Oleh pada 10 Sep 2019 kategori

Isu sekolah vernakular sudah lebih 60 tahun terus diperdebatkan menjadi penyebab wujud jurang dan kerenggangan di kalangan ahli masyarakat kita.

Sistem sekolah vernakular juga didakwa menjadi punca utama penyebab ideologi pembangunan nasional yang cuba dibangunkan pemimpin kita sekian lama sejak merdeka gagal dipenuhi.

Banyak pihak percaya sekolah vernakular yang mengasingkan pelajar ke dalam beberapa aliran, menanam sikap tiada toleransi antara satu sama lain; dalam hal berkaitan bangsa dan agama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejak bilakah wujudnya sistem sekolah vernakular dan mengapakah sistem ini diperkenalkan? Benarkah dakwaan pihak tertentu yang anti sistem vernakular?

Pendidikan Tanah Melayu sebelum era British

sedutan filem pendekar bujang lapok

Aliran-aliran pendidikan di negara kita agak huru-hara kerana kita masih mewarisi dan meneruskan sistem yang diperkenalkan British, semasa zaman penjajahan mereka.

Sebelum kedatangan British, pendidikan merupakan satu keistimewaan khas bagi golongan bangsawan namun tidak ada format yang tetap merangka sistem pendidikan di negara kita.

Pendidikan dilihat sebagai kaedah pembelajaran berbentuk informal, mendidik kemahiran-kemahiran hidup seperti bertani, memancing dan berkebun bagi remaja lelaki sementara kaum wanita pula diajarkan kemahiran seperti menjahit dan memasak.

Ilmu-ilmu agama menjadi pilihan sekiranya ada pelajar yang mahu melanjutkan pengajian dan menambahkan pengetahuan, dengan pondok-pondok ditubuhkan menjadi institusi pendidikan secara kecil-kecilan.

Kedatangan penjajah Belanda dan Portugis membuka beberapa buah sekolah bercirikan ajaran Kristian, namun mendapat tentangan penduduk Tanah Melayu yang merasakan kandungan pendidikan yang diajarkan di sekolah-sekolah itu bertentangan dengan ajaran Islam.

Jadi tidak ramai penduduk menyertai sekolah tersebut, menyebabkannya tidak diteruskan.

Melihat apa yang sudah berlaku kepada Belanda dan Portugis yang gagal menambat hati orang tempatan, British merangka strategi yang nyata lebih licik namun berjaya membuatkan penduduk Tanah Melayu mula terbuka untuk menerima sistem pendidikan British.

Kehadiran kaum pendatang membantu British 'menguasai' Tanah Melayu

sekolah tanah melayu zaman dulu

Komposisi masyarakat Tanah Melayu sebelum kedatangan British sebenarnya masih lagi bermajoriti orang Melayu.

Disebabkan oleh kuasa kolonial British, kumpulan pekerja dari China dan India dibawa ke sini sebagai pekerja.

Proses migrasi ini pada awalnya dipercayai hanya bersifat sementara dengan pekerja-pekerja yang hadir dikatakan tidak berminat untuk terus menetap secara kekal di Tanah Melayu.

Bagaimanapun selepas beberapa tahun, ramai kumpulan pekerja yang hadir enggan kembali semula ke negara asal dan ingin terus menetap di sini, membentuk masyarakat majmuk seterusnya mengubah komposisi kaum di Tanah Melayu.

Bagi membantu kumpulan-kumpulan ini dalam bidang pendidikan, British mula membuka sekolah aliran mengikut kaum bagi memastikan pendidikan mereka dan anak-anak mereka tidak ketinggalan.

Pada tahun 1855, sekolah rasmi pertama aliran Melayu di Tanah Melayu dibuka di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan beberapa buah sekolah lagi di Singapura, Teluk Belanga dan Kampung Gelam turut sama dibuka.

Sekitar waktu yang sama sekolah-sekolah khas untuk orang Cina mula dibangunkan oleh komuniti-komuniti Cina yang pada ketika itu sudah mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi, disebabkan peranan mereka sebagai orang kanan British mengelolakan proses perlombongan.

Sekolah bagi komuniti India mula dibuka dengan bantuan British namun kedudukannya terpencil - diletakkan di dalam kawasan estet serta ladang getah bagi membolehkan anak-anak orang India yang hanya tahu berbahasa Tamil mendapat pendidikan sewajarnya.

British lepas tangan dalam isu pendidikan

pelajar dalam sekolah aliran inggeris

Oleh kerana setiap komuniti diasingkan mengikut penggunaan bahasa Ibunda mereka, British memilih untuk tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran sistem pendidikan setiap kaum.

Dengan mengekalkan situasi sebegitu, lebih mudah untuk British terus menjalankan agenda 'pecah dan perintah' yang mereka amalkan.

Hasrat British ketika itu amat jelas - mereka mahu setiap kaum kekal mengamalkan cara hidup mereka ketika itu; Melayu perlu kekal di kawasan pertanian, Cina terus menjalankan aktiviti perlombongan dan perniagaan manakala orang India pula kekal dalam kawasan ladang dan estet.

Jadi British hanya memantau segala aktiviti pendidikan yang ada, membiarkan sukatan mata pelajaran serta pentadbiran setiap sekolah diuruskan sendiri oleh wakil setiap kaum.

Ini bagi mengelakkan sebarang kontroversi atau perbalahan timbul di antara wakil setiap kaum dan kerajaan penjajah British.

Secara ringkasnya - British tidak memperkenalkan sebarang polisi kepada sistem pendidikan, menyebabkan tidak ada langsung sebarang usaha penyatuan sistem pendidikan di Tanah Melayu ketika itu.

