Kebanyakan daripada kita pasti tidak asing dengan LEGO, sebuah permainan bongkahan plastik berwarna-warni yang boleh disusun untuk membentuk pelbagai bentuk, bangunan, robot dan sebagainya. Ianya bagus untuk melatih dan menajamkan daya kreativiti kanak-kanak.

Ole Kirk Christiansen merupakan orang yang bertanggungjawab mencipta LEGO. Beliau merupakan seorang tukang kayu yang berasal dari Billund, Denmark. Pada tahun 1916, beliau membeli sebuah kedai kayu yang mempunyai bisnes membina rumah dan perabot. Malangnya, kedai tersebut musnah dalam kebakaran pada tahun 1924.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dari tukang kayu ke pencipta mainan

Kemalangan itu tidak mematahkan semangatnya malah beliau membuka sebuah lagi bengkel kayu yang lebih besar untuk memajukan bisnesnya. Walau bagaimanapun, akibat Zaman Kemelesetan (Great Depression), bisnesnya mengalami kemerosotan teruk dan beliau terpaksa fokus kepada projek-projek yang lebih kecil.

Pada ketika inilah, beliau mula mencipta prototaip produk beliau dalam versi yang lebih kecil (miniature) bagi memudahkan beliau merekabentuk produk tersebut. Daripada model-model prototaip kecil inilah beliau mendapat inspirasi untuk membina permainan daripada kayu.

Pada peringkat awalnya, jualan permainannya tidak begitu menguntungkan dan syarikatnya hampir diisytiharkan bankrap. Walau bagaimanapun, kerana minatnya terhadap penghasilan mainan, maka beliau tetap meneruskan penghasilan permainan daripada kayu. Malah, syarikatnya dijenamakan semula sebagai LEGO, gabungan 2 perkataan bahasa Danish iaitu leg godt yang bermaksud "play well".

permainan lego

Tidak lama kemudian, model prototaip kereta dan haiwan yang dihasilkannya berjaya menarik minat ramai pihak. Dari saat inilah syarikat LEGO mula berkembang sehingga mempunyai 50 orang pekerja pada tahun 1948.

Penggunaan teknologi untuk menghasilkan mainan

Pada tahun 1947, syarikat LEGO telah membeli sebuah mesin menghasilkan permainan daripada plastik yang menggunakan teknologi "injection-molding". Ianya merupakan sebuah pelaburan besar yang terus melonjakkan nama LEGO. Sehingga tahun 1949, syarikat LEGO telah berjaya menghasilkan lebih 200 jenis permainan pelbagai jenis dengan menggunakan mesin ini.

Permainan LEGO yang dihasilkan pada waktu tersebut adalah hampir sama dengan bentuk LEGO pada zaman sekarang, iaitu berbentuk batu bata yang boleh disusun antara satu sama lain dengan konsep "self-locking". Konsep "self-locking" yang digunakan LEGO ini dikatakan diambil daripada permainan Kiddicraft, sebuah syarikat pembuat permainan yang berpangkalan di England.

kiddicraft

Pada awalnya, pihak Kiddicraft memberikan kebenaran kepada LEGO untuk menghasilkan permainan LEGO menggunakan konsep "self-locking" ciptaannya. Pada tahun 1981, LEGO akhirnya membeli hakcipta daripada Kiddicraft untuk menghasilkan permainan LEGO dengan konsep "self-locking".

Pada 1969, model Duplo permainan LEGO telah dicipta. Model ini datang dalam bentuk yang lebih besar, sesuai untuk kanak-kanak kecil yang mempunyai risiko tertelan permainan LEGO yang bersaiz kecil. Perkataan Duplo itu berasal daripada perkataan Latin "duplus" yang bermaksud "dua kali ganda". Oleh itu, setiap bongkahan LEGO model Duplo mempunyai saiz dua kali ganda lebih besar daripada bongkahan LEGO biasa.

Jenama LEGO pada zaman kini

Kini, LEGO bukanlah hanya sebuah mainan tetapi merupakan sebuah jenama yang dikenali ramai di seluruh dunia. Selain permainan, terdapat juga filem, permainan video dan taman tema dibangunkan menggunakan jenama LEGO. Sehingga kini, terdapat 6 buah taman tema Legoland di seluruh dunia di mana salah satu daripadanya terletak di Johor.

legoland malaysia 843

Sehingga bulan Julai 2015 sahaja, dianggarkan 600 bilion ketulan LEGO telah dihasilkan. Permainan LEGO juga telah dijual di 140 buah negara seluruh dunia. Selain itu, pada Februari 2015, jenama LEGO telah diisytiharkan sebagai "World's Most Powerful Brand" oleh Brand Finance.

Kredit:

  1. History.com
  2. WikiPedia
  3. LEGO



Hakcipta iluminasi.com (2017)