Oleh pada 31 Jan 2024 kategori

Sebuah payung terjun boleh dilihat sebagai alat yang telah menyelamatkan banyak nyawa.

Peralatan itu juga membolehkan eksplorasi manusia dan juga boleh dilihat sebagai peralatan bagi melakukan lagak ngeri yang mendebarkan.Payung terjun mempunyai sejarah panjang yang menarik.

Semuanya bermula daripada imaginasi Leonardo Da Vinci sehingga menjadi sebuah alat berteknologi tinggi yang telah digunakan dalam penjelajahan angkasa. Bagaimana peralatan ini yang memerlukan penggunanya hati kering, tercipta?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lahirnya idea sebagai sebuah konsep

lakaran payung terjun leonardo da vinci

Payung terjun hanya bermula sebagai sebuah idea yang dilakarkan tokoh pelukis dan pencipta terkenal, mendiang Leonardo Da Vinci.Salah satu lukisaan rekaan beliau dari abad ke-15 membentuk asas apa yang akan menjadi payung terjun.

Walau bagaimanapun hanya selepas satu abad berlalu, dalam tahun 1617 idea-idea ini yang dilakar atas kertas mula diuji keberkesanannya. Pencipta dari Croatia bernama Faust Vrancic atau dalam bahasa Inggeris dirujuk sebagai Fausto Veranzio, membina payung terjun berdasarkan reka bentuk Da Vinci yang dinamakan sebagai Homo Volans.

Menjadi orang pertama melakukan terjunan 'berani mati' dari sebuah menara di Venice bagi mengenalpasti kejayaan rekaan Da Vinci, Vrancic selamat mendarat menandakan penggunaan payung terjun yang direkodkan pertama kali dalam sejarah berjaya digunakan.

Unik untuk pencapaian ini, Vrancic pada ketika itu sudahpun berusia 65 tahun!

Pengenalan payung terjun lebih praktikal

pencipta payung terjun pertama

Abad ke-18 melihat kemajuan signifikan dalam teknologi payung terjun.

Seorang pencipta Perancis bernama Louis-Sébastien Lenormand dikatakan berjaya merekabentuk sistem payung terjun yang lebih praktikal pertama yang boleh dikawal pergerakannya, pada tahun 1783.

Lenormand juga adalah individu yang pertama sekali memperkenalkan istilah 'parachute' bagi melabelkan alatan tersebut, diambil daripada gabungan istilah Latin 'parare' yang bermaksud 'mengawal' atau 'menentang' dan chute dari istilah Perancis, yang bererti kejatuhan.

Rakan sejawatnya, Jean Pierre Blanchard membawa konsep yang telah diperkenalkan Lenormand ke tahap lebih baik.

Terkenal sebagai seorang pencipta belon udara panas sebagai satu bentuk pengangkutan, Blanchard menjadi orang pertama menggunakan payung terjun dalam situasi cemas - selepas insiden semasa terbang dengan belon udara panasnya berhadapan masalah bocor.

Berada di udara, Blanchard melompat turun dengan payung udara ciptaan rakannya, selamat mendarat di atas tanah.

Mula menggunakan sutera sebagai payung utama

payung terjun diperbuat kain sutera

Potensi untuk menjadi alat penyelamat nyawa membuatkan Blanchard turut sama terlibat dalam penambahbaikan teknologi payung terjun.Pada tahun 1793, Blanchard merevolusi reka bentuk payung terjun dengan memperkenalkan kain sutera sebagai bahan pilihan penghasilan payungnya.

Perubahan ini membolehkan payung terjun zaman tersebut beralih daripada dibina dengan kerangka tegar kepada reka bentuk yang lebih fleksibel, ringan dan mudah alih.

Inovasi Blanchard terhadap ciptaan rakannya, membuka jalan bagi tokoh aeronautik Perancis era tersebut Andrew Garnerin untuk menggabungkan idea Blanchard ke atas rekaan payungnya sendiri.

Garnerin berjaya mencipta sistem payung terjun tanpa bingkai, sesuatu yang moden dalam era tersebut. Bagi membuktikan keselamatan sistem rekaannya, Garnerin sendiri melakukan lonjakan payung terjun tanpa bingkai yang direkodkan pertama kali pada tahun 1797.

Naik ke udara menggunakan belon udara panas pada ketinggian kira-kira 8,000 kaki (2.43 km) Lonjakan berani Garnerin dari belon udara panas tersebut memukau hadirin yang hadir dan akhirnya meletakkan payung terjun sebagai salah satu ciptaan penting dalam sejarah pencapaian manusia.

Daripada besar sehinggalah boleh dilipat

sistem payung terjun boleh lipat

Selepas melalui pelbagai jenis inovasi yang mematangkan praktikaliti rekaan payung terjun, salah satu inovasi paling besar seterusnya berlaku penghujung abad ke 19 bagi menambahbaik sistem pelepasannya agar lebih selamat dan mudah dikawal.

Dalam tahun 1887, seorang tentera bernama Kapten Thomas Baldwin mencipta sistempengikat tubuh (harness) yang akan dipakaikan pada badan penerjun bagi memastikan payung terjun selamat berada pada tubuh.

Dua orang individu dari Jerman yang terkenal sebagai pakar terjunan udara, Paul Letteman dan Kathchen Paulus seterusnya berjaya mencipta kaedah melipat dan menyimpan payung terjun dalam beg yang dipakai di belakang penerjun pada tahun 1890.Inovasi ini menjadikan payung terjun lebih mudah alih dan mudah digunakan, membuka peluang baru untuk penggunaannya dalam pelbagai bidang.

three ring system parachute

Sistem pelepasan payung terjun moden yang dikenali sebagai sistem pelepasan 3 cincin (3-ring release system) yang jauh lebih selamat dan mudah dikawal tanpa membahayakan penerjun, dicipta seorang jurutera bernama Bill Booth dalam dekad 1970-an.

Hasil rekaannya itu sehingga kini digunapakai sebagai asas kepada sistem pelepasan payung terjun moden, kerana berjaya membantu mengurangkan beban yang akan ditanggung tubuh penerjun semasa jatuhan berlaku serta mampu memastikan beban yang perlu ditampung tali pemegang payung mempunyai ketahanan lebih tinggi.

Kini selain untuk terjunan di bumi, peralatan sama juga sudah menjadi satu peralatan penting dalam penjelajahan angkasa, membantu membolehkan peralatan seperti Mars Rover selamat mendarat di planet Marikh. Menarikkan bagaimana sesuatu yang bermula sebagai lakaran dan diterjemah kepada aksi terjunan dari menara, kini sudah jadi peralatan yang diguna bukan saja di bumi bahkan di luar sana?




Hakcipta iluminasi.com (2017)