Dengan tiada hala tuju yang jelas, setiap kaum terpisah khasnya kaum Cina dan India mengamalkan budaya dan bahasa yang mereka warisi, walaupun sudah beberapa generasi menetap di Tanah Melayu.

Bentuk terawal pendidikan Cina di Tanah Melayu

guru besar dan guru sekolah cina zaman british

Pendidikan bagi masyarakat Cina dikuasai oleh kumpulan-kumpulan Cina yang terlibat dengan aktiviti perlombongan.

Mereka mendapat bantuan dana daripada sistem kongsi serta pertubuhan orang Cina yang bertanggungjawab melantik guru berketurunan Cina, dengan setiap pelajar dikenakan yuran dalam kadar minima.

Walaupun demikian oleh kerana majoriti orang Cina yang hadir ke Tanah Melayu merupakan kumpulan pekerja yang kurang berpendidikan, guru-guru yang dilantik dibawa khas dari China. Semua sukatan mata pelajaran serta buku teks menggunakan apa yang datang dari negara besar tersebut.

Ini menyebabkan topik-topik yang diajar lebih condong ke arah negara China dalam segi sejarah, budaya dan geografi.

Diberikan kebebasan tanpa sebarang kekangan daripada British, pendidikan Cina mula mengalami perubahan setelah negara China mengalami revolusi pada tahun 1911.

Agenda 'bangsa Cina' sebagai agenda penyatuan seluruh masyarakat Cina mula digembar-gemburkan.

Ideologi pembebasan serta revolusi yang dicetuskan di China mula dirasai masyarakat Cina di Tanah Melayu, hasil daripada hubungan Cina di Tanah Melayu dengan pengaruh guru-guru dari Tanah Besar China.

Dokumen pro revolusi serta anti penjajahan barat mula menyusup masuk melalui guru-guru ini, menyebabkan British mengambil langkah campur tangan dalam sistem pendidikan Cina yang sebelum itu diberikan autonomi sepenuhnya.

Enakmen pendaftaran persekolahan pada tahun 1919 diperkenalkan British, bagi mengekang serta mengawal gerakan aktivisme di kalangan guru dan pelajar sekolah Cina.

Buku-buku teks pendidikan Cina  mula disaring bagi membolehkan elemen-elemen anti 'orang luar' atau penjajah dibuang.

Pegawai-pegawai khas British mula ditempatkan di sekolah-sekolah Cina bagi mengawasi kegiatan dan penyebaran ideologi yang sedang hangat di negara asal mereka.

Pendidikan terawal masyarakat India

missionari kristian ajar sekolah tamil

Berbeza dengan masyarakat Cina yang mampu bergantung kepada kemampuan sendiri, sekolah-sekolah masyarakat India pula bergantung dengan dana serta tenaga kerja daripada gerakan penyebaran Kristian pada mulanya.

Bagaimanapun, sama seperti cubaan Belanda dan Portugis memperkenalkan sekolah beraliran Kristian kepada masyarakat Melayu yang berhadapan kegagalan - masyarakat India juga menolak sistem pendidikan berbentuk itu.

Jadi British melantik pemilik-pemilik ladang untuk membuka dan mengendalikan sekolah-sekolah khas bagi mengajar komuniti India.

Untuk membolehkan hasrat itu dijayakan, British mewujudkan Ordinan Buruh 1923 yang mewajibkan kesemua pemilik dan pengusaha estet dan ladang menyediakan peluang pendidikan pada kesemua anak-anak pekerja mereka dengan dana mereka sendiri.

Malangnya, usaha British hanya setakat itu. Bagaimana hendak melaksanakannya terpulanglah pada pemilik estet.

Jadi pendidikan kaum India dilakukan secara ala kadar, dengan bangunan-bangunan dalam keadaan usang dijadikan sekolah.

Tidak seperti masyarakat Cina yang membawa masuk guru dari negara mereka, orang India tidak mempunyai kemampuan kewangan serupa. Guru-guru yang dilantik oleh pemilik estet kebanyakannya tidak mempunyai kemahiran mendidik.

Kebanyakan guru dipilih daripada individu yang berkhidmat sebagai pegawai pengurus pekerja ibarat mandor atau 'supervisor' mereka.

Berikutan ketiadaan buku rujukan yang sesuai, British membantu pemilik-pemilik ladang ini membawa masuk buku teks dari India.

Tindakan ini menyebabkan kesan serupa pada komuniti India; dibesarkan dengan pengaruh yang datang dari India dalam hal-hal berkaitan budaya, sejarah dan geografi.

Selepas desas-desus tuntutan kemerdekaan mula kedengaran di India, British mula melantik pegawai mereka ke sekolah-sekolah beraliran Tamil sejak tahun 1937.

Bagi megawal gerakan serta sebaran ideologi, skim latihan khas untuk guru beraliran Tamil diperkenalkan dalam usaha British mengekalkan pengaruh mereka.


Begitulah kisahnya bagaimana dua sistem vernakular bertapak di Tanah Melayu dan sehingga kini masih lagi terus bertahan, kadangkala menimbulkan kontroversi, kadangkala senyap sunyi. 

Akibat sistem British yang lepas tangan dalam sistem pendidikan Cina dan India, kerajaan Malaysia pada hari ini terus perlu berdepan penentangan mereka yang mahu mempertahankan legasi British yang telah ditinggalkan untuk mereka.

Rujukan

Educational Patterns in Colonial Malaya




Hakcipta iluminasi.com (2017)