai perfluoroktanoat (PFOA), merupakan sejenis bahan berasid yang dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan menyumbang kepada kanser, kerosakan hati dan masalah reproduksi.

Apa yang menakutkan, laporan berkenaan isu ini sebenarnya sudah pun diperolehi DuPont sejak tahun 1968 namun mereka tidak mendedahkannya kepada umum.

Tembelang mereka pecah selepas DuPont melebarkan penghasilannya, dengan membuka beberapa kilang pemprosesan di kawasan seperti Washington dan Virginia Barat. 

Hasil buangan kilang itu dilupus ke beberapa tapak pelupusan yang dikawal rapi, meresap ke dalam tanah dan mencemari sumber air yang ada di kawasan sekitarnya.

Kemunculan peguam yang membongkar segalanya

robert bilott peguam teflon pfoa

Pada tahun 1998, salah seorang petani di Virginia Barat yang sudah lama makan hati ekoran mendapati ahli keluarganya berdepan masalah kesihatan, meminta bantuan seorang peguam tempatan bernama Robert Bilott.

Bilott diminta membantu menyiasat adakah wujud hubungkait di antara keadaan kesihatan ahli keluarga itu dengan sisa buangan aktiviti yang dijalankan di tapak pelupusan milik DuPont, kerana keadaan mereka berubah selepas pusat itu dibuka.

Bilott menjalankan siasatan dengan bantuan firma guamannya, berjaya menemui hubungan bahan PFOA hasil buangan telah mencemari penduduk-penduduk di sana, mengakibatkan masalah besar kepada penduduk.

Selepas siasatan menyeluruh yang disokong pengakuan ramai saksi, kes ini dibuka di mahkamah, membolehkan Bilott mengakses dokumen dan rekod DuPont berkait isu ini. Tidak ada pilihan, DuPont menyerahkan lebih 11,000 fail yang mendokumenkan semua kes serta laporan penyelidik DuPont.

Semakan ke atas semua dokumen membuktikan syarikat itu telah pun menyedari bahaya bahan kimia yang mereka gunakan bagi menghasilkan Teflon; memilih untuk menutup semua kes disebabkan nilai keuntungan tinggi yang mampu dijana hasil jualannya.

Laporan dalaman DuPont mengesahkan penggunaan Teflon mampu meningkatkan kadar jangkitan kanser testikular, kanser pankreas dan juga kanser hati; bukan saja di kalangan manusia bahkan meliputi haiwan yang tercemar.

Rekod juga menunjukkan DuPont menyembunyikan perkara ini lebih 4 dekad lamanya, tetapi memilih meneruskan projek pelupusan di beberapa kawasan berbeza dalam dekad 80-an bagi menutup helah mereka, biarpun menyedari apa yang mereka lupuskan toksik kepada manusia, makhluk hidup dan juga alam sekitar.

Gila kan?

Kemenangan yang terlewat

syarikat dupont racun teflon

Dibantu bukti kukuh, kes saman yang dikepalai Bilott berjaya mendapatkan pampasan bagi penduduk yang terkesan namun tahap kesihatan mereka sukar untuk dipulihkan.

Selepas mendapati jaringan individu berisiko sebenarnya lebih luas berbanding jangkaan awal, Bilott nekad bertindak untuk membantu setiap orang yang disahkan berisiko menghadapi kanser akibat bahan PFOA daripada air minum, untuk tampil ke depan melakukan saman secara individu.

3 kes awal memberikan kemenangan kepada anak guam Bilott dengan nilai pampasan RM87.35 juta; dengan lebih 3,500 orang individu sedang menunggu kes mereka dibicarakan.

Bimbang kos kerugian yang perlu mereka tanggung terlalu tinggi, DuPont cuba mengambil jalan mudah - menawarkan pampasan  RM2.9 billion untuk keseluruhan individu; mengakibatkan ada yang bersetuju menerimanya.

Ada juga yang berkeras, meneruskan tindakan saman. Percaya tak, sehingga ke hari ini kes saman di antara DuPont kerana mencemarkan sumber air orang ramai masih berlangsung.

Kerajaan tempatan California baru saja mengemukakan saman terhadap tertuduh pada bulan November tahun 2022 atas tuduhan serupa.

Anda masih ada perkakasan dapur teflon?

peralatan tidak lekat teflon

Selepas kerajaan Amerika Syarikat mengharamkan penggunaan bahan ini, kebanyakan pengeluar perkakasan dapur beralih ke salutan baru yang 'selamat' untuk kegunaan, namun perubahan ini tetap tidak dapat menghentikan kebimbangan orang ramai. 

Ini kerana kajian yang dijalankan mendapati bahan kimia yang digunakan bagi menghasilkan produk versi baru ini, sebenarnya mempunyai risiko kanser yang serupa - hanya dalam kadar lebih rendah.

Robert Bilott ketika ini aktif mengendalikan kes orang ramai melawan DuPont.

Konspirasi yang selama ini dirahsiakan kini sedang menjadi masalah besar kerajaan Amerika Syarikat menyelianya, kerana sukar untuk dikenalpasti kawasan manakah yang terjejas akibat pembuangan PFOA secara membuta-tuli.

Pada bulan Mac tahun 2023, Presiden Joe Biden mengumumkan dasar baru bagi memperbaiki tahap pencemaran sumber air yang telah dicemari oleh bahan toksik ini yang dinamakan media Amerika Syarikat sebagai 'bahan kimia abadi' (forever chemicals), ekoran sifatnya yang tidak mungkin terurai.

bucky bailey mangsa teflon

Bucky Bailey -  ibunya bekerja di kilang DuPont semasa mengandungkan beliau.

Dia salah seorang mangsa teflon paling terkenal

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kes ini, tonton filem 'Dark Waters' lakonan Mark Ruffalo yang membongkar konspirasi jahat ini kepada tontonan umum.

Kami yakin jika artikel ini tidak membuatkan anda benci teflon, filem itu akan mengubah pandangan anda kerana selepas melihat sendiri apa kesan bahan beracun itu kepada tubuh manusia.

Persoalannya, masih adakah racun bahaya ini dalam dapur rumah anda?




Hakcipta iluminasi.com (2017)