Oleh pada 21 Oct 2019 kategori

Pau yang enak ialah pau yang lembut, gebu dan putih mulus. Ia mempunyai pelbagai jenis inti seperti kacang merah, kari ayam, kari daging, kelapa dan sambal.

Untuk mendapatkan pau yang putih mulus, anda disarankan supaya menggunakan tepung pau. Jika menggunakan tepung gandum, hasilnya akan menjadi tidak sama.

Ketika membiarkan doh naik sekali ganda, pastikan ia tidak terlalu naik kerana ia akan mengecut apabila dikukus sekaligus menjadikan permukaannya menggerutu dan keras.

Pastikan kukusan telah dipanaskan terlebih dahulu sehingga airnya betul-betul mendidih. Balut penutup kukusan dengan kain supaya air dari kukusan tidak menitis atas pau yang menjadikan permukaan pau berkawah.

Apabila telah masak, angkat kukusan dengan penutupnya sekali dan jangan buka penutupnya dahulu. Biarkan sebentar baru dibuka penutup kukusan untuk mengelakkan pau terencat dan mengecut.

Pau

Bahan-bahan starter:

  • Tepung pau (200g)
  • Yis (10g)
  • Gula aising (45g)
  • Air suam (285ml)

Bahan-bahan doh:

  • Serbuk penaik (10g)
  • Tepung pau (400g)
  • Cuka (1/4 sudu kecil) - tidak wajib
  • Ammonium bikarbonat (ammonium bicarbonate) (1/4 sudu kecil) - tidak wajib
  • Shortening (50g)
  • Garam (1/2 sudu kecil)

Bahan-bahan lain:

  • Inti - pemilik resepi guna inti kari ayam
  • Potongan kertas minyak/daun pisang sebagai alas pau

Cara-cara membuat starter:

  1. Satukan air suam dan yis. Kacau sehingga larut.
  2. Masukkan tepung dan gula. Gaul rata.
  3. Tutup dan rehatkan selama sejam.

Cara-cara membuat doh:

  1. Selepas sejam, satukan starter dengan semua bahan-bahan lain dan uli selama 8-10 minit.
  2. Tutup dan ketepikan selama 30 minit atau sehingga doh naik sekali ganda.
  3. Bahagikan doh kepada bebola kecil seberat 50g. Ketepikan selama 10 minit.
  4. Ambil satu bahagian doh dan canai bentuk bulat. Letak inti di tengahnya dan bentukkan bulat.
  5. Alas doh yang telah dibentuk dengan potongan kertas minyak atau potongan daun pisang.
  6. Ketepikan selama lebih kurang 10-15 minit dan kukus menggunakan api sederhana selama 8-10 minit sehingga masak.

pau 1

pau 2

Resepi ini diambil dengan kebenaran dari buku Koleksi 100 Resepi Pilihan terbitan 'group' masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.

Sumber:

1. Mufidah Abdul Hadi Alyunusi [1, 2]

2. Masam Manis (norazlitaaziz.blogspot.com) [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)