Oleh pada 02 Apr 2019 kategori

Tempoyak dihasilkan daripada isi buah durian. Isi durian ini diasingkan daripada bijinya dan ditambah dengan sedikit garam dan disimpan selama 3 sehingga 5 hari di dalam suhu bilik bagi proses penapaian.

Tempoyak lazimnya tidak dinikmati begitu sahaja namun lazimnya dibuat sambal atau dimasukkan ke dalam hidangan seperti gulai tempoyak ikan patin atau pais ikan tempoyak.

Tempoyak amat popular di negeri Pahang dan Perak, malah di bandar Temerloh, Pahang sendiri gulai ikan patin masak tempoyak amat popular.

Tempoyak turut popular di Indonesia, terutamanya di Palembang, Sumatera dan Kalimantan.

Di Malaysia , tempoyak juga dirakamkan dalam Hikayat Abdullah sebagai hidangan harian bagi penduduk Terengganu, ketika melawat Terengganu sekitar tahun 1836, dengan menyatakan bahawa hidangan kegemaran mereka ialah "... tempoyak dan pekasam dan petai dan jering dan sebagainya...."

Terdapat pelbagai jenis cara masakan menggunakan tempoyak ini dan antara yang amat popular ialah gulai tempoyak. Gulai ini lazim dimasak bersama ikan; antara ikan yang sesuai digulai bersama tempoyak ialah ikan patin, ikan baung dan ikan jelawat.

Ia juga boleh dimasak bersama ayam bergantung kepada citarasa masing-masing.

Malah, tempoyak turut boleh dibuat sambal tumis ikan bilis, pais tempoyak (ikan yang dibakar bersama tempoyak), dan sambal tempoyak (tempoyak yang digaul bersama cili padi lalu dinikmati begitu sahaja atau digoreng bersama ikan bilis).

 

Sambal Tempoyak Petai Bilis (Cara Tumis)

  

 

Bahan-bahan: 

  • Tempoyak
  • Ikan bilis
  • Petai.
  • Cili padi.
  • Bawang kecil
  • Bawang besar
  • Kunyit hidup
  • Serai
  • Daun kunyit
  • Garam

 

Cara-cara membuat: 

1. Tumbuk cili padi, kunyit hidup dan bawang kecil. 

2. Tumis bahan-bahan tumbuk tadi sehingga wangi dan sedikit garing.

3. Masukkan serai dan kacau sebati.

4. Masukkan tempoyak, kacau mesrakan dan masukkan air.

5. Masukkan ikan bilis dan daun kunyit.

6. Apabila ikan bilis telah kelihatan masak, baru masukkan petai. 

7. Akhir sekali, masukkan hirisan bawang dan garam. Siap. 

 

Tips:

✔ Jika tempoyak terlalu masam, campurkan sedikit gula.

✔ Lebih banyak ikan bilis dan petai, lebih enak.

✔ Penggunaan cili bergantung kepada individu.

✔ Versi Perak berlainan sedikit kerana masak sekali harung.

 

Sumber:

1. Jamal Dan Asmahan [1, 2]

2. Wikipedia Tempoyak




Hakcipta iluminasi.com (2017)