Karakter kartun beruang comel bernama Winnie the Pooh pernah menjadi satu fenomena dan kegilaan kanak-kanak di Malaysia suatu ketika dahulu. Walaupun karakter Winnie the Pooh kini kurang mendapat perhatian di Malaysia, popularitinya di seluruh dunia tidak boleh dipertikaikan.

Syarikat Walt Disney sememangnya terkenal dengan watak kartun Mickey Mouse dan Donald Duck. Walau bagaimanapun, pada 1993 pihak Disney telah mengumumkan bahawa watak Pooh merupakan watak kedua paling popular dan diminati ramai di seluruh dunia selepas Mickey Mouse.

Asal-usul watak Winnie the Pooh

Adalah penting untuk mengetahui bahawa penghasilan watak Winnie the Pooh bukanlah idea asal pihak Disney. Nama Winnie the Pooh itu sendiri adalah idea daripada seorang askar dari Kanada semasa zaman Perang Dunia Pertama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada ketika itu, sepasukan askar daripada Winnipeg, Kanada telah diarahkan untuk menuju ke Eropah untuk menyertai pasukan 2nd Canadian Infantry Brigade. Ketika dalam perjalanan, kereta api tersebut telah berhenti di White River, Ontario. Di sini, Leftenan Harry Colebourn telah terlihat akan seekor beruang hitam yang masih kecil. Umurnya dianggarkan 7 bulan.

Beruang kecil tersebut ingin dijual oleh seorang pemburu beruang. Setelah membunuh seekor beruang besar, pemburu tersebut tidak sampai hati hendak membunuh anaknya yang masih kecil itu lalu beliau mengambil keputusan untuk menjualnya. Leftenan Harry Colebourn yang kebetulan berada di situ tanpa membuang masa terus membeli beruang comel tersebut pada harga $20.

Beruang tersebut pada awalnya telah diberi nama "Winnipeg" atau nama pendeknya "Winnie", sempena nama tempat asal usul pemilik barunya itu. Winnie kemudiannya telah mengikut tuan barunya itu ke Britain. Sifatnya yang baik dengan manusia menyebabkannya diminati orang disekelilingnya.

Tidak lama kemudian, Harry Colebourn dan pasukannya telah diarahkan pula untuk ke Perancis. Masalah logistik yang dihadapi dan keadaan disana yang kurang sesuai buat WInnie menyebabkan Winnie telah disewakan atau diletakkan di bawah jagaan Zoo London. Harry berjanji beliau akan datang mengambil semula Winnie apabila Perang Dunia Pertama tamat kelak.

Di Zoo London, Winnie telah menjadi tarikan utama pelancong yang datang ke zoo tersebut. Walaupun sudah menjadi seekor beruang yang besar, Winnie merupakan haiwan yang sangat jinak. Malah, pengunjung juga dibenarkan untuk masuk ke kandang Winnie dan bermain-main dengan haiwan tersebut.

Beberapa minggu selepas peperangan mulai reda pada penghujung tahun 1918, Harry telah datang semula ke Zoo London untuk bertemu Winnie. Walaupun pernah berjanji akan mengambil semula Winnie apabila perang tamat, Harry mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja Winnie terus tinggal disitu. Beliau sedar bahawa Winnie bukanlah haiwan peliharaannya lagi, sebaliknya merupakan haiwan kegemaran pengunjung-pengunjung yang datang ke Zoo London.

Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Winnie, Harry telah kembali ke kampungnya di Winnipeg dan bertugas di Jabatan Pertanian. Malah, beliau turut membuka sebuah klinik haiwan berhampiran rumahnya.

Dari seekor beruang ke sebuah karakter fiksyen

buku pertama winnie the pooh

Antara salah seorang pengunjung zoo tersebut yang meminati Winnie adalah Christopher Robin, anak kepada seorang penulis bernama A.A. Milne. Beliau gemar datang ke Zoo London dan meluangkan masa bersama Winnie. Malah, beliau turut menamakan patung teddy bear di rumahnya dengan nama Winnie sempena mengambil nama beruang tersebut.

Watak Winnie dan beberapa permainan patung haiwan anaknya seperti Piglet, Eeyore, Kanga, Roo dan Tigger telah menjadi sumber inspirasi kepada A.A. Milne. Melalui imaginasinya, beliau telah mencipta sebuah watak fiksyen bernama Winnie the Pooh dan beliau telah menulis sebuah buku kanak-kanak bertajuk “When We Were Very Young” pada tahun 1924, diikuti dengan “Winnie-the-Pooh” pada tahun 1926.

Kematian Winnie

statu winnie the pooh

Populariti buku-buku Milne telah melonjakkan lagi nama Winnie. Kematiannya pada tahun 1934 pada usia 20 tahun telah mendapat perhatian masyarakat seluruh dunia. Sebagai tanda penghargaan, tengkorak kepalanya telah dihantar dan disimpan di Royal College of Surgeons.

Selain itu, statu yang memaparkan Winnie memegang tangan Harry juga telah dibina dan diletakkan di London Zoo dan Assiniboine Park Zoo yang terletak di Winnipeg. Ianya adalah simbolik hubungan yang erat antara seorang askar Kanada dan seekor beruang kecil.

Pemilikan watak Winnie the Pooh oleh Disney

disney winnie the pooh

Pada Januari  1930, Stephen Slesinger telah membeli hakcipta untuk menyiarkan dan menghasilkan pelbagai produk berdasarkan karakter Winnie the Pooh di Kanada dan Amerika Syarikat daripada Milne. Menjelang 1931, hasil perniagaannya berdasarkan karakter Winnie the Pooh sudah mencecah $50 juta setahun.

Selepas kematian Slesinger pada tahun 1953, isterinya terus mengembangkan watak Winnie the Pooh. Pada tahun 1961, beliau telah melesenkan watak Winnie the Pooh kepada pihak Disney melalui pembayaran royalti. Pada tahun yang sama juga, isteri Milne juga telah melesenkan beberapa hakcipta Winnie the Pooh kepada pihak Disney.

Akibatnya, beberapa siri kes mahkamah telah timbul antara Disney, keluarga Slesinger dan keluarga Milne sehinggalah pada 28 September 2009 apabila mahkamah membuat keputusan bahawa pihak keluarga Slesinger telah menyerahkan sepenuhnya hakcipta Winnie the Pooh kepada pihak Disney dan mengikut perjanjian, Disney perlulah membayar royalti kepada pihak Slesinger seperti yang teleh dipersetujui.

winnie the pooh history origin 648

Kredit:

  1. History.com
  2. Just Pooh
  3. WikiPedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)