Oleh pada 04 Aug 2017 kategori

Sekumpulan saintis di Oregon, Amerika Syarikat telah menggemparkan dunia dengan mengubah DNA embrio manusia menggunakan teknik pengeditan genom revolusioner CRISPR-Cas9.

mitalipov 309

Kumpulan ahli biologi itu diketuai oleh Shouhkrat Mitalipov dari Oregon Health and Science University. Eksperimen mereka dilaporkan penting untuk mengetahui sama ada teknologi mampu membuat pembetulan pada DNA embrio bermasalah dengan selamat dan tepat. 

Teknologi CRISPR

Sebelum ini, eksperimen menggunakan CRISPR untuk mengubah DNA embrio manusia telahpun dijalankan di China pada tahun 2015. Ketika itu, mereka menggunakan embrio dengan kecacatan genetik serius yang diperolehi dari makmal klinik kesuburan.

Dalam eksperimen terbaru ini pula, Mitalipov dan pasukannya mencipta embrio manusia menggunakan sperma yang didermakan oleh lelaki dengan DNA mutasi genetik. Lelaki ini mewarisi penyakit jantung jarang berlaku yang dinamakan kardiomiopati hipertrofi di mana ia hanya terjadi kepada 1 dalam setiap 500 orang dan menjadi punca jantung terhenti secara tiba-tiba walaupun pada usia muda.

Dikhabarkan pasukan Mitalipov 'berjaya' dengan eksperimennya kerana menghasilkan gen dengan kesan edit yang tepat dan telah mengelakkan terjadinya "mozekisme" di mana hanya beberapa sel dalam embrio yang mengalami perubahan yang diinginkan.

mutasi genetik manusia

Masalah manusia sejagat

Walau bagaimanapun, embrio yang diedit daripada eksperimen itu tidak dibenarkan membesar kerana perubahan pada DNA embrio akan menyebabkan perubahan sel-sel yang menghasilkan sperma dan telur. Oleh sebab itu, jika dibiarkan embrio itu membesar dan dilahirkan sehingga dewasa, setiap keturunannya juga akan mewarisi perubahan genetik itu. Situasi ini dipanggil "germline engineering" yang menyebabkan para saintis hangat berdebat kerana ia boleh mengubah generasi dan arah evolusi manusia.

Eksperimen ini juga mencetuskan amaran tentang "designer babies" di mana ibu bapa mungkin boleh mengedit embrio IVF mengikut kesesuaian dan citarasa masing-masing dengan menambah, membuang atau mengubah gen mengikut ciri-ciri tertentu.

edit gen crispr embrio manusia

Memanglah bagus niat asal kajian ini ingin membantu pasangan yang mempunyai masalah genetik memiliki anak yang sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit serius. Namun, masih terlalu banyak lagi aspek yang perlu dikaji dengan lebih mendalam. Langkah kawalan untuk jangka masa panjang juga perlu diambil agar tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan mengubah ciptaan Allah SWT dengan sengaja.

Walaupun di Amerika kesemua embrio yang telah diedit dalam makmal tidak boleh dibiarkan membesar menjadi seorang bayi, harap-harap tidak ada saintis dari negara lain yang mahu buat kerja gila sengaja mengimplan embrio tersebut untuk dibesarkan. Takut ada seorang Wolverine atau Cyclops pula yang bakal dilahirkan kelak.

Rujukan:

1. The Guardian

2. Technology Review


tags : , , , , , , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)